Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bersatu harungi ekon dunia kian tidak menentu

Apr 13, 2025 | 5:30 AM
Lidah Pengarang
Lidah Pengarang - Visual BH

Tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah menyebabkan gelombang kejutan kepada ekonomi global, dengan banyak negara berebut untuk menilai kesannya ke atas hubungan perdagangan dan kestabilan ekonomi masing-masing.

Singapura, sebuah negara yang jumlah dagangannya melebihi tiga kali ganda Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), mendapati dirinya berada dalam kedudukan tidak menentu di tengah-tengah perkembangan ini.

Sejak pengumuman kenaikan tarif itu, Presiden Trump pada 9 April ‘menekan brek’ ‘perang dagang’ globalnya dengan menangguh tarif lebih tinggi selama 90 hari untuk kebanyakan negara bagi membolehkan semua pihak ke meja rundingan, meskipun tarif universal sebanyak 10 peratus terus dikenakan.

Meskipun demikian, beliau tetap mengenakan tarif tambahan kepada China. Langkah terbaru Encik Trump ini, meskipun dialu-alukan pasaran saham global, terus mencetuskan ketidaktentuan.

Singapura tidak mungkin disasarkan secara langsung oleh pentadbiran Trump kerana Amerika mengekalkan lebihan perdagangan dengan Singapura.

Justeru, dalam jangka masa terdekat, Singapura boleh mengelakkan pukulan ekonomi yang akan ditempuhi negara-negara lain. Bagaimanapun, ini tidak menjadikan Singapura kebal daripada kesan yang lebih luas daripada ketegangan perdagangan yang semakin marak.

Sebagai hab yang begitu berkait langsung ke dalam rangkaian rantaian bekalan global, sebarang gangguan dalam dinamik perdagangan antarabangsa pasti akan memberi kesan ke atas ekonomi Singapura.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, telah menekankan kepentingan kerjasama dengan perniagaan Amerika.

Dengan kira-kira 6,000 syarikat Amerika beroperasi di Singapura, banyak yang menggunakannya sebagai pangkalan strategik untuk operasi serantau. Justeru, hubungan simbiotik antara kedua-dua Singapura dan Amerika adalah jelas.

Implikasi yang lebih luas daripada strategi tarif Presiden Trump amat membimbangkan.

Dengan mengenakan tarif yang tinggi ke atas eksport Asia Tenggara, Amerika berdepan risiko memencilkan wilayah yang telah lama menjadi rakan kongsi ekonomi.

Tindakan sedemikian secara tidak sengaja boleh mendorong negara Asia Tenggara untuk mengalihkan lebih tumpuan kepada China, dari segi ekonomi dan politik, sekali gus membentuk semula pakatan serantau dan laluan perdagangan.

Bagi Singapura, yang telah mengimbangi hubungannya dengan kedua-dua kuasa besar itu dengan teliti, peralihan ini juga mungkin memerlukan negara ini memikirkan semula hubungan tersebut dan melakukan penyesuaian.

Tambahan pula, ketidakpastian akibat dasar perdagangan pentadbiran Presiden Trump ini berupaya menyebabkan kemudaratan kestabilan ekonomi global.

Perniagaan berkembang maju dalam persekitaran yang mempunyai dasar konsisten dan boleh diramal.

Keadaan tidak menentu adalah sesuatu yang melemahkan sentimen pelabur dan syarikat, sekali gus menjejas pekerja dan rakyat biasa.

Sebagai respon kita, Singapura mesti terus memperjuangkan prinsip perdagangan bebas dan terbuka menerusi bukan sahaja pengukuhan perjanjian perdagangan sedia ada tetapi juga secara aktif mencari peluang kerjasama baru.

Selain itu, negara ini perlu terus membuat pelaburan dalam inovasi dan teknologi yang mampu menjadikan perniagaan Singapura lebih berdaya tahan dan bingkas dalam menyesuaikan diri bagi menghadapi perubahan dinamik perdagangan global.

Kesimpulannya, walaupun Singapura mungkin bukan sasaran langsung tarif Amerika, kesan tidak langsung bakal menimbulkan cabaran genting.

Sebagai sebuah negara, kita mesti bersatu padu mengharungi era baru dan berbahaya ini sedang Singapura terus berpandangan jauh lagi strategik, mengukuhkan komitmen kepada pasaran terbuka dan berusaha memupuk kerjasama antarabangsa dengan negara-negara yang sehaluan pendirian, demi memastikan ekonomi kekal tangkas dan berdaya tahan di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg