WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, secara mengejut mengorak langkah ke belakang pada 9 April dalam perang dagang globalnya dengan mengumumkan penangguhan tarif selama 90 hari bagi kebanyakan negara – namun dalam masa yang sama mengenakan tarif lebih tinggi terhadap China, dalam apa yang disifatkan sebagai pertarungan sengit antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia.
Berikutan kegawatan pasaran global dan kejatuhan pasaran kewangan susulan dasar tarif besar-besaran yang diumumkannya sebelum ini, pasaran saham Wall Street melonjak naik sebagai reaksi terhadap pengumuman mengejut Encik Trump di platform Truth Social miliknya.
“Saya telah membenarkan penangguhan selama 90 hari ke atas tarif lebih tinggi yang berkuat kuasa pada 9 April,” kata Encik Trump dalam kenyataannya, sambil menambah bahawa keputusan itu dibuat selepas lebih 75 negara menghubungi beliau untuk mengadakan rundingan dan tidak mengambil tindakan balas terhadap Amerika.
Hanya tarif asas 10 peratus ke atas semua negara yang telah berkuat kuasa pada 5 April akan dikekalkan.
Ini menandakan perubahan besar daripada langkah asal Encik Trump yang mahu mengenakan tarif lebih tinggi ke atas kebanyakan negara, termasuk sekutu rapatnya.
Namun begitu, Encik Trump tetap menyasarkan China sebagai negara utama dalam pertarungan perdagangannya dan menyatakan dengan nada sinis bahawa China masih “menolong” negaranya.
“Berdasarkan kurangnya rasa hormat yang ditunjukkan China kepada pasaran dunia, saya dengan ini menaikkan tarif yang dikenakan kepada China oleh Amerika kepada 125 peratus berkuat kuasa serta-merta,” kata Encik Trump dalam kenyataan terbarunya.
Beberapa jam sebelum itu, beliau telah meningkatkan tarif ke atas barangan China kepada 104 peratus.
China tidak berdiam diri – bertindak balas dengan menaikkan tarif ke atas import Amerika kepada 84 peratus.
“Pada satu ketika, diharapkan dalam masa terdekat, China akan menyedari bahawa hari-hari yang merobek Amerika dan negara-negara lain tidak lagi mampan atau boleh diterima,” kata Encik Trump.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, menegaskan bahawa tindakan Encik Trump bukanlah satu langkah berundur, sebaliknya beliau menyifatkannya sebagai “strategi yang telah dirancang sejak awal”.
“Ini adalah strateginya selama ini dan anda mungkin boleh katakan bahawa beliau sedang meningkatkan tekanan ke atas China ke dalam kedudukan yang sukar,” kata Encik Bessent kepada media.
Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini turut melancarkan tindakan balasnya sendiri, dengan mengumumkan langkah menyasarkan beberapa produk Amerika bermula 15 April, sebagai tindak balas terhadap tarif yang dikenakan Amerika ke atas eksport keluli dan aluminium global.
Blok 27 negara itu, yang sebelum ini didakwa oleh Encik Trump sebagai ditubuhkan untuk “mencacatkan” Amerika, merancang untuk mengenakan tarif ke atas produk Amerika bernilai lebih €20 bilion (S$30 bilion), termasuk kacang soya, motosikal dan produk kecantikan.
Tetapi EU tidak bertindak balas terhadap 20 peratus tarif Amerika yang berkuat kuasa seminit selepas tengah malam pada 9 April.
Encik Trump mengumumkan seminggu lalu mengenai apa yang beliau panggil “Hari Pembebasan” yang menyaksikan tarif asas 10 peratus Amerika ke atas semua negara yang berkuat kuasa pada 5 April.
Namun, beliau mengenakan tarif tambahan terhadap China dan EU yang bakal menghasilkan lebihan dagangan yang besar kepada Amerika apabila ia dikuatkuasakan pada 9 April.
Saham Wall Street melonjak lebih tinggi pada 9 April selepas pengumuman penangguhan tarif oleh Encik Trump.
Saham S&P 500 juga melonjak 6 peratus lebih tinggi kepada 5,281.44, menyekat penurunan besar sepanjang minggu lalu. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg