Selepas anak rakan saya, seorang usahawan berbangsa Cina, lulus daripada sebuah universiti tempatan, bapanya kerap membawanya ke majlis korporat untuk memperkenalkannya kepada rakan-rakan niaga yang lain.

Tujuan bapanya ialah agar anak itu didedahkan kepada dunia korporat sekali gus meningkatkan tahap keyakinan anaknya itu.

Sejak kecil, anak itu juga didedahkan dalam dunia pelaburan dalam membeli dan menjual saham.

Bagi bapanya, kemahiran itu akan melengkapinya dengan pengetahuan dalam dunia kewangan.

Ini memberikan anak lelakinya kelebihan dari segi ilmu pelaburan jika beliau ingin bekerja dalam sektor kewangan kelak.

Bagi rakan saya itu, pendedahan awal dapat memberikan anaknya ‘modal sosial’ yang menjadi kekuatan berbanding rakan sebaya anaknya yang lain yang tidak mempunyai latar belakang keluarga yang membolehkan mereka mendapat ‘modal sosial’ itu.

Bagi anak-anak Melayu yang datang daripada latar belakang sederhana atau rendah, mereka tidak mempunyai kelebihan modal sosial ini.

Jika kedua-dua anak itu mempunyai pencapaian pendidikan yang sama baik, mungkin anak rakan saya yang mempunyai pengalaman dan minat dalam bidang dagangan saham dan pelaburan mempunyai kelebihan apabila bermohon untuk bekerja dalam sebuah institusi kewangan ternama.

Dapatan kajian yang diterbitkan sayap penyelidikan AMP Singapura, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima) baru-baru ini membuktikannya.

Dapatan itu mendapati walaupun segelintir individu dalam masyarakat Melayu telah mencapai kelayakan akademik yang lebih tinggi, ‘defisit modal sosial’ tetap wujud.

Modal sosial merujuk kepada sumber dan kelebihan yang diperoleh seseorang daripada hubungan sosial mereka, termasuk akses kepada maklumat, kepercayaan, serta pengiktirafan.

Dalam kajian yang bertajuk Peningkatan Silang Generasi Dalam Masyarakat Melayu di Singapura, ia menunjukkan 79 peratus responden berjaya mencapai tahap pendidikan lebih baik daripada ibu bapa mereka.

Sekitar 73.4 peratus responden juga lebih stabil dari segi kewangan berbanding ibu bapa mereka pada usia yang sama.

Berdasarkan statistik kebangsaan, kita akur bahawa bilangan belia Melayu yang mempunyai kelayakan posmenengah telah meningkat daripada 30 peratus pada 2000 kepada sekitar 80 peratus pada 2020.

Lulusan universiti dalam kalangan masyarakat kita meningkat lima kali ganda.

Malah, bilangan yang menjadi karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) telah berganda daripada 23 peratus kepada 40 peratus.

Namun, kita akur terdapat jurang yang masih perlu diperbaiki dalam meningkatkan modal sosial dalam masyarakat kita.

Kita sedar bahawa mereka yang mempunyai modal sosial yang lebih kuat, seperti akses kepada mentor, anggota keluarga yang profesional atau rangkaian industri, lebih berupaya untuk mengemudi laluan pendidikan dan kerjaya, manakala yang lain bergantung terutamanya kepada kelayakan formal dan usaha peribadi.

Bagi keluarga Melayu, mempunyai seorang anak yang telah berjaya ke menara gading menjadi pemangkin dan inspirasi bagi adik beradik dan anggota keluarga yang lain untuk menyusul mengikuti jejak kejayaannya.

Anggota masyarakat yang berjaya juga memainkan peranan untuk ke hadapan untuk menjadi mentor dan penasihat bagi pelajar dan lulusan baru bagi mengemudi tangga kerjaya di samping menjadi sumber rujukan mereka.

Justeru, ia amat menggalakkan bagi pertubuhan seperti Yayasan Mendaki dan AMP yang sudah pun membentuk kumpulan karyawan bagi pelbagai sektor untuk tujuan itu.

Mendaki misalnya, telah membentuk rangkaian profesional (PN) dalam pelbagai sektor seperti penjagaan kesihatan, teknologi maklumat (IT), kemampanan, dan sumber manusia (HR) yang dapat membimbing belia yang berminat dalam sektor tersebut dan ingin mendapat nasihat dan peluang latihan sambil bekerja.

Kita perlukan karyawan Melayu yang sudah pun berjaya untuk menjadi ‘cheer leader’ atau pakar motivasi bagi adik-adik yang perlukan sokongan.

Usaha yang baik itu tidak harus dihadkan dalam kalangan bangsa Melayu sahaja.

Untuk mempunyai pemikiran dan pendedahan lebih luas, sesi rangkaian harus melangkaui sempadan etnik, dan hubungan serantau.

Dalam bidang perniagaan misalnya, seorang peniaga Melayu yang bergaul dengan bangsa asing atau menyertai badan niaga asing pastinya dapat meraih pendedahan dan pengetahuan lebih luas mengenai cara mereka menjalankan perniagaan.

Anak-anak Melayu yang ingin memperkaya modal sosial juga tidak boleh malu untuk ke hadapan untuk meluaskan jaringan mereka di luar masyarakat Melayu dan di luar Singapura.

Badan Melayu/Islam juga boleh bekerjasama dengan pakar dalam sektor baharu untuk mengongsi pengetahuan dan pengalaman dengan anak-anak kita agar mereka dapat akses dalam industri yang mempunyai permintaan tinggi seperti kecerdasan buatan (AI).

Beri peluang bagi anak muda dalam masyarakat kita untuk bekerja sambil belajar dalam bidang baharu yang mempunyai potensi pertumbuhan yang kukuh.

Usaha kolektif dalam keluarga dan badan Melayu/Islam dalam memberi peluang, pendedahan dan pengetahuan kepada mereka dari awal lagi sejak di sekolah menengah akan memberi mereka kelebihan apabila sampai masanya untuk mereka menyertai pasaran pekerjaan.

Mungkin satu hari nanti seorang anak yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah yang mungkin tidak didedahkan dengan AI mampu menceburi kerjaya ini kelak hasil jaringan dan nasihat dari ‘abang-abang mentor’ yang meluangkan masa untuk mengongsi nasihat kerjaya dan kepakaran mereka kepadanya.

Ia memerlukan usaha kolektif sebagai sebuah masyarakat untuk menjadikan visi ini sebagai satu realiti.

Kita lihat ramai anak-anak Melayu kita mungkin yang sudah pun bekerja keras untuk berjaya dalam bidang akademik.

Meritokrasi sahaja mungkin tidak memberi mereka kelebihan dalam medan pekerjaan dan kehidupan yang penuh sengit.

Persoalannya tidak lagi berlegar sama ada individu itu mempunyai cita-cita tetapi siapakah yang beliau kenali dan bagaimana mencapai cita-cita itu.