Selepas ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ramai tertumpu kepada senarai bantuan baharu untuk keluarga.

Ini wajar, kerana bantuan itu nyata dan membantu.

Namun persoalan yang lebih mendasar bukan soal ekonomi atau kewangan.

Bukan juga berapa banyak skim bantuan yang ditawarkan.

Pemerintah boleh mencipta suasana yang membantu pembinaan keluarga.

Tetapi ia tidak dapat mengambil alih tanggungjawab membina keluarga dan membesarkan anak.

Persoalan utama

Tanggungjawab itu, akhirnya, terletak pada kita – individu dan keluarga.

Dan cabaran keluarga ini tidak akan berubah selagi kita tidak memikirkan semula falsafah dan nilai hidup dan kekeluargaan yang kita pegang.

Apakah yang benar-benar penting dalam hidup kita?

Apakah makna kejayaan hidup?

Bagaimana kita merasakan kebahagiaan?

Bagaimana kita melihat pelaburan pada anak dan jiwa manusia?

Seperti mana-mana pelaburan yang bermakna, ia tidak dicapai tanpa titik peluh, pengorbanan dan kesabaran menempuh cabaran.

Di sinilah tersirat mesej Encik Wong pada penghujung ucapannya: “...jika kita kekal bersatu, saling mempercayai antara satu sama lain, dan berpegang teguh kepada nilai-nilai yang telah membawa kita sejauh ini, saya yakin kita akan bangkit menghadapi setiap cabaran – dan kita akan berjaya.”

Ini bukan sekadar kata perangsang.

Ia satu peringatan bahawa nilai dan kepercayaan bersama itulah yang menjadi asas kepada apa jua kejayaan, termasuk kejayaan membina keluarga.

Perubahan asasi

Encik Wong turut mengakui perubahan kecil pada skim sedia ada tidak lagi memadai.

Sebaliknya, pemerintah mahu membuat perubahan asasi dalam cara kita menyokong keluarga.

Ini merentasi empat bidang: masa, bantuan kewangan, penjagaan dan prasekolah anak, serta perumahan.

Ia tidak terhad kepada waktu kelahiran anak sahaja, tetapi merentasi sepanjang tempoh membesarkan anak.

Ini merupakan sokongan pemerintah paling menyeluruh untuk pembangunan keluarga setakat ini.

Tetapi adakah ini akan menyelesaikan cabaran Kadar Jumlah Kesuburan (TFR) yang kian merudum?

Encik Wong sendiri berterus terang: “Walaupun pelbagai usaha telah kita lakukan untuk menyokong keluarga, kita perlu realistik – Kadar Jumlah Kesuburan (TFR) kita masih dijangka jauh lebih rendah daripada tahap penggantian.”

TFR Singapura pada 2025 ialah 0.87, angka terendah yang pernah dicatatkan.

Pengalaman pelbagai negara memberi kita petunjuk yang jelas: skim bantuan sahaja tidak menyelesaikan masalah ini.

Korea Selatan, yang mula bergelut dengan TFR terendah dunia sejak lebih 20 tahun lalu, telah lama memperkenalkan sokongan agresif untuk keluarga.

Namun, TFR-nya kekal antara yang terendah di dunia, iaitu 0.80 pada 2025.

Hungary membelanjakan sekitar 5 hingga 6 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) untuk keluarga, mungkin tertinggi di dunia. Tetapi, TFR-nya sekadar 1.31, jauh daripada sasaran 2.1.

Perancis dan negara-negara Nordik seperti Finland, Norway, Sweden, Denmark dan Iceland, yang sering dijadikan penanda aras antarabangsa, membelanjakan purata 3 peratus GDP.

Walaupun demikian, mereka turut bergelut dengan cabaran yang sama.

Malah ada satu paradoks di negara-negara Nordik ini: semakin banyak bantuan diberi, semakin menurun kadar kelahiran.

Ini bukan bermakna bantuan tidak berguna.

Ia hanya menunjukkan bahawa wang dan skim, sebijak mana pun dirangka, tidak dapat menggantikan sesuatu yang lebih asas.

Permasalahan utama

Yang jelas, merangsang kadar kesuburan bukan hanya soal bantuan kewangan dan skim-skim bantuan keluarga.

Faktor yang lebih penting ialah kadar perkahwinan dan pembentukan keluarga itu sendiri.

Jika kita tidak berkahwin dan membina keluarga, tiada penggantian yang boleh diharapkan.

Maka, persoalan sebenar yang perlu kita renungkan ialah: apakah falsafah dan nilai hidup yang kita pegang tentang pembentukan keluarga?

Apakah yang penting dalam hidup kita sebagai individu, ahli masyarakat, dan warga negara?

Apakah erti kejayaan sebenar bagi kita?

Persoalan ini bukan untuk pemerintah menjawab untuk kita.

Ia untuk kita renungkan sendiri: di rumah, di masjid, di tempat kerja, dan dalam bicara sesama jiran dan sahabat.

Masyarakat kita juga ada peranan menyokong dan meraikan keluarga yang cuba membesar dan berkembang, bukan menghakimi mereka yang bergelut.

Falsafah dan nilai hidup

Saya tidak berhasrat membandingkan pengalaman saya sendiri dengan sesiapa.

Setiap kita ada cerita sendiri.

Ini sekadar renungan peribadi.

Falsafah hidup dan nilai kekeluargaan disemai oleh kedua ibu bapa saya.

Kami keluarga besar, lapan adik-beradik, dan hidup miskin.

Seramai 10 orang tinggal dalam rumah sewa satu bilik.

Saya menyaksikan sendiri perjuangan mereka membesarkan kami, ketika dasar dua anak masih berkuat kuasa.

Mentua saya turut berjuang serupa.

Isteri saya juga daripada keluarga besar yang susah.

Ketika kami berumah tangga, kami berbincang panjang tentang apa yang penting bagi keluarga kami.

Kami bersetuju atas falsafah dan nilai itu.

Antaranya, kepentingan kehidupan dan kekeluargaan, dan memberi khidmat kepada masyarakat, negara dan dunia.

Alhamdulillah, kami dikurniakan enam anak.

Ia tidak mudah.

Lebih-lebih lagi pada waktu kedudukan ekonomi kami amat terhad, sehingga anak keempat kami.

Ketika itu, kami tidak menikmati bantuan sebanyak yang ada sekarang.

Tetapi satu perkara jelas bagi kami: kerana keluarga ini bermakna, kami melayari segala cabaran bersama.

Keluarga kami bukan keluarga ideal, dan jauh dari sempurna.

Tetapi inilah perjuangan dan sumbangan kami kepada masyarakat, negara dan kemanusiaan.

Kini, anak-anak kami pula membina keluarga mereka.

Tentunya perubahan konteks dan cabaran menentukan penyelesaian yang sesuai.

Zaman kedua-dua ibu bapa saya, zaman saya, dan anak-anak saya tidak serupa.

Namun, falsafah dan nilai hidup terus ditekankan dan ditunjukkan.

Kami sering berbincang dan bertukar pandangan.

Saya menekankan pentingnya terus membuat renungan dan memikirkan makna dan nilai kehidupan merentasi kepuasan peribadi.

Ini mengingatkan saya lagu ‘Ilham Pujangg’ oleh arwah Ismail Haron, seniman legenda kita.

Lagu ini membuat seruan agar kita jangan hanya bertanya apa yang negara boleh berikan kepada kita.

Tetapi apa yang kita boleh berikan kepada negara.

Semangat ini turut relevan pada persoalan keluarga hari ini.

Sokongan pemerintah penting, dan kita bersyukur atasnya.

Tetapi keluarga yang kukuh dan bahagia bukan dibina oleh kewangan dan skim semata-mata.

Ia dibina oleh nilai yang kita pegang, pengorbanan yang kita sanggup buat, dan keyakinan bahawa usaha ini bermakna.

Persoalannya kini kembali kepada kita semua.

Sebagai individu, sanggupkah kita meletakkan keluarga sebagai keutamaan, bukan sekadar pilihan selepas kerjaya dan kesenangan diri?

Sebagai masyarakat, sanggupkah kita menyokong dan meraikan mereka yang memilih untuk berkahwin dan membesarkan anak, walau dalam serba kekurangan?

Sebagai negara, sanggupkah kita percaya bahawa pelaburan pada anak dan keluarga adalah pelaburan paling bermakna buat masa depan kita bersama?

Jawapannya bukan pada perbahasan Parlimen semata-mata.

Ia bermula pada meja makan malam, pada perbualan sebelum tidur, dan pada keputusan yang kita buat setiap hari sebagai individu, suami, isteri, ibu dan bapa.

Penulis ialah Zamil Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). Beliau pernah berkhidmat selama 28 tahun di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), termasuk sebagai Ketua dan Penolong Pengarah Pendidikan Islam dan Madrasah, Naib Dekan Akademi MUIS (2008-2024), serta Timbalan Mufti (2020–2025).