Topik diikuti
Pergi ke BHkuDari algoritma ke dialog: Terus perluas ruang bincang selamat dalam usaha tangani belia jadi radikal sendiri
Dari algoritma ke dialog: Terus perluas ruang bincang selamat dalam usaha tangani belia jadi radikal sendiri
Perbincangan terbuka tentang kebimbangan, kekecewaan dan salah faham mengenai konflik dunia boleh bantu basmi naratif kebencian sebelum ia berakar
Dari algoritma ke dialog: Terus perluas ruang bincang selamat dalam usaha tangani belia jadi radikal sendiri
Penahanan tiga remaja di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) awal minggu ini menggariskan sekali lagi bahawa ancaman pengganasan kini tidak lagi mengenal usia, latar belakang mahupun ideologi.
Yang membimbangkan bukan sekadar rancangan serangan yang digagalkan, tetapi hakikat bahawa ketiga-tiga mereka melalui proses radikalisasi secara sendiri, sebahagian besarnya melalui dunia dalam talian.
Tindakan keselamatan oleh pihak berkuasa sememangnya penting.
Namun selepas setiap penahanan, kita juga perlu bertanya satu soalan yang lebih sukar: Adakah kita menyediakan ruang yang mencukupi untuk anak muda meluahkan kekeliruan, kemarahan dan persoalan mereka tentang dunia?
Ramai belia hari ini membesar ketika dunia diselubungi peperangan, konflik geopolitik dan kandungan media sosial yang sarat dengan kemarahan serta kebencian.
Mereka mengikuti perkembangan di Gaza dan pelbagai konflik lain secara langsung melalui telefon bimbit. Mereka melihat video, membaca komen dan menerima pelbagai naratif - ada yang benar, banyak juga yang dimanipulasi.
Kes terbaru yang diumumkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) melibatkan tiga remaja lelaki - berusia 14, 15 dan 19 tahun - yang didapati menjadi radikal secara sendiri melalui kandungan dalam talian dan merancang melakukan serangan di Singapura.
Walaupun ketiga-tiga kes tidak berkaitan antara satu sama lain, ISD berkata mereka berkongsi satu persamaan yang membimbangkan - masing-masing dipengaruhi ideologi ekstrem ganas melalui internet, membuat persiapan untuk melakukan serangan, dan bertindak bersendirian tanpa arahan langsung daripada mana-mana kumpulan pengganas.
Penangkapan terkini itu menyusuli beberapa tangkapan sebelum ini melibatkan golongan belia yang radikal secara sendiri, umumnya dipengaruhi bahan-bahan dalam talian berunsur kebencian dan kemarahan kepada keadaan yang berlaku di dunia.
Persoalannya bukan sama ada remaja-remaja itu mempunyai pandangan yang betul atau salah. Persoalannya ialah, kepada siapa mereka boleh bertanya apabila pandangan itu mula terbentuk?
Asas bagi ruang-ruang sedemikian telah pun wujud.
Sejak beberapa tahun lalu, rangkaian M³ (MUIS, Mendaki dan Mesra) telah memperluaskan usaha mewujudkan ruang pembangunan kepimpinan, dialog dan jaringan sosial untuk belia.
Di peringkat nasional, baru-baru ini juga SG Youth Plan - pelan tindakan lima tahun - yang diterajui oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), juga menyenaraikan beberapa usaha menyediakan ruang terbuka bagi belia berdialog termasuk SG Youth Forum dan dialog bertema anjuran NYC.
Rancangan di peringkat masyarakat dan juga nasional itu memperluas usaha sedia ada, dan amat dialu-alu.
Kita memerlukan lebih banyak ruang yang selamat - di sekolah, masjid, rumah, pusat belia malah di media - di mana anak muda boleh mengemukakan pandangan mereka, walaupun mungkin cetek, emosional atau tersasar.
Mendengar tidak bermaksud bersetuju.
Sebaliknya, ia membuka peluang untuk membetulkan salah faham sebelum algoritma media sosial melakukannya dengan cara yang jauh lebih berbahaya.
Dalam erti kata lain, kita perlu membina satu ruang untuk kita sama-sama memahami dunia, bukan sekadar ruang untuk berdebat atau menghukum.
Kes terbaru ini juga mengingatkan kita bahawa bahasa agama mempunyai kuasa yang besar. Apabila dipetik di luar konteks atau dimanipulasi oleh pihak berkepentingan, ia boleh menjadi alat untuk menyemai kebencian dan ‘menghalalkan’ keganasan.
Sebab itu ibu bapa, pemimpin agama dan asatizah memikul tanggungjawab yang besar untuk terus memantau wacana agama, termasuk yang berligar di media sosial.
Mereka perlu membantu masyarakat membezakan antara ajaran agama yang sahih dengan retorik ekstrem yang berselindung di sebalik istilah keagamaan.
Namun kita juga harus berhati-hati agar tidak membuat kesimpulan yang salah.
Ekstremisme bukan masalah Islam, dan bukan masalah masyarakat Melayu/Islam semata-mata.
Kes-kes ISD sebelum ini menunjukkan bahawa ideologi ganas datang dalam pelbagai bentuk - daripada ISIS kepada fahaman pelampau sayap kanan, supremasi kaum, kebencian terhadap agama lain dan ideologi anti-negara.
Yang berubah hanyalah naratifnya sedangkan mekanisme radikalisasi sering kali sama: pengasingan, kemarahan, pencarian identiti dan pengaruh dunia digital.
Justeru, sudah tiba masanya kita mengadakan perbualan yang lebih jujur tentang ekstremisme dalam semua bentuk. Bukan untuk saling menuding jari, tetapi untuk berkongsi pengalaman, mengenal pasti tanda-tanda awal dan membina daya tahan masyarakat secara bersama.
Akhirnya, usaha menentang ekstremisme bukan hanya tanggungjawab agensi keselamatan.
Ia bermula di ruang makan keluarga, di bilik darjah, di rumah ibadah dan dalam setiap perbualan yang memberi peluang kepada seorang anak muda untuk berkata, “Saya keliru”, sebelum dia memilih untuk mempercayai seseorang yang menjanjikan jawapan mudah melalui kebencian.
Mungkin itulah benteng keselamatan yang paling penting untuk masa depan Singapura.