Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Generasi prihatin berhemah, perkasa berhikmah

Semangat bersuara, lakukan sesuatu perlu diimbangi dengan hemah, adab agar tidak terburu-buru buat pendirian, keputusan yang bawa kecelakaan, penyesalan
Jan 1, 2026 | 5:00 AM
Sifat prihatin perlu dipandu dengan hemah dan adab tinggi sementara pemerkasaan pula didokong oleh hikmah dan kebijaksanaan.
Sifat prihatin perlu dipandu dengan hemah dan adab tinggi sementara pemerkasaan pula didokong oleh hikmah dan kebijaksanaan. - Foto ISTOCKPHOTO

Belia Singapura prihatin mengenai kebajikan orang lain.

Ini ditunjukkan melalui kesukarelawanan dan sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Mereka terlibat aktif dalam kerja kemasyarakatan, peka mengenai dan terlibat dalam isu sosial dan politik.

Namun, kerana keterbatasan masa dan sumber, wadah dan sumber maklumat mereka banyak bergantung kepada media sosial berbanding dengan penglibatan peribadi dan secara fizikal.

Dalam menjalankan peranan sosiopolitik ini belia bergantung kepada kemahiran profesional dan pendidikan mereka.

Tetapi, keterbatasan pengalaman dan kemahiran khusus menjadi cabaran dalam memberi sumbangan yang berhikmah.

Mereka masih terus mencari makna dalam kehidupan.

Di sinilah pentingnya membangun generasi prihatin yang berhemah atau beradab, dan perkasa yang berhikmah atau bijaksana.

Dan dalam menggabungkan semangat dan tenaga belia dengan pengalaman dan hikmah (kebijaksanaan) generasi mapan yang telah duji.

Keprihatinan Yang Meningkat

Belia Singapura menginginkan pembangunan masyarakat yang inklusif, penuh belas kasihan dan rahmah.

Mereka meluangkan masa untuk terlibat secara aktif dengan tujuan dan isu yang dekat di hati mereka.

Ada yang menyuarakan aspirasi bahawa rakyat Singapura perlu belajar menyayangi satu sama lain sebagai seorang insan, tanpa mengira bangsa, status sosial, kerakyatan dan sebagainya.

Aspirasi belia ini dirakam dalam kajian Youth Steps yang dikendalikan oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan Makmal Sosial Institut Kajian Dasar (IPS) di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Youth Steps ialah satu kajian membujur (longitudinal study) melibatkan lebih 3000 belia semenjak 2017.

Kini masuk ke fasa kedua selama lima tahun bermula 2024 hingga 2028, ia menjejak belia ini untuk memahami aspirasi kehidupan mereka, kualiti hubungan, nilai dan sikap peribadi, begitu juga pencapaian dan kesejahteraan mereka.

Keprihatinan belia Singapura dalam hal-hal sosiopolitik menunjukkan peningkatan.

Sebanyak 52 peratus menyuarakan minat dalam hal sosial dan politik secara dalam dan luar talian (2020), berbanding 39 peratus pada 2019.

Sebanyak 90 peratus aktif mengikuti isu sosial dan politik (2020) berbanding 88 peratus (2019).

Dan 77 peratus menyokong usaha sosial dan kemasyarakatan, meningkat dari 72 peratus (2019).

Melihat pada trend, peningkatan data ini dapat dijangkakan dalam fasa selanjutnya.

Secara anekdot, penglibatan aktif belia dapat diperhatikan pada tahun-tahun kebelakangan ini, khususnya selepas 7 Oktober 2023 (krisis Gaza).

Usaha kemanusiaan, seperti yang dianjurkan oleh badan seperti Humanity Matters dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menyaksikan penglibatan belia yang meningkat.

Secara peribadi, saya teruja melihat semangat dan keprihatinan golongan belia dalam berbagai penglibatan dan dialog aktif saya dengan mereka.

Semua ini petanda baik bagi masa depan Singapura, generasi belia yang prihatin, dan tidak bersikap individualistik.

Berhemah dan Beradab

Namun, bagaimana kita aktif terlibat dalam usaha-usaha ini adalah penting.

Semangat yang membara sahaja tidak bertahan lama. Bahkan, ia boleh membawa kepada keletihan dan kejenuhan (burnout).

Semangat ini perlu dikawal dengan hemah dan adab yang tinggi.

Khususnya dalam era media sosial, di mana semangat diapi-apikan dengan fakta yang diputar balik dan maklumat kurang tepat.

Berhemah atau beradab bermaksud menahan diri dari cepat menghukum, sikap tergesa-gesa, bertindak hanya mengikut gerak hati, dengan menjaga tatasusila dan rasa hormat.

Maklumat perlu diperiksa kesahihannya.

Al-Qur’an mendidik kita agar sentiasa memeriksa kebenaran sesuatu berita. Ini demi mengelakkan kecelakaan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya membawa kepada penyesalan (Lihat Surah al-Ahzab: 6).

Kebodohan yang dirujuk dalam ayat ini tidak hanya bermakna kebodohan intelek atau akal.

Tetapi juga kebodohan sikap dan emosi, terburu-buru dalam membuat pendirian dan keputusan.

Ini membawa kepada sikap semberono yang mengakibatkan kecelakaan dan penyesalan.

Berhemah bermaksud memikirkan akibat dan tujuan sesuatu tindakan dalam memelihara prinsip dan kepentingan umum.

Ia bukan hanya dinilai pada kesahihan berita dan fakta.

Tetapi juga kesan kepada kemaslahatan kolektif dan jangka panjang dalam memelihara prinsip dan tujuan.

Keperkasaan Berhikmah

Generasi belia hari ini lebih terpelajar dan berkemahiran tinggi.

Khususnya dengan penekanan sistem pendidikan dan kepimpinan negara pada pembangunan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat. 

Ini adalah aset penting masyarakat dan negara.

Namun, keperkasaan (empowerment) tidak hanya disebabkan ilmu dan kemahiran semata.

Keperkasaan adalah kemampuan dan motivasi dalaman seseorang dalam mempengaruhi dan membuat keputusan demi tujuan dan makna kehidupan.

Kejelasan tujuan dan makna kehidupan, begitu juga kepercayaan ini adalah penting.

Kepentingan kejelasan makna hidup (life meanings) dan sistem kepercayaan (belief system) dalam memperkasa seseorang ditekankan oleh ramai pengkaji dan dapatan psikologi dan sosial.

Dan ini jugalah sesuatu yang masih terus dicari generasi muda.

Gabungan keyakinan (confidence) hasil dari ilmu, kemahiran, dan keimanan, dengan daya tahan dan kebingkasan bangkit dari kesusahan (resilience) akan menghasilkan keperkasaan (empowerment) ini.

Ciri keyakinan dan kebingkasan ini telah saya jelaskan dalam makalah-makalah tahun baharu pada tahun-tahun sebelum ini.

Hikmah, atau kebijaksanaan, tidak didapati dalam bilik-bilik kuliah semata atau teori-teori ilmiah.

Ia lahir dari pengalaman hidup, bergelumang dengan realiti kehidupan, krisis, kesusahan dan kegagalan.

Ia adalah gabungan ilmu dan pengalaman kehidupan.

Hikmah adalah ketajaman pandangan dan kemampuan meletakkan sesuatu pada tempatnya, masanya dan kadarnya.

Kemampuan untuk melihat visi jauh dan kemaslahatan jangka panjang.

Di sinilah pentingnya gabungan semangat orang muda dan pengalaman generasi mapan.

Keperkasaan yang dipandu hikmah akan memberi makna dan mengelakkan kehampaan dan kejenuhan.

Kerana keperkesaan ini meletak visi jauh, tujuan dan kemaslahatan jangka panjang sebagai keutamaan.

Kesimpulan

Data dan pengamatan sosial menunjukkan petanda baik mengenai generasi muda yang prihatin dan perkasa.

Namun, sifat prihatin ini perlu dipandu dengan hemah dan adab tinggi.

Keperkasaan ini pula didokong oleh hikmah dan kebijaksanaan.

Ini perlu dicapai melalui gabungan semangat dan tenaga generasi muda dengan pengalaman dan ketajaman visi generasi mapan.

Semoga tahun baru ini terus memperkukuhkan gabungan tenaga dan hikmah dalam mengharungi cabaran hidup yang semakin mencabar dan tidak menentu. 

Ini perlu ditegaskan khususnya dengan peralihan kepimpinan nasional dan masyarakat Islam Singapura.

Nota: Penulis mantan Timbalan Mufti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg