Apakah Arne Slot akan dipecat atas prestasi kurang hebat Liverpool baru-baru ini?
Sehingga saat makalah ini ditulis, beliau masih kekal jurulatih pasukan Liga Perdana England (EPL) itu.
Namun masa depannya bersama kelab itu masih jadi tanda tanya.
Bagi para peminat, masih jelas dalam ingatan tatkala Liverpool menjulang kejuaraan EPL pada musim lalu – hanya beberapa bulan selepas Slot dilantik selaku pengurus pasukan tersebut.
Tapi lebih penting lagi kini Slot dipertanggungjawabkan atas prestasi kurang memberangsangkan pasukan pimpinannya itu.
Padahal Liverpool terdiri daripada 25 pemain dalam satu pasukan dan sehingga 16 pemain boleh bermain dalam satu perlawanan (termasuk pemain gantian).
Ini belum termasuk puluhan jurulatih, pakar fisiologi dan psikologi serta ramai pegawai lain.
Tapi apabila prestasi pasukan jadi kurang baik, ketua jurulatih yang perlu memikul tanggungjawab dan kemudian menerima padahnya.
Ternyata demikian hakikat kehidupan pemimpin. Mereka mengambil risiko dan perlu menanggung tanggungjawab.
Apabila tiada sesiapa yang berani membuat keputusan sukar, seorang pemimpin biasanya perlu melakukannya.
Mengambil risiko dan membuat keputusan adalah sebahagian daripada kepimpinan dan ia menuntut keberanian.
Seorang pemimpin tidak boleh berasa takut untuk mengambil risiko.
Seorang pengkaji kepimpinan dan transformasi organisasi, Brene Brown, menemuramah ratusan ketua pegawai syarikat besar dunia bagi projeknya yang dinamakan Dare to Lead.
Satu soalan yang diajukan pada semua ketua ini dan responden kajiannya adalah apakah satu-satunya perkara yang harus berubah pada pemimpin hari ini untuk berjaya dalam dunia yang kompleks, pesat berubah dan mencabar?
Jawapan yang diberi para responden ini adalah mereka memerlukan pemimpin dan budaya yang berani.
Menurut mereka, keberanian ini membantu menangani beberapa masalah, sikap dan budaya sesebuah organisasi.
Antaranya termasuk mengatasi rasa takut dalam memberi maklum balas yang jujur atau budaya sekadar ikut perintah tanpa memberikan sebarang pandangan.
Sikap sebegini juga dikenali sebagai sikap ‘Ya Tuan’.
Lantas ini akan membuat kepercayaan mulai pudar, selain hilangnya sifat empati.
Bila kesilapan berlaku, sering sahaja timbul sikap menyalahkan dan memalukan.
Akibatnya keinginan untuk mencapai kesempurnaan sehingga takut melakukan kesilapan atau mengambil risiko menghambat pembangunan serta kemajuan.
Yang pasti kepimpinan tidak boleh hanya bersikap populis – sekadar ingin mengambil hati dan tidak membuat keputusan yang sesuai dan berani.
Sebaiknya kepimpinan harus melihat visi jangka panjang, didukung oleh prinsip jelas serta nilai-nilai yang membangun organisasi dan masyarakat.
Lebih penting lagi, hubungan antara pemimpin dengan pengikut.
Tanggungjawab utama pemimpin adalah memastikan kebajikan dan pembangunan pengikutnya, bukan hanya menyasarkan kepada bisnes, penunjuk prestasi utama (KPI) atau operasi pertubuhan semata-mata.
Bila pengikut tidak diabaikan, tugas dan sasaran akan turut terjaga.
Seorang pemimpin, apa jua pangkat dan kedudukannya, bertanggungjawab membangun dan mengembangkan potensi pengikutnya serta membina budaya dalam mengembangkan potensi.
Ini dilakukan juga melalui hubungan saling mempercayai dan melabur dalam pembangunan kepercayaan.
Dengan bersifat empati, pemimpin melihat tidak hanya dari sudut pandangannya, tetapi memahami cabaran pengikut dan anggota pasukannya.
Impaknya bukan sekadar untuk jangka masa pendek. Sebaliknya ia mampu membangun budaya dan meninggalkan impak jangka panjang.
Walaupun dalam era di mana penilaian dibuat pada siapa yang lebih kuat soraknya, lebih banyak pengikut dan ‘likes’, seorang pemimpin sejati tidak akan bersikap populis.
Beliau biasanya melihat kepada kepentingan jangka panjang.
Dalam melakukan segala ini, pemimpin akan bersikap bertanggungjawab.
Pada masa yang sama keberkesanan seorang pemimpin bergantung juga kepada keberkesanan pengikutnya.
Jika kita ingin melahirkan pemimpin yang berani, kita perlu mewujudkan budaya kerja yang turut berani.
Pengikut juga perlu telus dan tulus dalam memainkan peranan mereka termasuk memberi maklum balas – bukan hanya apa yang ingin didengar oleh pemimpin.
Seperti pemimpin, pengikut perlu memelihara kepentingan jangka panjang, perpaduan dan mendukung prinsip serta nilai murni.
Dalam konteks kepentingan memelihara perpaduan dan kepentingan umum, Ibn Khaldun dalam buku tersohor beliau, al-Muqaddimah, menceritakan satu peristiwa di mana seorang pemuda telah berkata kepada Imam Ali ibn Abi Talib, khalifah keempat.
“Kenapa orang-orang Islam berpecah dan bertelagah dengan kamu, sedangkan mereka tidak demikian pada Abu Bakar al-Siddiq dan Umar ibn al-Khattab?”
Imam Ali berkata: “Kerana Abu Bakar dan Umar menjadi pemimpin kepada pengikut seperti aku. Hari ini, aku menjadi pemimpin pada pengikut seperti kamu.”
Pengikut juga perlu berani mengambil risiko, kritikal namun bertanggungjawab dan kreatif selain menjaga prinsip dan nilai dalam bekerja.
Setiap anggota pengikut memainkan peranan penting. Tiada yang terlalu kecil peranannya.
Nilai sesuatu kerja bukan pada saiznya, tetapi pada tujuan dan prinsipnya.
Pengikut perlu sama bertanggungjawab, dan tidak hanya menyalahkan pemimpin.
Keberanian pemimpin dan pengikut bergantung kepada sikap terbuka dan saling percaya-mempercayai.
Mudah untuk membuat ulasan dalam keselesaan bilik ulasan yang berhawa dingin, jika tidak mempunyai pengalaman bermain di atas padang.
Pengulas boleh menganalisis dan memberikan data permainan.
Dengan dibantu teknologi data, dan kini dengan kecerdasan buatan (AI).
Beliau tidak berada di padang bagi merasakan hakikat bermain di bawah pengamatan jutaan pasang mata dan tekanan suasana sebenar.
Sememangnya memberi ulasan itu mudah. Turunlah padang. Mainlah bersama yang lain.
Saya teringat menonton perlawanan bersejarah Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun.
Korea Selatan merupakan pasukan Asia pertama maju ke peringkat separuh akhir, mengalahkan beberapa jaguh bola sepak dunia seperti Portugal, Italy dan Sepanyol. Ia tewas dengan hanya satu gol kepada pasukan Jerman. Pada perlawanan tempat ketiga, Korea Selatan bermain dengan pasukan Turkey.
Pada awal permainan, ketua pasukan Korea membuat kesilapan dan mengakibatkan ketua pasukan Turkey menjaringkan gol terpantas dalam sejarah Piala Dunia.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan 3-2 bagi pasukan Turkey.
Namun, pasukan Korea mendapat perhatian dan pujian dunia atas nilai-nilai kesukanan dan permainan bersih.
Ketua pasukan Korea dijulang oleh para pemainnya. Pemain-pemain Turkey yang dipimpin kaptennya memberi penghormatan besar kepada pasukan Korea.
Penonton berdiri megah memberi penghormatan kepada pasukan mereka.
Ketua pasukan Korea tidak hanya dinilai pada satu kesilapan besar.
Teman-teman seperjuangan menghargai usaha dan sumbangannya selama itu.
Mereka yang bermain dalam suasana tegang dan tekanan di bawah tontonan jutaan manusia di dunia memahami dan merasakan empati.
Mereka bukan pengulas pasif atau tukang sorak populis.
Peranan mereka yang bersorak pula biasanya mengeluarkan suara yang lantang.
Ramai yang selesa memainkan peranan tukang sorak.
Mereka tidak turun ke padang bermain dan menyumbang. Tetapi bersorak dan puas meraih ‘likes’ serta ‘followers’ di media sosial.
Suara lantang mereka dilihat sebagai lambang berani.
Di sebalik tabir mereka bersorak, menilai dan menghukum, tetapi hanya sebagai jaguh siber.
Peristiwa perlawanan tempat ketiga Piala Dunia 2002 memberi harapan masih ada pengulas, pengkritik, penonton dan tukang sorak yang bertanggungjawab dan empati. Ini penting demi pembangunan pasukan dan masyarakat.
Baru-baru ini, Gavin Lee dilantik selaku Ketua Jurulatih pasukan nasional Singapura.
Ini selepas beliau berjaya memimpin pasukan negara ke pusingan akhir Piala Asia buat kali pertama secara merit.
Ini dilakukan dalam masa yang singkat. Terasa keghairahan dan kegembiraan meninggi.
Tetapi ini juga bermakna harapan yang melambung. Namun, perjalanan masih jauh.
Bagaimanakah pemimpin, pengikut, pengulas dan mereka yang memberikan sorakan dapat bersetuju pada prinsip dan kepentingan jangka panjang?
Bukan yang sementara. Bukan yang populis. Tapi yang selamanya.
Yang pasti ini bukan hanya kisah pasukan dan perlawanan bola sepak. Ia adalah cerita satu masyarakat dan negara. Cerita kepimpinan dan pengikutnya.
Penulis mantan Timbalan Mufti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg