Topik diikuti
Pergi ke BHkuKenaikan gaji menteri: Antara kewajaran dengan menilai sensitiviti masyarakat
Kenaikan gaji menteri: Antara kewajaran dengan menilai sensitiviti masyarakat
Baru-baru ini, pemerintah Singapura telah mengumumkan bahawa gaji para menteri dan pemegang jawatan politik lain akan dinaikkan.
Turut dikemas kini ialah gaji Presiden, Speaker, Timbalan Speaker, Mayor, Anggota Parlimen (AP), Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) serta Anggota Parlimen Dilantik (NMP).
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Peyelaras bagi Perkhidmatan Awan dan juga Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, mengumumkan perkara tersebut di Parlimen pada 8 September lalu.
Kenaikan gaji ini berlaku setelah pemerintah menerima saranan jawatankuasa yang menetapkan gaji para menteri dan pemegang jawatan politik.
Walaupun isu yang sering kali mendapat perhatian ramai ialah jumlah pembayaran yang diterima ahli-ahli politik ini, yang mencecah jutaan dolar setiap tahun bagi setiap menteri, hakikatnya gaji mereka tidak dinaikkan selama 15 tahun.
Pengumuman ini menjelaskan bahawa kerangka asas penentuan gaji para menteri tidak berubah.
Gaji yang menjadi rujukan ialah gred MR4, iaitu gaji peringkat menteri Kabinet yang paling asas, manakala gaji-gaji jawatan di atas atau di bawah gred tersebut ditentukan berdasarkan formula yang ditetapkan.
Misalnya, gaji Perdana Menteri adalah dua kali ganda MR4, dan bagi pemegang jawatan di bawah menteri seperti Menteri Negara, Setiausaha Parlimen dan Speaker adalah beberapa peratus di bawah MR4 tersebut.
Apa yang perlu kita fahami di sini adalah di antara perubahan-perubahan ini adalah gaji MR4 ini dinaikkan daripada $1.1 juta kepada $1.8 juta setahun.
Namun, Perdana Menteri tidak melaksanakan saranan ini, dan hanya bersetuju menaikkan gaji menteri kepada 9 peratus sahaja – kurang daripada apa yang disarankan.
Sebagai contoh, menurut saranan jawatankuasa semakan gaji ini, gaji Perdana Menteri seharusnya dinaikkan kepada $3.6 juta berbanding $2.2 juta sekarang. Namun, Perdana Menteri bersetuju untuk mendermakan jumlah yang dinaikkan itu – $1.4 juta – kepada badan amal.
Isu kenaikan gaji menteri ini pasti menimbulkan perdebatan hangat di kalangan masyarakat, terutama di media sosial.
Ada yang mempersoalkan masa ia diumumkan, memandang keadaan ekonomi yang tidak menentu di samping perang dagangan Amerika Syarikat dengan China dan negara-negara lain; peperangan Amerika dengan Iran dan sekatan di Selat Hormuz yang menyumbang pada krisis tenaga; dan juga peperangan antara Ukraine dan Russia yang masih berlarutan.
Sebaliknya, ada pula yang setuju akan kenaikan tersebut kerana ia sudah lebih daripada sedekad ia tidak dikemas kini, memandang gaji penjawat-penjawat awam yang lain telah dinaikkan beberapa kali.
Ada beberapa perkara juga yang perlu diamati sebelum kita mengeluarkan pandangan atau kritikan. Antaranya adalah penentuan gaji menteri mengikut formula yang tersendiri, di mana gaji 1,000 rakyat Singapura yang teratas disusun dan kemudian ditentukan mediannya.
Formula ini amat telus kerana jika jawatankuasa memilih untuk menggunakan kaedah purata (average), ia akan mengambil kira gaji tertinggi yang ekstrem.
Bukan itu sahaja, setelah mengambil gaji pertengahan antara 1,000 tertinggi itu, pemerintah mengenakan potongan 40 peratus lagi, dan ini boleh bermakna bahawa gaji MR4 menteri ini berkemungkinan berada di bawah 1,000 yang teratas tadi.
Mungkin ada yang akan mempersoalkan mengapa diukur dengan gaji 1,000 teratas dan bukan 2,000 atau 3,000? Atau mengapa mengenakan potongan 40 peratus dan bukan lebih daripada itu?
Ini adalah ketetapan yang tidak ada betul atau salahnya.
Benar bahawa gaji para menteri dan tokoh-tokoh politik ini jauh lebih tinggi daripada gaji masyarakat Singapura amnya, terutama masyarakat Melayu.
Tetapi, nilai di sebalik pengurangan dan formula ini boleh dipertimbangkan.
Malah berbanding di negara-negara lain, menteri di Singapura tidak mempunyai keistimewaan-keistimewaan lain seperti perumahan yang disediakan, atau sebidang tanah, atau pakej persaraan seumur hidup.
Hujah pemerintah tentunya adalah bahawa mereka perlu menarik bakat-bakat di luar sana dengan gaji yang setanding dengan sektor swasta.
Antara sektor yang mungkin membayar gaji lebih tinggi ialah sektor perniagaan, kewangan, pelaburan dan guaman.
Pasti ada yang berbeza pandangan dalam hal ini kerana seseorang yang berkaliber dan berkelayakan akan menawarkan diri bukan kerana wang semata-mata.
Namun, hakikatnya menjadi orang politik zaman ini juga memerlukan pengorbanan yang besar, yang tidak boleh dinilai menerusi wang, dan tiada pampasan yang boleh membeli masa bersama keluarga, terutama sekali anak-anak, dan ruang peribadi.
Malah kehidupan pasca politik juga tidak menentu kerana secara purata ia ditentukan oleh sokongan rakyat dalam pilihan raya. Ada beberapa contoh di mana kerjaya menteri atau AP ini dipendekkan atas tewas dalam pilihan raya, peletakan jawatan dan/atau persaraan.
Mentelah, seorang anggota politik juga akan sering menjadi bahan perbualan sama ada positif atau negatif di media-media sosial, kerana itulah budaya berpolitik di zaman ini.
Dengan kedudukan masyarakat yang lebih terpelajar, mereka akan bersedia untuk berbahas tentang dasar-dasar atau pandangan tokoh-tokoh politik ini secara terbuka.
Ini menyebabkan orang politik sentiasa harus selalu berada di hadapan dari sudut pembacaan pandangan masyarakat.
Isu gaji menteri ini sudah lama menjadi pokok perbincangan dalam masyarakat.
Namun, ada dua perkara yang perlu dinilai semula walaupun falsafah di sebalik gaji menteri yang tinggi ini tidak akan berubah dalam masa terdekat.
Pertama, kita perlu memikir-ulang barisan kepimpinan politik akar umbi yang lebih inklusif.
Misalnya, dahulu, para guru, wartawan dan aktivis kesatuan sekerja menjadi antara yang diundang ke politik.
Perkembangan mutakhir ini ada kalanya menyamakan ukuran gaji dengan bakat seorang pemimpin, dan ini menjadikan kepimpinan kita terlalu berpihak kepada golongan profesional dalam bidang-bidang tertentu sahaja.
Kedua, khususnya bagi masyarakat Melayu, memandangkan gaji menteri ini jauh lebih tinggi berbanding orang-orang Melayu umumnya, kepimpinan masyarakat perlu lebih sensitif apabila menyantuni masyarakat.
Walaupun pemimpin-pemimpin lebih berkemampuan dalam banyak perkara, mereka tidak boleh menonjolkan gaya kehidupan atau kemewahan secara berlebih-lebihan, dan sebaliknya mencerminkan sifat ihsan.
Ini penting bagi mengubati persepsi jurang di antara rakyat biasa dengan pemimpin masyarakat yang dianggap sangat besar.
Tingkah laku dan perwatakan yang baik akan mencerminkan gaya kepimpinan yang berkesan, dan bukan kedudukan kewangan dan material seseorang.
Pengumuman Encik Wong secara terbuka untuk mendermakan kenaikan gaji pada badan-badan amal adalah langkah yang boleh dicontohi.
Penulis adalah Zamil Utama ISEAS-Yusof Ishak Institute, dan Koordinator Program Sosial dan Budaya Masyarakat (RSCS).
