Berikut ucapan penuh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Parlimen pada 8 September mengenai respons pemerintah terhadap semakan gaji pemegang jawatan politk serta Anggota Parlimen (AP).

Tuan Speaker, pada Disember tahun lalu, pemerintah melantik sebuah jawatankuasa bebas untuk menyemak rangka kerja gaji politik.

Kami menerbitkan laporan itu hari ini. Pada masa yang sama, kami mengemukakan maklum balas pemerintah.

Penting bagi para Anggota Parlimen (AP) dan rakyat Singapura melihat kedua-duanya bersama.

Jawatankuasa telah menyemak rangka kerja tersebut dan mengemukakan saranannya.

Namun, pemerintah perlu memutuskan cara melaksanakan saranan itu dan bertanggungjawab atas keputusan tersebut.

Maka, kami mengemukakan maklum balas kami bersama laporan ini agar orang ramai tidak perlu membuat andaian tentang pelaksanaannya.

Rangka kerja gaji ini bukan perkara baharu. Ia telah dibahaskan secara mendalam di Parlimen pada 2012 dan para anggota sudah memahami cara ia berfungsi. Jawatankuasa mengesahkan bahawa rangka kerja ini masih mantap, sambil mengemas kini tetapannya dan menyarankan beberapa penyempurnaan.

Pemerintah menerima saranan jawatankuasa. Namun, kami tidak bercadang untuk terus beralih kepada tahap gaji yang disarankan dalam selangkah.

Dalam kenyataan saya, saya akan menjelaskan pendekatan kami dan pertimbangan di sebaliknya. Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Encik Chan Chun Sing kemudian akan menghuraikan butirannya dalam kenyataan berasingan.

Selepas kenyataan ini, kami akan membahaskan maklum balas kami pada Khamis. Para anggota berpeluang menyuarakan pandangan dan mengemukakan soalan, dan Encik Chan dan saya akan menjawabnya.

Gaji politik merupakan perkara yang sukar dan menyentuh emosi. Jumlahnya melebihi pendapatan kebanyakan rakyat. Jadi, saya memahami mengapa rakyat Singapura menelitinya dengan rapi dan mengapa ramai mempunyai pendirian yang tegas tentang perkara ini. Dalam kalangan menteri sendiri, perkara ini juga tidak mudah dibincangkan.

Namun, sistem kami terbuka dan kami percaya gaji menteri perlu telus. Kami tidak boleh mengelak perkara ini kerana ia sukar dari segi politik. Ini bukan sekadar soal gaji. Persoalannya ialah sama ada Singapura akan terus mempunyai kepimpinan politik bermutu yang diperlukan untuk membawa negara kita ke hadapan dan berkhidmat dengan baik kepada rakyat Singapura pada tahun-tahun mendatang.

Latar belakang

Dalam perbahasan pada 2012, terdapat banyak persamaan antara pendirian Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Parti Pekerja (WP).

WP mengemukakan formula yang berbeza daripada kami, tetapi tahap gaji yang dicadangkan secara umumnya berada dalam julat yang sama. Lebih penting lagi, kedua-dua pihak di Dewan bersetuju dengan prinsip asas berikut:

- Gaji politik harus telus, tanpa faedah dan kemudahan tersembunyi.

- Gaji tersebut harus cukup berdaya saing untuk menarik calon berkebolehan, tetapi ditetapkan jauh di bawah gaji pasaran bagi mencerminkan semangat berkhidmat kepada rakyat.

Sejak itu, pemerintah berulang kali mengambil pendekatan berwaspada dalam mengubah gaji di bawah rangka kerja tersebut.

Pada 2017, jawatankuasa semakan bebas menyarankan kenaikan gaji. Pemerintah memutuskan untuk tidak melaksanakannya.

Semakan seterusnya dijadualkan pada 2023, tetapi ditangguhkan.

Akibatnya, kadar gaji pemegang jawatan politik kekal tidak berubah selama 15 tahun.

Dalam tempoh yang sama, gaji di sektor lain telah meningkat. Gaji sektor swasta meningkat, gaji perkhidmatan awam disemak dan gaji badan kehakiman dikemas kini.

Akibatnya, gaji menteri semakin ketinggalan. Jurang ini paling ketara berbanding sektor swasta. Namun, dalam perkhidmatan awam sekalipun, sesetengah Setiausaha Tetap kanan menerima gaji lebih tinggi daripada Menteri. Ini bukan kerana rangka kerja itu berubah, tetapi kerana pemerintah sebelum ini memilih untuk mengekang kenaikan gaji pada masa yang berbeza.

Setiap keputusan itu dibuat atas alasan yang munasabah. Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong sebenarnya berharap dapat menyelesaikan perkara ini sebelum berundur sebagai Perdana Menteri (PM).

Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak mahu meninggalkan perkara sukar seperti ini kepada penggantinya. Namun, keadaan ketika itu tidak mengizinkan beliau menaikkan gaji. Maka, tanggungjawab itu kini terletak pada saya.

Dari segi politik, lebih mudah bagi saya membiarkan keadaan seperti sekarang. Namun, itu bukan tindakan yang betul. Kita tidak boleh menerima rangka kerja ini pada prinsipnya tetapi terus mengabaikannya dalam amalan.

Jika demikian, lama-kelamaan rangka kerja itu tidak bermakna. Sikap berhati-hati tidak boleh bertukar menjadi pengabaian. Itulah sebabnya saya memutuskan kita bertindak sekarang.

Mengapa kepimpinan politik penting

Asasnya ialah pemerintahan yang baik bergantung pada kepimpinan yang baik.

Institusi yang berkesan bergantung pada mereka yang memimpinnya.

Sistem dan proses penting. Namun, kedua-duanya tidak berfungsi dengan sendiri.

Terutama di peringkat tertinggi, mutu kepimpinan membawa perbezaan yang menentukan.

Syarikat amat memahami perkara ini.

Itulah sebabnya lembaga pengarah meluangkan banyak masa untuk merancang peralihan kepimpinan.

Mereka tahu bahawa pemimpin di peringkat tertinggi menentukan mutu keputusan, keupayaan pasukan dan akhirnya pencapaian organisasi.

Saya sendiri mempelajari perkara ini dalam perkhidmatan awam, betapa pentingnya menempatkan orang terbaik di pucuk pimpinan.

Saya pernah menyandang jawatan Ketua Eksekutif (CE) Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) ketika pemerintah mengambil alih projek gas asli cecair (LNG). Maka, tugas membina terminal LNG diserahkan kepada EMA.

Tiada seorang pun di EMA yang berpengalaman dalam bidang ini.

Jadi, saya berusaha mencari orang terbaik untuk memimpin projek tersebut.

Akhirnya, saya menemui orang yang sesuai. Untuk menariknya bersama kami, saya perlu menawarkan pakej gaji yang setanding, jauh melebihi gaji saya sebagai CE EMA.

Beliau membuktikan kebolehannya. Beliau membina pasukan LNG dari mula dan menyiapkan terminal itu dengan selamat, tepat pada masa dan mengikut bajet.

Ada yang mungkin mengatakan bahawa menteri berbeza. Singapura sudah mempunyai perkhidmatan awam bertaraf tinggi. Tentunya penjawat awam yang berkebolehan dapat memastikan sistem terus berfungsi.

Saya menghabiskan bertahun-tahun dalam perkhidmatan awam dan amat berbangga dengan penjawat awam kita.

Mereka meneliti perkara yang dihadapi, mengemukakan pelbagai pilihan dan memberikan nasihat terbaik berdasarkan kepakaran mereka kepada menteri.

Setelah keputusan dibuat, mereka bekerja keras untuk melaksanakannya dengan baik.

Namun, ada keputusan yang tidak boleh dan tidak seharusnya dibuat oleh penjawat awam.

Contohnya, seberapa cepat kita harus menyusun semula sesuatu industri jika langkah itu boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan?

Bagaimanakah kos jaringan keselamatan sosial yang lebih kukuh harus dikongsi antara individu, masyarakat dan pemerintah?

Berapa banyak cukai yang harus kita kenakan hari ini, dan berapa banyak yang harus kita tinggalkan untuk generasi akan datang?

Ini bukan persoalan teknikal. Ia melibatkan pilihan tentang keutamaan, kepentingan dan nilai.

Perkhidmatan awam yang mantap tidak dapat menggantikan kepimpinan politik yang berkesan.

Menteri perlu menentukan hala tuju kementerian, menetapkan keutamaan dan membuat keputusan strategik.

Jika keputusan itu salah, penjawat awam terbaik sekalipun akan sukar mencapai hasil yang baik.

Mereka mungkin melaksanakannya dengan cekap, tetapi pelaksanaannya tetap menuju ke arah yang salah.

Lama-kelamaan, mutu kepimpinan politik turut mempengaruhi mutu perkhidmatan awam.

Pegawai yang berkebolehan mahu bekerja dengan pemimpin yang mereka hormati dan boleh mereka belajar daripadanya.

Mereka mahukan menteri yang memahami perkara yang dihadapi, mengemukakan soalan yang tepat, membuat pertimbangan yang baik dan bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat.

Jika menteri terus gagal memenuhi harapan, pegawai yang cekap akan kecewa. Ramai akan meninggalkan perkhidmatan awam. Ada yang mungkin kekal, tetapi kurang bersedia menyumbang saranan terbaik atau memikul tugas paling mencabar.

Maka, tanggapan bahawa menteri yang kurang berkebolehan boleh memimpin perkhidmatan awam bertaraf tinggi dan semuanya akan lancar hanyalah angan-angan.

Anggota yang lama berkhidmat tentu ingat menonton sitkom British Yes Minister, yang memaparkan penjawat awam seolah-olah sentiasa lebih bijak daripada menteri.

Namun, gambaran itu masih tidak begitu membimbangkan kerana sekurang-kurangnya mereka yang berkebolehan kekal dalam sistem.

Risiko yang lebih serius ialah kepimpinan politik yang lemah akhirnya turut melemahkan perkhidmatan awam.

Risiko ini bukan sekadar andaian. Kita melihatnya berlaku di negara lain. Perkhidmatan awam di negara yang dahulunya terkenal dengan pemerintahan yang berkebolehan tinggi telah merosot apabila kepimpinan politik di peringkat tertinggi menjadi lemah.

Apakah yang kita cari dalam diri seorang menteri?

Pertama, perwatakan. Ini syarat mutlak. Jika seseorang tidak mempunyai ketelusan, nilai dan kesungguhan untuk berkhidmat, walau sehebat mana pun kebolehannya, dia tidak seharusnya menjadi menteri.

Namun, perwatakan sahaja tidak mencukupi.

Menteri juga perlu berkebolehan, dengan pertimbangan, keupayaan dan kepimpinan untuk menjalankan tugas dengan baik.

Di sinilah gaji menjadi pertimbangan. Gaji tidak menentukan siapa yang berkebolehan, tetapi mempengaruhi sama ada ramai yang berkebolehan bersedia untuk tampil dan memikul tanggungjawab.

Tugas ini sendiri amat mencabar. Ada yang mungkin menganggapnya mudah dan menteri hanya perlu mengikut pandangan yang popular.

Memang akan sentiasa ada pilihan yang lebih mudah dari segi politik.

Kita boleh menangguhkan pembaharuan yang mencabar.

Kita boleh menjanjikan lebih banyak faedah tanpa menjelaskan siapa yang akan menanggungnya.

Kita boleh mengelakkan keputusan yang tidak disenangi golongan tertentu.

Semua itu mungkin lebih mudah dalam jangka pendek.

Namun, akhirnya kita tetap akan menanggung akibatnya.

Kita melihat perkara ini berlaku di banyak negara.

Pemimpin pemerintah sering tahu apa yang perlu dilakukan.

Namun, kesan politiknya dirasakan serta-merta, sedangkan manfaatnya mungkin hanya diperoleh bertahun-tahun kemudian.

Maka, keputusan sukar ditangguhkan, kadangkala berulang kali.

Akhirnya, rakyat terpaksa menanggung kos yang jauh lebih tinggi.

Singapura tidak mempunyai banyak ruang seperti kebanyakan negara lain untuk mentadbir dengan cara ini. Negara kita kecil dan tidak mempunyai banyak kelebihan semula jadi. Kita tidak boleh membiarkan masalah besar berlarutan selama bertahun-tahun sebelum bertindak.

Ambil contoh pembaharuan dasar keluarga yang saya umumkan dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan.

Penjawat awam boleh menyemak setiap skim dan menyarankan pembaikan. Namun, Cik Indranee Rajah dan pemegang jawatan politik lain dalam kumpulan kerja meneliti keperluan ibu bapa secara menyeluruh dan membantu membentuk pakej sokongan.

Mereka menentukan bidang yang paling memerlukan sokongan, cara kos harus dikongsi antara ibu bapa, majikan dan pemerintah, serta cara pelbagai langkah itu harus digabungkan.

Kita mampu melakukannya sekarang hanya kerana keputusan yang diambil selama bertahun-tahun.

Pemerintah sebelum ini berhemat dalam berbelanja dan berdisiplin dalam mengurus sumber kita. Ini memerlukan keputusan sukar, termasuk menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila kita tahu keperluan perbelanjaan akan meningkat.

Oleh sebab kita bertindak lebih awal, kita kini mempunyai ruang fiskal untuk memberikan sokongan yang lebih kukuh kepada keluarga secara berterusan.

Perumahan ialah satu lagi contoh. Selama bertahun-tahun, kita berulang kali menghadapi tekanan untuk memperlahankan atau menangguhkan pembinaan flat baharu.

Ada kalanya keadaan pasaran lemah dan harga hartanah merosot. Pada masa lain, tapak pembinaan mempunyai pelbagai kekangan.

Namun, dari satu menteri Kementerian Pembangunan Negara (MND) ke menteri berikutnya, termasuk Encik Desmond Lee dan kini Encik Chee Hong Tat, bekalan flat terus dipertahankan kerana warga Singapura tetap memerlukan rumah.

Apabila COVID menyebabkan kekurangan besar, mereka berusaha keras meningkatkan semula pembinaan untuk menampung kekurangan itu. Usaha ini membolehkan kita kini mengambil langkah selanjutnya dalam perumahan dari kedudukan yang lebih kukuh.

Contoh ini menunjukkan tuntutan tugas seorang menteri. Tugasnya bukan sekadar mengikut kehendak semasa, tetapi membuat pertimbangan yang akan mengukuhkan kedudukan Singapura pada masa hadapan.

Ini memerlukan penguasaan mendalam tentang perkara yang dihadapi, keutamaan yang jelas dan kesediaan membuat keputusan sukar.

Kita bertuah mempunyai menteri yang menunjukkan sifat ini dalam pelbagai cara.

Dalam bidang perubahan iklim, Cik Grace Fu pernah mempengerusikan bersama rundingan sukar mengenai pasaran karbon dunia dan membantu negara mencapai kata sepakat.

Encik Masagos Zulkifli baru-baru ini menyertai Simposium St Gallen. Seorang anggota Dewan Pertuanan (House of Lords) Britain kemudian menulis untuk memuji sumbangan beliau dan menyifatkannya sebagai “duta Singapura yang cemerlang”.

Saya tidak mengatakan bahawa setiap keputusan menteri akan sentiasa tepat.

Menteri juga melakukan kesilapan. Ada yang lebih berkebolehan dalam bidang tertentu berbanding yang lain. Apabila kami tersilap, kami perlu belajar, memperbaiki diri dan bertanggungjawab.

Namun, secara keseluruhan, saya percaya kita mempunyai pasukan yang mantap, seperti generasi kepimpinan Singapura sebelum ini.

Menteri kita mampu menguasai tanggungjawab masing-masing, membuat pertimbangan yang baik, mempertahankan pendirian serta meraih keyakinan dan kepercayaan rakyat Singapura.

Bila perlu, mereka juga mampu mewakili Singapura dengan penuh kewibawaan di peringkat antarabangsa.

Bukan mudah mencari individu yang mampu melakukan semua ini.

Mereka mesti mempunyai perwatakan untuk berkhidmat.

Mereka mesti berkebolehan untuk memikul tanggungjawab dan mesti ada yang bersedia untuk tampil.

Itulah sebabnya membina dan memperbaharui pasukan politik yang mantap memerlukan usaha berterusan.

Kita juga mesti memastikan sistem kita terus memberi perdana menteri masa hadapan peluang terbaik untuk membentuk pasukan sedemikian.

Sistem Singapura Kita

Cabaran ini bukan hanya dihadapi Singapura.

Encik Lee Hsien Loong pernah berkongsi dengan saya tentang perbualannya dengan seorang perdana menteri yang berkunjung ke Singapura.

Pemimpin asing itu telah bertemu beberapa menteri kita dan memberitahu Encik Lee bahawa beliau amat kagum dengan mereka.

Beliau berkata cabaran terbesarnya sebagai Perdana Menteri ialah mencari calon yang mempunyai kebolehan yang diperlukan untuk dilantik ke Kabinetnya.

Beliau sendiri berasal dari sektor swasta. Jadi, beliau tahu mutu calon yang ada di luar politik dan betapa sukarnya meyakinkan calon yang sesuai untuk tampil.

Pengalaman beliau menunjukkan pertentangan asas yang perlu ditangani oleh setiap sistem politik.

Politik mesti kekal sebagai panggilan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Namun, jika pengorbanan peribadi dan kewangan terlalu besar, ramai yang berkebolehan akan memilih bidang lain.

Setiap negara mempunyai cara berbeza untuk menangani pertentangan ini.

Oleh sebab gaji politik sangat sensitif, banyak sistem menetapkan gaji rasmi yang rendah tetapi menyediakan pelbagai faedah dan kemudahan besar bagi jawatan tersebut.

Di sesetengah negara, ahli politik boleh menambah pendapatan melalui kegiatan di luar tugas rasmi. Namun, lebih kerap, ganjaran kewangan yang lebih besar diperoleh selepas mereka meninggalkan jawatan.

Jadi, gaji rasmi mungkin kelihatan sederhana, tetapi gambaran keseluruhannya jauh lebih rumit.

Namun, meskipun dengan pendekatan ini, banyak negara masih sukar menarik calon yang diperlukan.

Kebanyakan negara mempunyai penduduk yang jauh lebih ramai dan kumpulan bakat yang jauh lebih besar untuk dipilih.

Namun, mereka masih sukar membentuk pemerintah yang mantap dan kukuh.

Singapura merupakan pengecualian.

Singapura sentiasa berada antara negara terkemuka di dunia dari segi keberkesanan pemerintah, kejujuran dan mutu institusi awam.

Saya bertemu ramai pengkaji pemerintahan dan dasar awam di seluruh dunia. Berkali-kali, mereka menjadikan Singapura sebagai contoh pemerintahan yang berkesan dan ilham kepada negara lain.

Kita telah mengekalkan tahap ini begitu lama sehingga rakyat Singapura mungkin menganggapnya sebagai satu kebiasaan.

Namun, keadaan seperti ini jarang ditemui di negara lain dan belum tentu dapat dikekalkan di Singapura.

Rekod pemerintahan yang baik ini bukan kerana rakyat Singapura sememangnya lebih baik atau kerana pemerintahan yang baik terhasil dengan sendirinya.

Kita mencapainya melalui pilihan yang dibuat secara sedar selama puluhan tahun tentang cara sistem politik kita harus berfungsi. Salah satu pilihan itu ialah menangani gaji politik secara terbuka.

Kita sedar bahawa mereka yang sangat berkebolehan mempunyai pilihan kerjaya di luar politik. Jadi, kita membayar pemegang jawatan politik gaji yang berdaya saing, tetapi jauh di bawah kadar pasaran bagi mencerminkan semangat khidmat politik.

Keseluruhan gaji dinyatakan secara telus.

Tiada komponen gaji atau faedah tersembunyi di luar rangka kerja yang diterbitkan.

Inilah yang kita maksudkan dengan gaji bersih.

Sebagai balasan, rakyat Singapura berhak menuntut banyak daripada pemimpin politik mereka.

Mempunyai tahap kejujuran dan tatakelakuan yang tinggi. Berkebolehan.

Bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat.

Dan akhirnya, bertanggungjawab kepada pengundi melalui peti undi.

Pertimbangan yang sama secara umumnya turut digunakan bagi Anggota Parlimen (AP).

Kami memilih untuk tidak menjadikan elaun AP sekadar elaun kecil. Elaun ini besar kerana AP memikul tanggungjawab besar di Parlimen dan kawasan undi mereka.

Elaun yang sewajarnya membolehkan PAP dan WP menarik serta mengetengahkan calon yang berkebolehan.

Hasilnya dapat kita lihat di Dewan ini.

AP kita datang daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman serta membawa sudut pandang berbeza dalam perbahasan.

Kita mungkin berbeza pendapat dengan tegas antara kedua-dua pihak, tetapi mutu perbahasan tetap tinggi dan Singapura menjadi lebih baik kerananya.

Jika kita mahu sistem politik kita kekal berkesan, kita tidak boleh membiarkan syarat asas perkhidmatan semakin jauh daripada keadaan sebenar.

Ini termasuk elaun AP.

Lebih penting lagi, gaji pemegang jawatan politik.

Pembaharuan politik bukan usaha sekali sahaja. Kita perlu terus menarik warga Singapura yang berkebolehan daripada pelbagai latar belakang pada setiap pilihan raya.

Mesti ada cukup ramai yang bersedia untuk tampil, bertanding dalam pilihan raya dan memikul tanggungjawab terhadap masa depan negara kita.

Membina generasi kepimpinan seterusnya

Inilah falsafah penting yang sentiasa menjadi teras pendekatan PAP terhadap pemerintahan. Kita mesti membina bukan sahaja untuk hari ini, tetapi juga untuk generasi akan datang.

Itulah mungkin legasi terbesar mendiang Perdana Menteri Encik Lee Kuan Yew.

Beliau bukan hanya membina pemerintah yang berjaya di bawah kepimpinannya.

Beliau berusaha keras meninggalkan sistem yang mampu memastikan Singapura terus maju selepas ketiadaannya.

Pembaharuan kepimpinan menjadi teras pendekatan ini, dengan sentiasa menarik calon yang baik dan mempersiapkan generasi seterusnya untuk mengambil alih.

Encik Lee Kuan Yew sendiri mempunyai rakan seperjuangan yang luar biasa seperti Dr Goh Keng Swee dan Encik S. Rajaratnam. Namun, beliau turut membawa masuk tokoh dari sektor swasta seperti Encik Lim Kim San dan kemudian Encik Hon Sui Sen.

Malah, ketika gaji menteri pertama kali dinaikkan pada 1970, Encik Lee menjelaskan di Parlimen bahawa salah satu sebabnya adalah untuk membolehkan beliau melantik Encik Hon Sui Sen, yang ketika itu mengetuai Development Bank of Singapore (DBS), sebagai Menteri Kewangan.

Beliau berkata untuk menarik calon berkebolehan berkhidmat sebagai menteri, Singapura tidak boleh “bergantung pada mereka yang sanggup membuat pengorbanan yang terlalu besar, terutama jika keluarga mereka turut menanggung peritnya”.

Pendekatan ini diteruskan oleh generasi seterusnya, dengan menteri utama seperti Menteri Kanan Emeritus (ESM), Encik Goh Chok Tong, Dr Tony Tan, Encik Ong Teng Cheong dan Encik S. Dhanabalan yang membawa pengalaman dari sektor swasta.

Namun, lama-kelamaan ia semakin sukar untuk membawa mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor swasta ke dalam Kabinet.

Bukan kerana kurangnya usaha.

Saya telah bekerja bersama Menteri Kanan Encik Lee selama bertahun-tahun, sejak 2004, pada mulanya sebagai penjawat awam dan kemudian dalam Kabinet.

Saya melihat sendiri betapa banyak masa dan usaha yang beliau curahkan untuk mengenal pasti calon, meyakinkan mereka agar menceburi politik dan membina pasukan kepimpinan seterusnya.

Itulah salah satu sebab saya bersetuju menceburi politik apabila beliau mendekati saya pada 2011.

Kini, menjadi tanggungjawab saya sebagai PM bukan sahaja untuk memimpin Kabinet sekarang, tetapi juga membina pasukan yang akan menggantikan kami.

Saya berusia 51 tahun ketika mengambil alih sebagai PM, kira-kira sebaya Encik Lee ketika beliau menjadi PM.

Dari luar, peralihan itu mungkin kelihatan lancar.

Namun, kami yang melaluinya tahu bahawa proses itu jauh daripada mudah.

Sebenarnya, Encik Lee berharap dapat menyerahkan kepimpinan lebih awal.

Namun, berlaku beberapa perkara yang tidak dijangka.

Encik Heng Swee Keat diserang angin ahmar.

Kemudian, COVID melanda.

Encik Heng kemudiannya memutuskan untuk berundur.

Pasukan terpaksa menyusun semula barisan dan menangani soal peralihan kepimpinan sekali lagi.

Pengalaman itu mengajar saya sesuatu yang penting.

Peralihan kepimpinan tidak dapat dirancang dengan tepat mengikut jadual.

Manusia dan keadaan berubah.

Perkara yang tidak dijangka boleh berlaku.

Jadi, kita memerlukan pasukan yang mantap secara keseluruhan dan perlu memulakan pembaharuan kepimpinan lebih awal.

Apabila saya mengambil alih, saya sedar bahawa usaha pembaharuan kepimpinan perlu ditangani segera.

Ketika itu, saya antara anggota Kabinet yang termuda.

Beberapa menteri kami yang paling berpengalaman semakin berusia. Namun, kami kekurangan menteri muda yang bersedia untuk mengambil alih tanggungjawab (portfolio) mereka.

Ini berlaku meskipun Encik Lee Hsien Loong terus berusaha untuk memperbaharui pasukan.

Pengurangan gaji politik pada 2012, diikuti 15 tahun tanpa perubahan, menyukarkan usaha ini.

Itulah sebabnya memperbaharui barisan kepimpinan menjadi antara keutamaan saya.

Menjelang Pilihan Raya Umum (GE) yang lalu, saya telah mendekati beberapa Setiausaha Tetap kanan yang saya lihat mempunyai perwatakan dan kebolehan untuk menjadi pemimpin politik.

Dengan pengalaman mereka, mereka mampu mengambil alih portfolio utama dengan lebih cepat.

Akhirnya, tiada seorang pun yang bersedia mengambil langkah itu.

Namun, saya berjaya menarik pegawai lebih muda yang berkebolehan dan mempunyai masa untuk berkembang, seperti Encik Jeffrey Siow, Encik David Neo dan Cik Jasmin Lau.

Meskipun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan.

Selain Encik Lee, tiga anggota paling kanan dalam pasukan saya ialah Encik Gan Kim Yong, Encik K Shanmugam dan Encik Vivian Balakrishnan.

Mereka memimpin kementerian utama, iaitu Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Menjelang penggal pemerintah seterusnya, ketiga-tiganya akan berusia 70 tahun atau lebih.

Kita tidak seharusnya merancang dengan tanggapan bahawa mereka akan terus memimpin kementerian tersebut ketika itu.

Demi kebaikan pasukan dan kekuatan institusi kita, generasi seterusnya perlu mengambil alih.

Mereka bertiga memahami perkara ini dan telah menggesa saya supaya menyediakan rancangan peralihan.

Bukan mudah untuk mencari pengganti mereka.

Bagi Encik Gan Kim Yong, beliau membawa pengalaman daripada sektor swasta dan awam. Beliau juga mendapat keyakinan para pelabur dan rakan antarabangsa.

Bagi Encik K. Shanmugam, beliau mempunyai pengalaman puluhan tahun dalam bidang undang-undang dan pemerintahan serta keupayaan luar biasa untuk memahami inti pati isu rumit, menimbang pelbagai pertimbangan dan menjelaskan pilihan yang ada dengan jelas.

Tidak ramai menteri yang dapat menandingi gabungan pertimbangan dan pengalaman beliau.

Bagi Encik Vivian Balakrishnan, beliau telah menjadi Menteri Ehwal Luar selama lebih sedekad dan membina pengetahuan mendalam tentang pelbagai isu serta rangkaian yang luas.

Pengalaman ini amat penting, terutama ketika keadaan dunia semakin rumit.

Amat sukar untuk mencari pengganti yang benar-benar bersedia menjadi menteri pada peringkat ini.

Seseorang yang berpengalaman mungkin memerlukan masa yang singkat untuk menyesuaikan diri.

Namun, pertimbangan, pengalaman, kewibawaan politik dan hubungan yang diperlukan tetap mengambil masa untuk dibina.

Jadi, kita perlu menarik individu yang berkebolehan lebih awal, memberi mereka tanggungjawab secara bertahap dan mempersiapkan mereka untuk mengambil alih.

Itulah yang sedang kita lakukan.

Namun, kita juga memerlukan barisan pelapis yang lebih luas kerana tidak semua yang kita pilih akan berkembang untuk memikul peranan ini.

Saya menghadapi cabaran serupa dalam mencari pengganti di Kementerian Kewangan (MOF).

Saya bernasib baik kerana pernah berkhidmat selama bertahun-tahun di sana sebagai seorang penjawat awam. Jadi saya sudah biasa dengan tugas tersebut.

Ini memudahkan saya mengambil alih daripada Timbalan Perdana Menteri Encik Heng Swee Keat. Buat masa ini, saya boleh terus menyandang dua jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Namun, sebaik-baiknya saya perlu mencari orang lain untuk mengambil alih portfolio Kewangan.

Jadi, ketika saya meneliti kementerian MOF, MTI, MHA dan MFA, jelas bahawa mencari pengganti merupakan satu cabaran.

Semakin sukar untuk menarik calon daripada perkhidmatan awam.

Penjawat awam kanan hari ini mempunyai kerjaya yang bermakna, tanggungjawab besar dan gaji yang setanding.

Khidmat politik bermakna mereka perlu melepaskan laluan kerjaya tersebut serta melalui pilihan raya dan sorotan umum.

Jika jurang antara gaji perkhidmatan awam dengan gaji politik semakin besar, halangan itu akan semakin tinggi.

Jika perkara ini sudah mencabar dalam perkhidmatan awam, cabarannya lebih besar dalam sektor swasta.

Ini penting kerana kita tidak boleh membina kepimpinan politik daripada perkhidmatan awam sahaja. Saya juga mahukan mereka dalam Kabinet yang menghabiskan sebahagian besar kerjaya dalam perniagaan atau bidang lain, khususnya mengendalikan organisasi besar dan sistem yang rumit.

Pada awalnya, mereka mungkin tidak begitu memahami selok-belok pemerintah.

Namun, mereka mempunyai pengalaman membuat keputusan yang sukar, mengurus manusia dan sumber, beroperasi di bawah tekanan perniagaan serta mencapai hasil dalam persekitaran yang penuh persaingan.

Keupayaan ini amat bernilai dalam Kabinet.

Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng ialah contoh yang baik.

Beliau bersama kami pada 2020 selepas lama berkerjaya dalam sektor swasta.

Pada sidang Parlimen yang lalu, beliau berbicara dengan penuh yakin tentang cabaran yang dihadapi usahawan dan langkah yang boleh kita ambil untuk menyokong mereka.

Beliau bersandarkan pengalaman bertahun-tahun mengendalikan perniagaan dan menghadapi sendiri tekanan tersebut.

Pengalaman itu menjadikan ucapannya lebih meyakinkan, sesuatu yang sukar dicapai oleh anggota lain dalam pasukan.

Maka, beliau memberi sudut pandang yang berbeza dan telah banyak menyumbang kepada pasukan.

Saya mahu menarik lebih ramai orang seperti beliau.

Jika boleh, ada yang bersama kami ketika berusia 40-an supaya mempunyai masa untuk belajar, berkembang dan memikul tanggungjawab yang lebih besar secara bertahap.

Pertimbangkan calon seperti ini dalam sektor swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat utama Singapura yang tersenarai dalam bidang perbankan, telekomunikasi, penerbangan, kejuruteraan dan sektor lain, serta mereka yang berada di landasan untuk memegang jawatan kepimpinan sedemikian.

Pada peringkat itu, pendapatan boleh mencecah beberapa juta dolar setahun, jauh lebih tinggi daripada tanda aras gaji permulaan menteri gred MR4 yang disemak.

Kita tidak cuba menawarkan gaji yang sama. Kita tidak akan berbuat demikian.

Namun, apabila kita mendekati calon seperti ini, kita tidak boleh mengabaikan kos peluang, iaitu pendapatan dan kerjaya yang perlu mereka lepaskan.

Sebelum GE yang lalu, saya juga telah bercakap dengan beberapa CEO dan pemimpin kanan perniagaan yang saya fikir boleh menyumbang.

Pendapatan mereka beberapa kali ganda lebih tinggi daripada gaji seorang menteri.

Tiada seorang pun yang berterus terang bahawa gaji menjadi penyebab mereka tidak menceburi politik. Saya juga tidak mahu calon yang terutamanya didorong oleh wang.

Namun, itu tidak bermakna gaji tidak menjadi pertimbangan. Kita perlu memahami keputusan itu dari sudut pandangan mereka.

Mereka telah bertahun-tahun membina kerjaya yang berjaya.

Kita meminta mereka meninggalkan semua itu, menerima pengurangan pendapatan yang besar, bertanding dalam pilihan raya tanpa jaminan kemenangan dan bermula semula dalam persekitaran yang sama sekali berbeza.

Akhirnya, tiada seorang pun yang saya dekati bersedia mengambil langkah tersebut. Namun, saya belum berputus asa. Saya masih mencari dan berharap dapat meyakinkan beberapa orang untuk menyertai kami pada pilihan raya akan datang.

Saya sedar bahawa pengorbanan ini bukan sekadar soal kewangan. Kehidupan berpolitik banyak menuntut daripada keluarga kita.

Masa yang berlalu tidak dapat kita peroleh kembali.

Pasangan dan anak-anak turut menghadapi sorotan umum yang tidak pernah mereka pinta, tetapi terpaksa menanggungnya bersama kita.

Tiada perubahan gaji yang dapat menebus semua pengorbanan ini. Itu juga bukan tujuannya.

Tujuan gaji politik lebih sederhana, iaitu memastikan segala pengorbanan ini tidak dibebani lagi dengan halangan kewangan yang tinggi.

Saya juga tahu mereka akan menilai pasukan yang bakal disertai, prinsip yang diperjuangkan, cara anggotanya memimpin dan membawa diri, serta sama ada mereka mahu berkhidmat bersama mereka.

Tanggungjawab ini juga saya pandang serius.

Kami yang sudah memegang kepimpinan politik mesti membawa diri dengan baik agar dihormati, diyakini dan mendorong orang yang berkebolehan untuk menyertai kami.

Meskipun semua ini dilakukan dengan baik, saya sedar bahawa usaha menarik warga Singapura yang berkebolehan untuk menceburi politik tidaklah mudah. Inilah cabaran saya hari ini. Perdana menteri masa hadapan bakal menghadapi cabaran yang lebih besar.

Inilah perkara yang perlu kita tangani dalam perbahasan ini.

Ini bukan hanya soal gaji menteri hari ini.

Persoalannya ialah sama ada perdana menteri masa hadapan masih berpeluang untuk meyakinkan warga Singapura yang berkebolehan daripada perkhidmatan awam, sektor swasta dan pelbagai bidang lain agar tampil dan membentuk pasukan terbaik untuk Singapura.

Respons Kami

Ini membawa saya kepada pendirian pemerintah terhadap saranan jawatankuasa tersebut.

Berdasarkan data terkini, jawatankuasa menyarankan agar penanda aras MR4 dikemas kini daripada $1.1 juta kepada $1.8 juta, serta perubahan pada gaji pemegang jawatan politik lain dan elaun AP.

Pemerintah menerima semua saranan ini. Rangka kerja yang disemak akan berkuat kuasa pada 15 Oktober.

Elaun bulanan AP akan dinaikkan daripada $13,750 kepada $18,500 mulai tarikh tersebut.

Perubahan pada gaji Presiden, Speaker dan Timbalan Speaker juga akan berkuat kuasa pada tarikh itu.

Gaji PM ditetapkan pada dua kali ganda penanda aras MR4. Saya telah memutuskan bahawa bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan andaian saya kekal sebagai PM, saya akan mendermakan keseluruhan kenaikan gaji saya daripada perubahan ini.

Pemerintah akan terus membayar saya gaji yang diperuntukkan di bawah rangka kerja tersebut, kerana begitulah sistem kita berfungsi. Saya kemudian akan mendermakan jumlah kenaikan itu kepada tujuan kebajikan yang sesuai.

Ini keputusan saya sendiri. Saya tidak mengharapkan pemegang jawatan lain melakukan perkara yang sama. Secara umumnya, saya tidak percaya sumbangan amal perlu ditonjolkan kepada umum. Namun, meskipun rangka kerja gaji diputuskan oleh Kabinet, sebagai PM saya memikul tanggungjawab muktamad terhadapnya.

Selepas lima tahun, saya akan menyemak semula perkara ini berdasarkan keadaan ketika itu. Saya tetap akan menyokong usaha kebajikan seperti yang selalu saya lakukan. Namun, saya tidak mahu membuat janji terbuka tanpa batas waktu atau menimbulkan jangkaan yang menyebabkan perdana menteri masa hadapan terasa terikat untuk mengikutinya.

Itu menyentuh gaji dan elaun Presiden, PM, Speaker, Timbalan Speaker dan AP. Namun, bagi Menteri dan pemegang jawatan lain, pelaksanaannya berbeza.

Kita tidak akan terus beralih kepada penanda aras gaji yang baharu. Sebaliknya, kita akan membuat perubahan sekali sahaja hingga 9 peratus bagi pemegang jawatan politik.

Saya katakan “hingga” kerana tidak semua akan menerima kenaikan yang sama.

Perubahan gaji setiap pemegang jawatan bergantung pada keadaan masing-masing, termasuk prestasi dan bila gaji mereka kali terakhir diubah.

Contohnya, bagi Menteri MR4 dengan gaji rujukan semasa sebanyak $1.1 juta, kenaikan penuh 9 peratus akan menjadikan gajinya sekitar $1.2 juta.

Selepas itu, tiada lagi perubahan khas untuk merapatkan jurang dengan $1.8 juta. Sebarang perubahan seterusnya akan berdasarkan prestasi dan tanggungjawab masing-masing.

Biar saya jelaskan cara sistem ini berfungsi.

Pada masa ini, terdapat empat gred menteri, iaitu MR4, MR3, MR2 dan MR1. Setiap gred mempunyai julat gaji yang menentukan gaji tetap menteri.

Sebagai PM, saya menentukan gred setiap menteri, kedudukan mereka dalam julat gaji bagi gred tersebut dan bonus prestasi masing-masing setiap tahun.

Setakat ini, 10 daripada 16 menteri berada pada gred MR4. Enam lagi berada pada gred lebih tinggi berdasarkan pengalaman dan tanggungjawab yang lebih besar, termasuk mereka yang berkhidmat sebagai menteri penyelaras.

Dalam setiap gred, menteri boleh beralih ke tahap gaji yang berbeza dari semasa ke semasa berdasarkan prestasi. Mereka mungkin bermula pada tahap bawah julat gaji.

Menteri yang berprestasi baik boleh beralih ke tahap lebih tinggi dalam julat tersebut. Sesetengah menteri juga boleh dinaikkan ke gred lebih tinggi apabila memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Terdapat juga komponen gaji yang berubah-ubah yang merangkumi lebih satu pertiga daripada gaji tahunan menteri.

Bonus Nasional diberikan kepada semua pemegang jawatan berdasarkan hasil yang ditetapkan dalam rangka kerja.

Bonus prestasi individu bergantung pada penilaian saya terhadap prestasi setiap pemegang jawatan. Contohnya, tahun lalu, bonus prestasi individu bagi pemegang jawatan politik adalah antara tiga hingga enam bulan gaji.

Jadi, gaji rujukan MR4 semasa sebanyak $1.1 juta ialah jumlah keseluruhan. Jumlah ini merangkumi gaji tetap serta anggaran prestasi dan pembayaran bonus.

Oleh itu, jumlah sebenar yang diterima seseorang menteri dalam setahun boleh lebih tinggi atau rendah daripada gaji rujukan, bergantung pada tahap gaji dan pembayaran berubah-ubah.

Beginilah sistem ini berfungsi pada masa ini.

Jawatankuasa menyarankan beberapa perubahan kecil pada struktur semasa.

Gred MR2 dan MR3 akan digabungkan. Maka, sekarang terdapat tiga gred menteri berbanding empat.

Julat gaji bagi setiap gred juga akan diperluas kepada 25 peratus lebih tinggi atau lebih rendah.

Kami bersetuju dengan perubahan ini. Namun, pendekatan asas untuk menilai dan membezakan gaji setiap pemegang jawatan akan kekal sama.

Selepas perubahan khas yang dibuat sekali ini, saya akan terus menilai Menteri dan mengubah gaji mereka seperti biasa berdasarkan prestasi.

Atas dasar itu, menjelang akhir penggal pemerintah ini, saya menjangkakan kebanyakan menteri yang kekal pada MR4 akan berada pada paras bawah julat gaji baharu, sekitar $1.35 juta.

Mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang dan memikul tanggungjawab lebih besar mungkin naik dalam julat tersebut, atau dinaikkan ke gred menteri yang lebih tinggi.

Dengan kata lain, gaji Menteri akan ditetapkan dalam julat di bawah rangka kerja yang disemak. Namun kedudukan tepat setiap menteri akan bergantung pada prestasi dan tanggungjawab masing-masing.

Jadi, penanda aras MR4 yang disemak sebanyak $1.8 juta bukanlah sasaran gaji yang akhirnya perlu dicapai oleh setiap menteri. Gaji Menteri boleh melebihi atau berada di bawah penanda aras itu dalam julat yang ditetapkan.

Saya telah menjelaskan bagaimana pendekatan ini akan digunakan bagi Menteri.

Pendekatan yang sama akan digunakan bagi pemegang jawatan lain, iaitu Menteri Negara, Setiausaha Parlimen dan Datuk Bandar. Bagi mereka, saya biasanya akan mendapatkan pandangan menteri penyelia tentang prestasi masing-masing. Namun, keputusan muktamad mengenai tahap gaji, gred dan bonus mereka terletak pada saya.

Pemegang jawatan baharu yang dilantik pada penggal akan datang juga akan ditempatkan pada tahap berbeza dalam julat tersebut berdasarkan pengalaman dan gaji terdahulu.

Jadi, dari semasa ke semasa, jurang gaji dijangka lebih luas berbanding sekarang.

Itulah tujuan struktur yang disemak.

Struktur ini memberi PM lebih ruang untuk membezakan gaji berdasarkan prestasi dan, yang penting, membawa masuk mereka yang mempunyai pengalaman luas dari luar Pemerintah, terutama mereka yang sudah menerima gaji jauh lebih tinggi dalam sektor swasta.

Kita tetap mengharapkan mereka membuat pengorbanan yang besar untuk menyertai khidmat politik. Namun, kita tidak seharusnya menjadikan jurang itu lebih besar daripada yang perlu.

Secara keseluruhan, saya percaya ini akan memberi saya dan perdana menteri masa hadapan peluang yang lebih baik untuk meyakinkan warga Singapura yang berkebolehan agar tampil dan membina pasukan terbaik untuk Singapura.

Kesimpulan

Selama lebih 60 tahun, rakyat Singapura mendapat manfaat daripada pemerintah yang mampu merancang untuk masa hadapan, membuat keputusan sukar dan mencapai hasil. Tanggungjawab kita adalah memastikan keupayaan ini kekal untuk generasi akan datang.

Itulah sebabnya saya memutuskan untuk menangani perkara ini sekarang. Saya memohon pengertian dan sokongan anda dalam melaksanakan perubahan ini.

Ini bukan soal pemerintah PAP hari ini. Kita tidak dapat meramalkan keadaan politik pada tahun-tahun akan datang.

Namun, tidak kira parti mana yang memerintah, Singapura memerlukan kepimpinan politik yang kukuh dan berkesan untuk berkhidmat kepada rakyat dan membawa negara kita ke hadapan.

Kepimpinan yang baik sentiasa penting. Ia akan menjadi lebih penting ketika kita mengharungi dunia yang semakin tidak menentu dan bergolak.

Maka, marilah kita membuat keputusan yang tepat untuk terus membuka ruang kepada warga Singapura yang berkebolehan dan berjiwa masyarakat agar tampil, memimpin dan berkhidmat.

Marilah kita memberi keyakinan kepada anak-anak dan generasi akan datang bahawa apabila tiba masanya, akan ada pemimpin yang bersedia menyahut cabaran dan membawa Singapura ke hadapan.