Topik diikuti
Pergi ke BHkuDaripada keperluan semasa, hingga terpaut pada keindahan bahasa Melayu
Mantan pegawai MFA baca akhbar Berita Harian, dengar podcast bagi perkukuh penguasaan bahasa Melayu
Daripada keperluan semasa, hingga terpaut pada keindahan bahasa Melayu
Perjalanan saya untuk belajar bahasa Melayu bermula pada Jun 2021.
Ia adalah satu keperluan untuk saya belajar bahasa Melayu sebelum saya memulakan tugas di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur.
Saya mempunyai empat bulan untuk mencapai kefasihan.
Terus terang, saya tidak menjangka bahawa saya akan memenuhi keperluan ini.
Sekalipun saya berjaya memenuhi syarat tersebut, saya tidak pernah menjangka saya akan mempunyai keyakinan untuk berbual dalam bahasa Melayu dengan rakyat Malaysia.
Mujurlah, guru bahasa Melayu saya ketika itu, Encik Hiskandar Zulqarnaen Hasshim, sejak hari pertama kelas diadakan, beliau sentiasa menggalakkan saya dan rakan sekerja supaya menggunakan bahasa tersebut setiap kali ada kesempatan.
Saya ingat pada suatu hari saya sedikit lewat masuk kelas dan apabila saya menghantar mesej, “I will be late...” (saya akan sampai lewat), beliau menjawab:
“Okey, tapi gunakan bahasa Melayu kalau awak mahu menghantar mesej kepada saya mulai sekarang.”
Sehingga kini, saya masih menghantar mesej kepadanya hanya dalam bahasa Melayu.
Dalam tempoh empat atau lima minggu pertama, saya mengalami kesukaran untuk menukar kedudukan subjek dan objek semasa bercakap atau membentuk ayat dalam bahasa Melayu (goreng pisang atau pisang goreng? Pening kepala saya).
Cikgu saya memberi ‘amaran’, kadang-kadang dengan senyuman; kadang-kadang dengan bertukar-tukar jari, “Jangan lupa ‘reverse order’ (terbalikkan susunan), Bhargav!”
Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit
Setiap hari, jadual saya seperti ini: bangun tidur, menghadiri kelas Bahasa Melayu selama lima jam, makan tengah hari, dan membuat kerja rumah.
Pada mulanya, kerja rumah berdasarkan latihan dalam buku teks.
Tetapi selepas sebulan, cikgu saya memperkenalkan saya kepada pelbagai cara bahasa Melayu digunakan, daripada cerpen hingga pantun.
Sudah tentu, kerja rumah juga secara berperingkat menjadi lebih susah.
Setiap hari, kami mesti menulis karangan tentang isu kontemporari seperti perubahan iklim dan sistem pendidikan di Singapura.
Sering kali, saya diberi latihan untuk menterjemahkan atau meluahkan pendapat saya tentang laporan berita.
Selepas 10 minggu, saya cuba membaca Berita Harian (BH) buat kali pertama.
Saya juga mengamalkan satu tabiat untuk membaca BH dan The Straits Times secara bersebelahan, sambil menandakan perkataan-perkataan baru dengan penanda.
Cara ini membantu saya membina kosa kata.
Selain itu, saya kerap mendengar podcast untuk membiasakan diri dengan loghat dan meningkatkan kefahaman mendengar saya.
Lama-kelamaan, saya menyedari bahawa saya tidak lagi menterjemah daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu; sebaliknya, mula berfikir, membentuk ayat dan meluahkan perasaan terus ke dalam bahasa Melayu.
Walaupun begitu, saya masih berasa agak ragu-ragu sama ada saya boleh berbual dalam bahasa Melayu di luar kelas.
Oleh itu, saya mencari peluang untuk berlatih dengan kawan Melayu di Singapura.
Mereka terus mendorong saya di samping menitipkan nasihat penting, iaitu belajar menyesuaikan laras bahasa dan menggugurkan imbuhan jika perlu, bergantung pada situasi.
Pengalaman di Kuala Lumpur
Apabila saya sampai di Kuala Lumpur, saya segera menyedari kelebihan berbual dalam bahasa Melayu.
Bahasa Melayu membantu saya menjalinkan kemesraan (break the ice), mengeratkan hubungan dan membina kepercayaan.
Apabila saya melawat beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, perbincangan secara menyeluruh dalam bahasa Melayu sudah menjadi suatu keperluan.
Malah, saya kagum dengan sikap toleransi warga Malaysia yang memperlahankan rentak percakapan mereka, selain mengelak daripada menggunakan dialek negeri bagi memudahkan saya memahami perbualan.
Saya masih ingat suatu ketika dahulu, saya mengadakan pertemuan dengan seorang individu dari Kelantan dan memahami kebanyakan perkataan yang disampaikannya.
Namun, apabila dia mula bercakap dalam dialek Kelantan (Kelate), saya tidak memahami sepatah perkataan pun!
Empat tahun saya di Malaysia memberi peluang yang baik untuk mempertingkatkan kemahiran, keupayaan dan yang paling penting, keyakinan dalam bahasa Melayu.
Ini bukan sahaja kerana penggunaannya dalam urusan rasmi, malah kerana saya dapat ‘menghirup suasana bahasa’ dan menyelami gaya hidup di Malaysia – sama ada menerusi tontonan filem, mendengar lagu-lagu, mahupun bersembang santai setiap hari.
Lama-kelamaan, bahasa Melayu dalam minda saya berkembang daripada bahasa yang saya pelajari kepada bahasa yang saya nikmati.
Bahasa jendela budaya
Kesimpulannya, saya ingin mendorong rakyat Singapura, tidak kira orang Cina atau orang India, agar belajar bahasa Melayu, sebagaimana yang digalakkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Rapat Hari Kebangsaan pada 2026.
Saya yakin ini akan memupuk naluri rentas budaya (intercultural instincts) sekali gus membolehkan kita sebagai warga Singapura lebih menghargai budaya Melayu.
Satu contoh kecil tetapi bermakna ialah istilah ‘kurang ajar’, yang menunjukkan bagaimana bahasa boleh mencerminkan nilai yang mentakrifkan masyarakat.
Makna tersiratnya ialah seseorang itu kurang mendapat ajaran atau didikan.
Istilah ini merujuk kepada seseorang yang tidak tahu adab atau cara menghormati orang lain.
Dalam budaya Melayu, tingkah laku seseorang bukan sahaja mencerminkan dirinya, malah didikan yang diterimanya.
Saya berharap lebih ramai rakyat Singapura akan mengambil peluang menyertai program Bulan Bahasa, kerana pembelajaran bahasa sebenarnya bermula dengan rasa ingin tahu terhadap budaya dan masyarakat di sekeliling kita.
Kedua, mempelajari bahasa Melayu boleh membantu kita agar lebih menghargai geografi, sejarah dan kedudukan Singapura dalam rantau kita.
Sebagai contoh, banyak nama tempat di Singapura mempunyai akar bahasa Melayu, seperti Bukit Timah, Pasir Panjang, Sungei Buloh, dan Tanjong Pagar.
Dengan memahami makna perkataan seperti bukit, pasir, sungai, tanjung, dan kampung, kita bukan sahaja memahami nama tempat dengan lebih mendalam, malah dapat membayangkan bentuk muka bumi dan kehidupan masyarakat di Singapura pada masa lalu.
Di luar Singapura, bahasa Melayu berperanan sebagai jambatan untuk memahami rantau kita dengan lebih baik, menghargai betapa eratnya jalinan sejarah kita dan akhirnya, membina persahabatan demi masa hadapan.
Penulis mantan Pegawai Diplomatik di Kementerian Ehwal Luar (MFA) yang kini bertugas di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI). Rencana ini ditulis untuk Berita Harian (BH) sempena Bulan Bahasa.
“
Sering kali, saya diberi latihan untuk menterjemahkan atau meluahkan pendapat saya tentang laporan berita. Selepas 10 minggu, saya cuba membaca Berita Harian (BH) buat kali pertama. Saya juga mengamalkan satu tabiat untuk membaca BH dan The Straits Times secara bersebelahan, sambil menandakan perkataan-perkataan baharu dengan penanda. Cara ini membantu saya membina kosa kata.“
Empat tahun saya di Malaysia memberi peluang yang baik untuk mempertingkatkan kemahiran, keupayaan dan yang paling penting, keyakinan dalam bahasa Melayu. Ini bukan hanya kerana penggunaannya dalam urusan rasmi, malah kerana saya dapat ‘menghirup suasana bahasa’ dan menyelami kehidupan di Malaysia – sama ada menerusi tontonan filem, mendengar lagu-lagu, mahupun bersembang santai setiap hari.“
Dalam budaya Melayu, tingkah laku seseorang bukan sahaja mencerminkan dirinya, malah didikan yang diterimanya. Saya berharap lebih ramai rakyat Singapura akan mengambil peluang menyertai program Bulan Bahasa, kerana pembelajaran bahasa sebenarnya bermula dengan rasa ingin tahu terhadap budaya dan masyarakat di sekeliling kita.