Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuzik kuat, kaki atas kerusi bas denda hingga $500 mulai 23 Sep
Kesalahan lebih berat – sebabkan halangan atau bahaya di pusat tukaran bas – boleh didenda sehingga $5,000
Muzik kuat, kaki atas kerusi bas denda hingga $500 mulai 23 Sep
Penumpang bas awam yang memainkan muzik dengan kuat atau meletakkan kaki di atas tempat duduk atau melakukan perbuatan lain yang mengganggu, bakal berdepan denda sehingga $500 mulai 23 September ini.
Langkah di bawah peraturan baharu itu bertujuan memastikan persekitaran perjalanan yang lebih selamat dan selesa, dan saling bertimbang rasa.
Kesalahan yang lebih berat, seperti menyebabkan halangan atau bahaya di pusat tukaran bas dan terminal, atau mengotorkan bas atau kawasan berkenaan, boleh didenda sehingga $5,000.
Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 21 September.
Menurut LTA, setiap penumpang perlu memainkan peranan dalam mewujudkan “suasana perjalanan yang bertimbang rasa dan menyenangkan”, kerana pengangkutan awam adalah ruang untuk kegunaan bersama.
LTA akan terus bekerjasama dengan pengendali bas awam untuk menggunakan pertimbangan sewajarnya dalam menangani kes penumpang yang tidak bertimbang rasa, khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan fizikal atau mental.
Bagi menguatkuasakan peraturan ini, kakitangan tertentu daripada empat pengendali bas awam, termasuk pemeriksa tiket dan kakitangan pusat tukaran bas, boleh mengeluarkan notis rasmi kepada penumpang yang disyaki melakukan kesalahan.
LTA kemudian akan menjalankan siasatan lanjut.
Menurut LTA, pemandu bas tidak diberi kuasa mengeluarkan notis sedemikian “agar tidak menjejas tugas utama mereka mengendalikan bas dengan selamat”.
Bagaimanapun, mereka boleh menasihati penumpang supaya menghentikan perbuatan yang mengganggu dan meminta mereka turun daripada bas jika enggan mematuhi arahan.
Jika penumpang enggan bekerjasama, pemandu bas boleh meminta bantuan pusat kawalan operasi bas atau polis.
Dalam kenyataannya, LTA berkata penalti baharu itu sejajar dengan pengangkutan rel, dengan mengutamakan keselesaan penumpang lain dan kelancaran perkhidmatan bas ketika menangani gangguan di dalam bas.
Pada Mac 2025, Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia) Encik Baey Yam Keng, yang ketika itu Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pengangkutan, memberitahu Parlimen bahawa kuasa pemerintah menangani tingkah laku penumpang bas lebih terhad berbanding pengangkutan rel.
Peraturan baharu kemudian diluluskan Parlimen pada Oktober 2025 untuk mengawal tingkah laku penumpang bas bagi mencegah perbuatan yang tidak bertimbang rasa.
Ketika itu, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Encik Murali Pillai, berkata peraturan berkenaan akan berpandukan Akta Sistem Gerak Cepat.
