Topik diikuti
Pergi ke BHkuKorbankan sedikit masa telefon semasa solat Jumaat
Korbankan sedikit masa telefon semasa solat Jumaat
Ulama ada tegaskan hukum main telefon bimbit ketika dengar khutbah Jumaat adalah makruh dan sia-sia
Korbankan sedikit masa telefon semasa solat Jumaat
Pada 27 Mei masyarakat Islam setempat bakal menyambut Hari Raya Aidiladha.
Selain berkaitan dengan ibadah haji, perayaan ini juga dikaitkan dengan ibadah korban berbentuk penyembelihan haiwan ternak sebagai tanda ketakwaan, keikhlasan dan syukur kita atas nikmat yang diberikan Allah swt.
Bercakap tentang isu korban, ingin saya kongsi suasana dan pengalaman semasa menunaikan solat Jumaat.
Solat Jumaat, yang turut diadakan sesi khutbah Jumaat, merupakan ibadah yang disertai Muslim lelaki setiap Jumaat.
Kebanyakan masjid, sebelum khutbah Jumaat dimulakan, ada mengingatkan jemaah agar memberi tumpuan kepada khutbah, sambil menyatakan tindakan seperti berbual-bual atau membuat perkara selain mendengar khutbah boleh mengurangkan pahala solat Jumaat atau menjadikan solat itu sia-sia.
Namun sering kelihatan, apabila khutbah dibacakan khatib, sebilangan anak muda yang masih melayani telefon bimbit mereka.
Ada yang leka bermain permainan video di telefon bimbit masing-masing, sementara ada pula masih berhubungan dengan orang lain di WhatsApp. Agak menyedihkan melihat kejadian seperti ini berlaku.
Lebih menyedihkan, apabila ada juga golongan dewasa yang turut melakukan perkara sama – masih membelek-belek WhatsApp, dengan ada juga yang menulis teks di aplikasi tersebut.
Ulama ada menegaskan bahawa hukum bermain telefon bimbit ketika mendengar khutbah Jumaat adalah makruh dan sia-sia (lagha), serta boleh menghilangkan pahala solat Jumaat.
Ramai ulama menekankan agar jemaah diam dan mendengar khutbah, bukannya sibuk dengan ‘gadjet’.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) turut menekankan adab dan keperluan khusyuk dalam ibadah, termasuk memastikan telefon bimbit dimatikan untuk menghormati ibadah Jumaat, dan juga majlis ilmu lain di masjid.
Bahkan, dalam perkara ini, adab yang ditekankan termasuklah etika semasa berada di masjid antaranya memastikan telefon diletakkan dalam mod senyap agar tidak mengganggu khutbah dan jemaah lain.
Sebaiknya semasa di rumah atau pejabat lagi, sebelum mahu keluar ke masjid, kita biasakan diri menukar mod telefon kepada mod senyap. Jika terlupa, kita masih boleh biasakan amalan memeriksa telefon semasa memasuki masjid untuk pastikan mod senyap itu.
Untuk elak kita ‘diganggu’, sebaiknya simpan telefon dalam poket atau beg. Elak daripada meletakkannya di atas sejadah depan kita.
Ini demi mengelak daripada terganggu apabila terdapat paparan notifikasi yang masih menyala dalam mod senyap.
Selain itu, kita juga boleh mengelakkan gangguan telefon dengan memberi tumpuan kepada imam yang memberi khutbah, atau melihat kepada alat bantu visual yang memaparkan teks khutbah.
Kebanyakan masjid di sini kini mempunyai alat visual sedemikian, dan ini lebih baik daripada kita terus melihat skrin telefon sehingga tidak mendengar isi khutbah dan pengajarannya.
Di Singapura dengan kadar pemilikan telefon bimbit sehingga 97 peratus, hampir semua penduduk mempunyai alat itu.
Satu tinjauan pada 2025 pula mendapati penduduk setempat meluangkan masa yang amat lama menggunakan peranti digital (termasuk telefon bijak, tablet, dan komputer) iaitu selama 12 jam 42 minit sehari.
Antaranya, golongan remaja menghabiskan banyak masa berinteraksi di media sosial dan hiburan, dengan telefon bijak menjadi peranti yang paling banyak digunakan.
Namun, ada laporan baru-baru ini juga menyatakan golongan warga emas semakin menggunakan telefon pada tempoh lama sehingga ada menjadi ketagih kepadanya.
Mengenai adab penggunaan telefon, di tempat awam lain juga ada etika penggunaannya.
Contohnya dalam pengangkutan awam MRT dan bas, kita boleh menggunakan telefon jika ada keperluan, namun, pastikan audio pada tahap rendah, atau gunakan fon telinga untuk menghormati penumpang lain.
Di hospital dan klinik, kita amat digalakkan menukar kepada mod senyap dan perlahankan suara ketika menjawab panggilan agar tidak mengganggu pesakit lain.
Justeru, sempena Hari Raya Aidiladha yang menjelang, kita boleh memulakan dan membiasakan satu pengorbanan penting – mengorbankan waktu penggunaan telefon bimbit semasa di masjid, khususnya semasa solat Jumaat.
Kita sudah pun menggunakan dan melayani telefon bimbit sehari semalam. Jadi apa salahnya jika kita korbankan penggunaan telefon semasa solat Jumaat yang mengambil masa hanya 30-40 minit seminggu.
Malah, kita boleh luaskan pengorbanan itu semasa solat berjemaah di masjid pada waktu lain.
Pada hari ini, penggunaan telefon seperti telah menguasai tumpuan dan kehidupan kita, dengan banyak masa diluangkan kepadanya.
Semoga dengan pengorbanan ini, solat Jumaat kita akan lebih bermakna dan bermanfaat, dan mendapat pahala sempena solat Jumaat yang istimewa ini.
