Sebagai seorang bapa kepada dua orang anak, saya amat bersyukur atas keamanan, keselamatan dan kestabilan hidup di Singapura, di mana saya dan keluarga saya selamat daripada ancaman dadah.
Ini tidak seperti negara-negara lain di mana dadah dan maksiat berkaitan dadah telah berakar umbi, mengakibatkan banyak nyawa terkorban dan banyak lagi keluarga berpecah-belah.
Singapura terus berjaya dalam usahanya mengawal penagihan dadah. Tetapi, melihat pada angka terkini daripada Biro Narkotik Pusat (CNB) bagi 2024, saya perhatikan beberapa trend membimbangkan terutama dalam kalangan belia kita.
Pada 2024, bilangan penagih dadah belia baru di bawah usia 20 tahun meningkat 30 peratus, berbanding 2023.
Perangkaan ini menunjukkan terdapat perubahan yang membimbangkan dalam tanggapan dan sikap terhadap dadah dalam kalangan sesetengah belia kita.
Satu tinjauan yang dijalankan oleh Majlis Kebangsaan Menentang Penyalahgunaan Dadah pada 2023 juga mendedahkan bahawa walaupun 90.4 peratus responden belia berasa pengambilan dadah harus kekal diharamkan di Singapura, hanya 79.3 peratus sahaja bersetuju apabila soalan yang sama diajukan mengenai ganja.
Saya masih ingat semasa melawat sebuah negara pada 2024 dan melihat ganja dijual di kedai-kedai di sana.
Produk-produk ini terdapat dalam bentuk menarik seperti minuman, coklat, dan juga roti serta kuih-muih – jelas bertujuan untuk menarik minat golongan muda.
Produk-produk ini – dan sebenarnya semua bentuk dadah – menyasarkan golongan belia. Ia menyebabkan kerosakan jangka panjang, malah kekal, terutama kepada otak remaja.
Namun, mereka yang menjual dadah hanya mahukan keuntungan.
Oleh itu, adalah penting untuk kita mendidik anak-anak kita tentang bahaya dadah, termasuk ganja.
Atas sebab ini kami telah menubuhkan Jawatankuasa Antara Kementerian (IMC) mengenai Pencegahan Dadah untuk Belia pada Ogos 2023.
Matlamat IMC adalah untuk menyatukan pelbagai kementerian untuk mengamalkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia dan melengkapi usaha pencegahan dadah yang sedang dijalankan CNB.
Di bawah IMC, pelbagai kementerian bekerja keras untuk memperkukuh usaha-usaha Pendidikan Pencegahan Dadah (PDE) kita.
Misalnya, Kementerian Pendidikan Singapura telah memuatkan mesej antidadah ke dalam kurikulum sekolah mengikut kesesuaian usia.
Kementerian Pertahanan turut memastikan bahawa semua anggota Perkhidmatan Negara (NS) kita menerima PDE sebagai sebahagian daripada latihan mereka.
Melalui usaha pendidikan awam yang berkesan, kita mahu membendung penyalahgunaan dadah sebelum ia menjadi masalah besar bagi masyarakat kita.
Namun, pemerintah semata-mata tidak boleh memenangi perang terhadap dadah. Kerjasama dengan masyarakat adalah kritikal.
Oleh itu, sejak pelancaran IMC, lebih 1,000 ‘DrugFreeSG Champions’ atau Juara Bebas Dadah SG telah dilantik untuk menggalakkan gaya hidup bebas dadah dalam kalangan kanak-kanak dan belia kita.
Juara-juara ini datang daripada pelbagai sektor dan latar belakang – guru, pemimpin pelajar, pekerja belia, dan karyawan penjagaan kesihatan.
Mereka adalah duta yang sangat penting yang dilengkapi dengan pelbagai cara untuk berbual dengan para belia kita, untuk memahami cabaran mereka dan mendidik mereka tentang bahaya dadah.
Saya juga terlibat secara peribadi dalam kempen Dadah Itu Haram (DIH).
Bersama rakan-rakan sekerja saya daripada CNB dan sukarelawan kita, kami bekerjasama dengan masjid-masjid di serata Singapura untuk menganjurkan program-program dan inisiatif untuk menyebarkan mesej antidadah kepada orang ramai.
Pada hari Jumaat, kami mendekati jemaah masjid untuk menyebarkan mesej antidadah selepas solat mereka.
Sepanjang Ramadan ini, kami meningkatkan usaha mendekati masyarakat kita melalui daya usaha unik seperti, ‘Date Your Loved Ones Today!’, di mana kami berkongsi mesej antidadah dan mengagihkan kurma kepada keluarga pada masa yang sama.
Perjuangan kita menentang dadah bermula di rumah kita sendiri.
Kepada semua ibu bapa, saya galakkan anda untuk mewujudkan persekitaran yang penyayang dan selamat untuk anak-anak anda.
Ambil berat tentang kehidupan mereka, bantu mereka mengharungi tahun-tahun perkembangan mereka, dan jalin hubungan yang rapat dengan mereka.
Marilah kita terus melakukan yang terbaik untuk memupuk generasi muda kita dengan nilai-nilai dan akhlak yang betul.
Saya juga ingin menggalakkan anda untuk menyertai kami sebagai penyokong DrugFreeSG.
Marilah kita terus membina sebuah masyarakat yang bersatu padu dan berdaya tahan terhadap ancaman dadah.
Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan kepada semua pembaca.
Penulis ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg