SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Nilai, disiplin dan kepercayaan tonggak kemajuan masyarakat, negara

Nilai, disiplin dan kepercayaan tonggak kemajuan masyarakat, negara

Nasihat Puan Halimah kepada generasi mendatang: Komitmen terhadap kecemerlangan, integriti dan tanggungjawab akan bentuk kekuatan masyarakat
Apr 17, 2026 | 5:30 AM

Nilai, disiplin dan kepercayaan tonggak kemajuan masyarakat, negara

Puan Halimah Yacob, ceramah, ‘Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan’, Universiti Malaysia Perlis, uniMAP
Puan Halimah Yacob menyampaikan ceramah bertajuk, ‘Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan’ di Universiti Malaysia Perlis (uniMAP), pada 14 April.  - Foto FACEBOOK HALIMAH YACOB

Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, diundang menyampaikan ceramah bertajuk, ‘Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan’, di Universiti Malaysia Perlis (uniMAP) pada 14 April. Ceramah tersebut ialah sebahagian siri Syarahan Tuanku Syed Faizuddin Putra. Berikut sedutan ceramah beliau yang telah disunting untuk penerbitan akhbar ini. Puan Halimah kini Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Topik Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan merujuk kepada standard yang kita tetapkan terhadap diri sendiri – kesungguhan tujuan, integriti dalam tingkah laku, disiplin dalam pelaksanaan serta tanggungjawab dalam kepimpinan.

Ia mendorong kecemerlangan sebagai amalan konsisten, bukan sekadar aspirasi yang hadir sekali-sekala.

Pemikiran tidak berfungsi secara terasing; ia berteraskan nilai.

Tanpa nilai, aspirasi boleh menjadi kosong dan kehilangan arah.

Dengan berteraskan nilai seperti integriti, kebertanggungjawaban, keadilan, pemikiran jangka panjang serta tanggungjawab terhadap generasi akan datang, aspirasi mempunyai hala tuju yang jelas serta legitimasi yang kukuh.

Ini juga mengingatkan bahawa peranan universiti melangkaui bilik kuliah – idea mempunyai implikasi terhadap masyarakat, dan usaha mengekalkan standard yang tinggi adalah tanggungjawab bersama.

Puan Halimah (barisan depan, lima dari kanan) bergambar bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (barisan depan, enam dari kiri) serta kakitangan kanan uniMAP dan peserta ceramah.
Puan Halimah (barisan depan, lima dari kanan) bergambar bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (barisan depan, enam dari kiri) serta kakitangan kanan uniMAP dan peserta ceramah. - Foto FACEBOOK HALIMAH YACOB

Pengalaman Singapura memberikan gambaran bagaimana keterbatasan boleh membentuk kejelasan strategi.

Pada 1965, Singapura menghadapi kekangan besar – tiada sumber semula jadi, keluasan tanah terhad, pasaran domestik kecil, kadar pengangguran tinggi, serta keadaan perumahan yang tidak memadai.

Pada masa sama, persekitaran serantau tidak menentu dengan ketegangan geopolitik dan konflik ideologi.

Dalam keadaan ini, pembangunan ekonomi dan pembinaan institusi menjadi keutamaan mendesak.

Peluang pekerjaan perlu diwujudkan dengan segera, dan keyakinan pelabur perlu dibina dalam sebuah negara yang masih muda.

Singapura memilih strategi pembangunan berorientasikan luar – menghasilkan untuk pasaran eksport dan menyepadukan diri ke dalam ekonomi sejagat.

Melalui Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), syarikat berbilang negara ditarik sebagai rakan strategik yang membawa teknologi, kepakaran pengurusan dan akses kepada rantaian bekalan global.

Pendekatan ini berkembang secara berperingkat:
– Industri berintensifkan buruh pada peringkat awal;
– Peralihan kepada sektor berkemahiran tinggi;
– Kemudian ke ekonomi berasaskan pengetahuan, termasuk perkhidmatan kewangan, bioperubatan dan teknologi digital.

Transformasi ini tidak berlaku secara automatik. Ia menuntut perancangan teliti dan pelaksanaan berdisiplin.

Prasarana fizikal seperti pelabuhan, lapangan terbang dan rangkaian telekomunikasi diperkukuh secara sistematik.

Sistem pendidikan pula diperluaskan daripada kecelikan asas kepada pembangunan kemahiran teknikal dan profesional.

Pada masa sama, dasar awam menekankan kestabilan makroekonomi dan penghematan fiskal.

Tukar ganti (trade-off) yang sukar perlu dibuat, di mana kepentingan jangka pendek tidak boleh mengatasi kelestarian jangka panjang.

Pendekatan tripartisme antara pemerintah, majikan dan gerakan pekerja turut memainkan peranan penting.

Ia menyediakan wadah untuk dialog, menyelesaikan ketegangan secara membina, serta membantu pekerja menyesuaikan diri melalui peningkatan kemahiran dan latihan semula.

Hasilnya jelas – pertumbuhan ekonomi yang tekal, peningkatan peluang pekerjaan dan taraf hidup.

Namun, pengajaran utama bukan pada angka, tetapi pada pendekatan: Keengganan untuk berpuas hati, kesediaan merancang ke hadapan dan membuat keputusan sukar, serta disiplin dalam pelaksanaan.

Inilah antara ciri utama mentaliti ‘kelas pertama’.

Puan Halimah Yacob (dua dari kanan), semasa dibawa melawat Kampung Warni Warni di Perlis untuk beramah dengan penduduk dan masyarakat setempat.
Puan Halimah Yacob (dua dari kanan), semasa dibawa melawat Kampung Warni Warni di Perlis untuk beramah dengan penduduk dan masyarakat setempat. - Foto FACEBOOK HALIMAH YACOB

Kredibiliti dan Keterbukaan

Sekiranya kejelasan strategik membentuk pembangunan dalaman, kewibawaan pula menentukan kedudukan di peringkat antarabangsa.

Bagi negara kecil, pengaruh tidak datang daripada saiz atau kekuatan ketenteraan, tetapi daripada kredibiliti yang dibina melalui ketekalan dan kebolehpercayaan.

Dalam ekonomi sangat terbuka, kepercayaan menjadi asas.

Pelabur dan rakan dagang menilai bukan sahaja insentif, malah, kestabilan institusi dan mutu tadbir urus.

Kontrak mesti dihormati, peraturan dilaksanakan secara tekal dan dasar dijelaskan secara telus.

Kredibiliti ini dibina melalui:

  1. Penyelarasan dasar merentas sektor;
  2. Pentadbiran awam yang profesional;
  3. Rangka kawal selia yang jelas dan dapat dijangka.

Langkah ini mencerminkan pilihan untuk mengutamakan reputasi jangka panjang, bukan kemudahan jangka pendek.

Asas kredibiliti ini membolehkan keterbukaan dilaksanakan.

Singapura menyepadukan dirinya ke dalam ekonomi sejagat melalui perdagangan, pelaburan dan aliran bakat.

Namun, keterbukaan juga membawa risiko seperti kejutan luaran dan ketegangan geopolitik.

Oleh itu, daya tahan menjadi penting. Kepelbagaian ekonomi, pengurusan fiskal berhemat dan pengukuhan institusi memastikan keterbukaan tidak bersifat naif, tetapi diurus secara teliti.

Pendidikan, Inovasi dan Pembelajaran Sepanjang Hayat

Dunia kini mengalami transformasi pesat akibat pendigitalan, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

Perubahan ini bukan sekadar teori – ia mengubah struktur pekerjaan secara menyeluruh, dengan sebahagian pekerjaan hilang dan yang lain muncul.

Dalam konteks ini, cabaran bukan sekadar teknologi malah, budaya dan institusi – bagaimana manusia dan organisasi menyesuaikan diri secara bertanggungjawab.

Singapura menjadikan AI sebagai keutamaan strategik, termasuk melalui penubuhan Majlis Kebangsaan AI.

Dalam pendidikan, pendekatan dilaksanakan secara berperingkat – membina asas kukuh pada peringkat awal, dan memperkenalkan AI secara terkawal bagi menggalakkan pemikiran kritikal.

Respons yang lebih luas ialah menginstitusikan pembelajaran sepanjang hayat.

Daya usaha seperti SkillsFuture menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran sepanjang kitaran hayat.

Program latihan di tempat kerja pula membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan industri.

Sistem pendidikan turut berkembang:

  1. Pendidikan asas yang meluas;
  2. Laluan teknikal dan vokasional yang kukuh;
  3. Institusi pengajian tinggi yang berorientasi aplikasi.

Universiti memainkan peranan penting dalam menghubungkan pembelajaran dengan keperluan industri dan masyarakat.

Pendidikan bukan sahaja laluan mobiliti sosial, bahkan juga alat untuk memperkukuh masyarakat.

Namun, pembaharuan tenaga kerja mesti disertai dengan inovasi.

Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan telah diperkukuh melalui pelan jangka panjang.

Tetapi inovasi memerlukan ekosistem penyelidik yang ingin tahu, usahawan berani, dan pengawal selia yang responsif.

Yang paling penting, inovasi mesti berlandaskan nilai. Tanpa integriti, kredibiliti penyelidikan terjejas. Tanpa keadilan, peluang menjadi tidak terangkum. Tanpa disiplin, kemajuan tidak mampan.

Asas Sosial: Kestabilan dan Tanggungjawab Bersama

Strategi ekonomi dan inovasi mesti disokong oleh asas sosial yang kukuh.

Dalam tempoh perubahan pesat, kestabilan memberikan keyakinan kepada individu untuk menyesuaikan diri dan merebut peluang.

Di Singapura, pelaburan jangka panjang dalam perumahan awam dan simpanan berstruktur memainkan peranan penting.

Perumahan awam bukan sekadar tempat tinggal, malah, sebahagian daripada pembinaan negara yang menyediakan kestabilan dan membina masyarakat.

Begitu juga, sistem Tabung Simpanan Pekerja (CPF) membantu individu merancang masa depan melalui simpanan bagi persaraan, kesihatan dan perumahan.

Sistem ini mencerminkan prinsip tanggungjawab bersama antara individu, majikan dengan negara.

Sistem ini berfungsi sebagai prasarana sosial-kerangka yang menyediakan kestabilan merentas generasi.

Apabila individu berasa terjamin, mereka lebih bersedia menyesuaikan diri, meningkatkan kemahiran dan menerima perubahan.

Namun, keseimbangan adalah penting. Pertumbuhan tanpa kestabilan sosial boleh meningkatkan ketidaksamaan, manakala kestabilan tanpa penyesuaian boleh membawa kepada kebuntuan.

Kemajuan mampan memerlukan keseimbangan antara kedua-duanya, yang diperkukuh oleh kepercayaan.

Nilai dan Kesepaduan Sosial

Sepanjang ceramah ini, tema kepercayaan sentiasa muncul, dan kepercayaan berasaskan nilai. Seperti yang ditekankan:

  1. Tanpa integriti, cita-cita menjadi mementingkan diri sendiri;
  2. Tanpa disiplin, aspirasi hilang arah tujuan;
  3. Tanpa keadilan, persaingan menjadi merosakkan;
  4. Tanpa tanggungjawab, kemajuan tidak dapat dikekalkan.

Nilai ini penting bukan sahaja untuk individu, malah juga untuk kesepaduan sosial.

Dalam masyarakat berbilang budaya, kesepaduan tidak bermaksud menghapuskan perbezaan, tetapi membina kepercayaan dan rasa hormat yang membolehkan kemajuan bersama.

Kejayaan ekonomi boleh menjadi rapuh jika masyarakat tidak berkongsi tujuan bersama.

Nilai inilah yang memberikan makna kepada standard dan memastikan aspirasi ‘kelas pertama’ dapat dikekalkan dalam jangka panjang.

Kesimpulan: Standard dalam Setiap Tindakan

Masyarakat bermentaliti kelas pertama bukan sekadar cogan kata, tetapi satu standard yang menuntut piawaian tinggi dalam setiap tindakan – daripada dasar awam kepada pilihan peribadi.

Tema utama syarahan ini saling berkait:

  1. Ketahanan ekonomi bergantung pada kesepaduan sosial;
  2. Kestabilan memungkinkan aspirasi;
  3. Kepercayaan mengekalkan kekukuhan institusi.

Sistem seperti perumahan, pendidikan, pembangunan tenaga kerja dan inovasi tidak berfungsi secara terpisah, tetapi secara bersama membentuk syarat yang membolehkan masyarakat menyesuaikan diri tanpa berpecah belah.

Akhirnya, masa depan ditentukan oleh bagaimana kita bertindak balas terhadap perubahan.

Transformasi akan terus berlaku – teknologi, demografi dan keadaan sejagat akan sentiasa berubah.

Namun, apa yang kekal dalam kawalan kita adalah nilai dan cara kita bertindak.

Kepada generasi akan datang, komitmen terhadap kecemerlangan, integriti dan tanggungjawab akan membentuk kekuatan masyarakat.

Individu membentuk institusi, dan institusi membentuk negara.

Kejayaan bukan hanya bergantung kepada apa yang kita bina, malah,, kepada bagaimana kita berfikir, bertindak dan memikul tanggungjawab terhadap kemajuan bersama.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg