SPH Logo mobile
Langgan|

Peraturan skuter mobiliti baru tingkat rasa selamat

Peraturan skuter mobiliti baru tingkat rasa selamat

Feb 8, 2026 | 5:30 AM

Peraturan skuter mobiliti baru tingkat rasa selamat

Singapore, PMA, mobility
Mulai 1 Jun 2026, pengguna alat mobiliti peribadi (PMA) seperti skuter mobiliti tiga roda, perlu mendapatkan sijil keperluan perubatan, walau beberapa kumpulan pengguna, seperti warga emas berusia 70 tahun dan ke atas dikecualikan. - Foto fail

Undang-undang baru bagi mengawal penggunaan skuter mobiliti yang digunakan di laluan pejalan kaki melegakan dan mengurangkan risiko keselamatan, terutama bagi kanak-kanak dan warga emas.

Namun ada keperluan untuk memperhalus pelaksanaannya supaya tidak memberatkan pengguna secara keterlaluan.

Mulai 1 Jun 2026, pengguna alat mobiliti peribadi (PMA) seperti skuter mobiliti tiga roda, perlu mendapatkan sijil keperluan perubatan, walau beberapa kumpulan pengguna, seperti warga emas berusia 70 tahun dan ke atas dikecualikan.

Skuter mobiliti juga perlu berdaftar, dengan semua skuter mobiliti baru yang dijual mulai 1 Jun 2026 didaftarkan semasa ia dibeli.

Pengguna yang memang mempunyai skuter mobiliti boleh mendaftar alat masing-masing mulai pertengahan 2027.

Adalah satu kesalahan jenayah jika seseorang pemilik skuter yang tidak dibenarkan – tidak diiringi standard keselamatan kebakaran UL2272 – masih menyimpan skuter tersebut selepas 1 Jun 2026.

Had kelajuan PMA di laluan pejalan kaki juga telah dikurangkan daripada 10 kilometer sejam (km/j) kepada 6 km/j.

PMA yang terlalu besar, iaitu alat yang lebih berat daripada 300 kilogram dan berukuran melebihi 120 sentimeter (cm) kali 70 cm kali 150 cm tidak lagi dibenarkan menggunakan laluan pejalan kaki.

Pengguna diberikan kelonggaran untuk mematuhi undang-undang baru ini semasa tempoh peralihan sehingga 31 Disember 2028.

Sebagai contoh, pengguna PMA yang mempunyai alat mobiliti yang boleh mencapai kelajuan 10 km/j boleh menggunakan alat mereka di laluan pejalan kaki, dengan syarat tidak bergerak lebih 6 km/j.

Namun bermula 1 Januari 2029, menggunakan skuter mobiliti tidak berdaftar di laluan pejalan kaki dianggap satu jenayah.

Maklum balas yang diterima akhbar ini sejurus selepas Parlimen meluluskan rang undang-undang pengangkutan pada 4 Februari menunjukkan langkah itu mendapat sokongan, terutama apabila dilihat daripada sudut keselamatan.

Alat mobiliti yang ditunggang secara cuai atau terlalu laju mewakili risiko keselamatan yang tidak diingini, lebih-lebih lagi di laluan pejalan kaki dikongsi di kawasan kejiranan, berhampiran sekolah atau taman awam popular.

Menyimpan alat mobiliti yang tidak memenuhi standard keselamatan kebakaran dan disimpan atau dicas di rumah juga mewakili risiko kebakaran, bukan hanya untuk pemilik, malah untuk jiran tetangga.

Sebagaimana dijangka, undang-undang baru itu juga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna skuter mobiliti, terutama yang menggunakannya untuk bekerja, seperti pekerja penghantaran.

Sememangnya difahami mereka bimbang undang-undang tersebut akan menjejas periuk nasi mereka.

Namun, semasa menjawab pertanyaan berhubung perkara ini di Parlimen, Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, berkata pekerja penghantaran yang tidak mempunyai keperluan perubatan tidak seharusnya menggunakan PMA untuk bekerja.

Kumpulan ini boleh terus bekerja dengan beralih kepada alat yang dibenarkan.

Persatuan Penyokong Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) akan menyediakan bantuan kewangan kepada pekerja penghantaran yang terjejas untuk mematuhi undang-undang tersebut.

Alat bantuan mobiliti, sesungguhnya, ditujukan kepada golongan yang menghadapi cabaran untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Namun, ia turut digunakan untuk tujuan lain oleh sebahagian pengguna yang tidak mengalami cabaran sedemikian.

Dengan undang-undang yang lebih jelas, adalah diharapkan ia membuka ruang supaya PMA menjadi alat yang diterima masyarakat sebagai alat mobiliti yang benar-benar diperlukan oleh sebahagian orang.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg