Dalam beberapa minggu ini, isu melibatkan catatan media sosial mantan Anggota Parlimen Dicalon (NMP), Encik Calvin Cheng, menjadi tumpuan sebahagian besar masyarakat.
Pada 13 Mac, Encik Cheng telah memuat naik satu catatan di Facebook, mengkritik kumpulan aktivis Monday of Palestine Solidarity, yang mengganggu Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di beberapa tempat, dan berkata akan menaja mereka untuk dipindahkan ke Gaza, dengan syarat mereka tidak kembali ke Singapura.
Beliau juga akan menawarkan “kelas penerbangan bisnes“ kepada ketua kumpulan itu, dan akan membeli “beberapa kasut berjalan” untuk “928 pengikut mereka”.
Kenyataannya telah mengundang kemarahan orang ramai khususnya masyarakat Melayu/Islam, yang menyifatkan kata-katanya itu sebagai tidak sensitif dan kurang peka kepada penderitaan warga di Gaza.
Malah, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata dalam podcast Berita Harian (BH), BHerbual NoTapis, bahawa hantaran Facebook Encik Cheng berhubung Gaza “tidak beradab dan telah menggores perasaan masyarakat Melayu/Islam”.
Pada 9 April, Encik Cheng cuba menjernihkan keadaan dengan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Masyayikh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, dan anggota majlis itu, Ustaz Pasuni Maulan.
Menyusuli pertemuan tersebut, beliau telah membuat satu catatan di Facebook. Melahirkan rasa kesalnya, Encik Cheng berkata:
“Saya sedar bahawa saya sepatutnya lebih sensitif dengan kenyataan saya. Saya tidak sepatutnya berkata sedemikian (walaupun dalam gurauan) bahawa orang harus pergi ke zon konflik.
“Saya memberitahu kededua Ustaz bahawa saya amat kesal dengan kenyataan saya yang mencadangkan agar orang kita pergi ke zon konflik. Mereka menasihati saya untuk lebih sensitif pada masa hadapan, dalam apa jua yang saya katakan,” katanya.
Encik Cheng menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menyerang mana-mana masyarakat atau kepercayaan.
Beliau menekankan bahawa komennya itu ditujukan khusus kepada kumpulan aktivis Monday for Palestine, yang merangkumi orang Cina dan India, dan mempunyai pengikut berbilang agama.
Masyarakat Melayu/Islam beruntung kerana memiliki kepimpinan yang bersikap tegas menegur apabila terdapat kelakuan yang tidak sealiran dengan nilai-nilai kita sebagai sebuah masyarakat dan negara, namun berhati lembut untuk menerima pengakuan kesal dalam mencari pendamaian.
Perdana Menteri Encik Lawrence Wong juga mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Mohamad Hasbi dan Ustaz Pasuni atas peranan mereka dalam memupuk keharmonian antara agama, dan menyeru rakyat Singapura supaya terus membina dan memastikan Singapura kekal sebagai oasis kestabilan dan keharmonian.
Encik Wong juga telah mengadakan pertemuan dengan dua tokoh agama itu, dan dalam catatannya di Facebook menyusuli pertemuan tersebut telah menyifatkan komen Encik Cheng sebagai sama sekali tidak sensitif dan tidak boleh diterima.
Ulasan tegas oleh Perdana Menteri dan sebelum itu, Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, serta pertemuan Encik Cheng dengan Ustaz Mohamad Hasbi dan Ustaz Pasuni, telah sedikit sebanyak meredakan keadaan, namun dari segi mencapai satu pengakhiran, ia belum menemui matlamatnya.
Ini tidak dibantu dengan catatan media sosial susulan Encik Cheng, dan langkah beliau untuk terus memberi respons kepada komen-komen di media sosial mengenai isu tersebut.
Ini menyebabkan sebahagian dalam masyarakat mempersoal keikhlasan beliau, meskipun Encik Cheng dalam beberapa catatan susulan di media sosial telah menekankan kemahuan beliau untuk berdamai.
Ramai dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam mahu melihat huraian kepada isu ini dengan segera. Ia telah mendominasi perbincangan di ruang siber hampir sebulan lamanya, sekali gus mengalih tumpuan daripada isu-isu lebih penting yang perlu dibincangkan terutama sekali dengan Singapura kini kian di ambang pilihan raya.
Bagaimanapun, bagi saya, Encik Cheng akan terus bersikap ‘seperti Encik Cheng’. Kita tidak boleh memaksa beliau melakukan sesuatu di luar kehendaknya. Akaun media sosial beliau juga adalah saluran miliknya, dan beliau bebas menggunakan platform tersebut.
Namun, sebagai individu dan sebagai sebuah masyarakat, kita mampu mengawal tingkah laku kita.
Kita sudah menyatakan pendirian kita dengan tegas. Mesej kita juga sebagai individu dan masyarakat yang menitik beratkan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama telah kita laungkan dengan kuat. Perlukah kita terus menerus menghabiskan masa dan tenaga berharga kita kepada Encik Cheng dan isu ini?
“
Kita sudah menyatakan pendirian kita dengan tegas. Mesej kita juga sebagai individu dan masyarakat yang menitik beratkan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama telah kita laungkan dengan kuat. Perlukah kita terus menerus menghabiskan masa dan tenaga berharga kita kepada Encik Cheng dan isu ini?Kita terus mengharapkan Encik Cheng akan melihat keadaan dari perspektif lebih luas, perspektif yang telah ditekankan para pemimpin kita.
Semoga beliau sedar, apa yang mungkin dianggap sebagai sindiran mahupun gurauan dalam konteks lain menjadi simbol tidak hormat. Tamparan pada seseorang atau kumpulan kecil, terutamanya dalam perkara yang melibatkan identiti dan keagamaan, boleh dengan cepat dirasakan seperti tamparan kepada ramai. Dan di era media sosial, tamparan itu bergema kuat dan meluas.
Ini bukan hanya mengenai kekurangan kebijaksanaan seseorang, tetapi bagaimana detik ketidakpekaan boleh merungkai sesuatu yang lebih mendalam dalam masyarakat kita iaitu kepercayaan, persefahaman dan perpaduan.
Kekuatan Singapura terletak pada fabrik sosialnya, dan tenunan ini merentasi garis kaum dan agama.
Masyarakat Melayu/Islam akan terus menyumbang, malah menjadi tunggak kekuatan ini, dan tidak akan membiarkan apa pun menggugatnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg