Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Reset’ dasar keluarga: Pastikan ibu bapa tidak perlu harungi perjalanan besarkan anak bersendirian
Daripada galak kelahiran kepada sokongan sepanjang anak membesar, termasuk bagi ibu bapa tunggal, cermin perubahan pendekatan pemerintah dalam rancakkan kadar kelahiran warga
Sejak sekian lama, perbincangan tentang kadar kelahiran Singapura sering tertumpu pada satu persoalan: Bagaimana hendak menggalakkan pasangan mempunyai lebih ramai anak?
Pelbagai insentif diperkenalkan – Bonus Bayi, cuti bersalin dan paterniti, bantuan perumahan dan pelbagai bentuk sokongan kewangan.
Namun perubahan dasar keluarga yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Rapat Hari Kebangsaan kali ini mencerminkan sesuatu yang lebih besar daripada menambah insentif.
Ia boleh dianggap sebagai satu reset atau penetapan semula secara menyeluruh – daripada dasar yang banyak tertumpu pada kelahiran kepada usaha menyokong ibu bapa dalam melaksanakan tanggungjawab membesarkan anak sepanjang tahun-tahun mereka membesar.
Ini penting kerana keputusan mempunyai anak bukan sekadar keputusan tentang kos melahirkan seorang bayi.
Ia adalah mengenai kehidupan selepas itu sehinggalah anak tersebut berusia remaja.
Sokongan tidak berhenti selepas bayi dilahirkan
Di bawah pendekatan baharu ini, setiap bayi warga Singapura akan menerima sokongan awal termasuk hadiah bayi $10,000; geran MediSave $5,000; serta Akaun Pembangunan Anak (CDA) dengan geran awal $5,000 dan padanan dolar dengan dolar sehingga $5,000.
Namun perubahan yang lebih penting datang selepas itu.
Setiap anak akan menerima kredit tahunan $2,000 dari usia setahun hingga 16 tahun, selain tokokan pendidikan ketika di sekolah rendah dan menengah, serta $10,000 lagi ke dalam akaun pendidikan posmenengah pada usia 17 tahun.
Secara keseluruhan, setiap anak warga Singapura akan menerima hampir $70,000 dalam sokongan kewangan langsung sepanjang proses membesar.
Falsafah pendekatan ini mudah dan relevan: kos membesarkan anak tidak berakhir selepas kelahiran.
Maka sokongan juga tidak seharusnya berakhir di situ.
Bukan wang sahaja tetapi masa
Perubahan cuti penjagaan anak juga mengiktiraf satu realiti sebenar, iaitu semakin ramai anak, semakin berat tanggungjawab penjagaan.
Setiap ibu atau bapa bekerja akan mendapat lapan hari cuti bagi seorang anak berusia sehingga 12 tahun, 10 hari bagi dua anak dan 12 hari bagi tiga anak atau lebih.
Bagi pasangan dengan tiga anak di sekolah rendah, jumlah kelayakan mereka meningkat daripada empat hari kini kepada 24 hari setahun.
Pemerintah juga akan menanggung kos semua cuti berkanun berkaitan anak, tertakluk kepada had pembayaran balik.
Ini penting kerana dasar keluarga tidak boleh berjaya jika ibu bapa mempunyai bantuan kewangan tetapi masih merasakan bahawa setiap kali mengambil cuti untuk menjaga anak sakit atau menghadiri urusan sekolah, kerjaya mereka terjejas.
Iktibar dari negara lain
Pengalaman negara-negara Nordik memberi satu pengajaran berguna.
Negara seperti Sweden, Norway dan Denmark telah lama membina ekosistem yang membantu ibu bapa mengimbangi pekerjaan dan keluarga – menerusi cuti ibu bapa berbayar, penglibatan lebih besar bapa dalam penjagaan anak dan sistem pendidikan serta penjagaan awal kanak-kanak yang meluas dan dimampui.
Untuk tempoh yang panjang, negara-negara ini berjaya mengekalkan kadar kesuburan yang secara relatifnya lebih tinggi berbanding banyak negara maju lain.
Namun, pengalaman mereka juga memberi peringatan penting.
Kadar kesuburan negara Nordik turut merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Di Norway misalnya, kadar kesuburan merosot daripada hampir dua anak bagi setiap wanita pada 2009 kepada sekitar 1.4 pada 2022.
Maknanya, dasar keluarga yang murah hati membantu, tetapi bukan formula ajaib.
Korea Selatan pula menawarkan satu lagi pengajaran penting.
Negara itu telah memperluas pelbagai dasar keluarga termasuk penjagaan kanak-kanak, cuti ibu bapa dan bantuan kewangan.
Namun kadar kesuburannya terus menjunam.
Masalahnya lebih mendalam.
Kos perumahan dan pendidikan kekal tinggi.
Budaya kerja yang panjang dan kurang fleksibel menyukarkan ibu bapa mengimbangi kerjaya dengan keluarga.
Wanita khususnya, masih berdepan kos kerjaya yang besar apabila menjadi ibu.
Pengajarannya jelas: sesebuah negara boleh membelanjakan wang yang banyak untuk dasar keluarga, tetapi jika realiti kehidupan masih menyebabkan rakyat merasakan mereka perlu memilih antara kerjaya dengan keluarga, kesannya terhadap kadar kelahiran akan terbatas.
Dari prasekolah hingga rumah
Sebab itulah perubahan Singapura kali ini menarik perhatian.
Yuran penjagaan kanak-kanak sehari penuh di prasekolah yang disokong pemerintah akan dikurangkan secara berperingkat kepada $150 sebulan, manakala penjagaan bayi kepada $300.
Pendekatannya hampir menyerupai pendidikan sekolah rendah, iaitu setiap anak harus mempunyai akses kepada pendidikan awal yang berkualiti dan mampu dimiliki, tanpa mengira pendapatan keluarga.
Siling pendapatan bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pula akan dinaikkan daripada $14,000 kepada $16,000 dan bagi kondominium eksekutif (EC), daripada $16,000 kepada $18,000.
Keluarga kali pertama juga akan mendapat satu peluang undi tambahan bagi setiap anak apabila memohon flat BTO baharu.
Malah, keluarga ibu atau bapa tunggal turut mendapat manfaat daripada beberapa sokongan yang berteraskan anak dan penjagaan.
Ini mencerminkan satu prinsip penting: jika matlamatnya ialah memberikan setiap anak permulaan terbaik, sokongan harus mengikuti keperluan anak dan keluarga, bukan hanya struktur keluarga tersebut.
Jadikan kehidupan berkeluarga lebih mampan
Pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa tiada satu dasar mampu menjadi formula ajaib bagi peningkatan kadar kelahiran.
Persoalan yang lebih penting bukan berapa banyak insentif perlu diberikan, tetapi bagaimana menjadikan kehidupan dengan anak lebih mampu diurus – dari segi kewangan, kerjaya, masa, penjagaan dan perumahan.
Di sinilah reset dasar keluarga Singapura kali ini berpotensi membawa perbezaan.
Namun, pelaksanaannya perlu memastikan tiada anak yang ketinggalan.
Bagaimana, misalnya, penjaga kepada anak yang kedua-dua ibu bapanya dipenjarakan, meninggal dunia atau tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab penjagaan boleh mengakses sokongan yang diperuntukkan kepada anak tersebut dengan mudah?
Pada masa yang sama, yuran prasekolah yang lebih rendah mungkin meningkatkan permintaan.
Maka, usaha menjadikan penjagaan anak lebih mampu milik mesti disertai penyediaan tempat, tenaga kerja dan mutu penjagaan yang mencukupi.
Dasar keluarga yang baik bukan sekadar menjadikan kehidupan berkeluarga lebih dimampui, tetapi pada masa sama menjadikannya lebih bermakna.
Itulah ukuran sebenar kejayaan reset ini – sama ada keluarga merasakan mereka tidak perlu mengharungi perjalanan membesarkan anak bersendirian.
