Langkah mengurangkan kos sara hidup dan meringankan beban kewangan keluarga sering menjadi tumpuan utama setiap kali perbincangan dasar keluarga diutarakan.

Namun, di sebalik pelbagai bantuan geran dan subsidi disediakan, ada satu cabaran yang lebih mendalam tetapi sering kurang diberikan perhatian, iaitu kekangan masa, kata pengamat.

Menurut penganalisis yang dihubungi Berita Harian (BH), meskipun aspek kewangan adalah penting, isu masa dan tenaga adalah antara faktor utama yang menjejas keluarga, termasuk dalam kalangan ibu bapa bekerja dengan anak kecil dan perlu menjaga ibu bapa lanjut usia.

MASA: FAKTOR PENENTU YANG KIAN TERHIMPIT

Isu kehidupan berkeluarga telah menjadi antara teras dalam Amanat Hari Kebangsaan yang disampaikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, baru-baru ini.

Encik Wong berkata lebih banyak butiran akan diberikan tentang rancangan untuk membantu ibu bapa menanggung kos membesarkan anak dan meringankan beban keluarga – bakal dibentangkan semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos.

Sejak beberapa tahun lalu, pemerintah menyediakan pelbagai sokongan bagi keluarga menangani cabaran yang dihadapi termasuk kos sara hidup, perumahan dan penjagaan anak-anak, contohnya menerusi Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa dan Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Dipertingkat.

Namun, walaupun pemerintah telah menyediakan pelbagai sumber untuk menangani kos kewangan, satu isu penting walaupun kurang ketara apabila melibatkan keluarga dan mempunyai anak ialah masa, kata Dr Tan Poh Lin, Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS).

“Usaha membesarkan anak-anak juga memerlukan ibu bapa melaburkan banyak masa dan tenaga, yang menyebabkan sesetengah orang enggan mempunyai anak kedua atau ketiga,” ujar beliau.

Dr Tan turut berkata ini membawa kepada soal cuti, sambil berkata penambahan cuti khas ibu bapa secara berlebihan berisiko mencetuskan diskriminasi di tempat kerja.

Oleh itu, beliau berkata akses cuti keluarga wajar diperluaskan kepada semua pekerja bagi menormalisasikan penjagaan warga emas mahupun ahli keluarga yang kurang upaya.

Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, Ketua Program Keselamatan Global dan Strategi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pula mengetengahkan isu ‘care compression’, atau himpitan penjagaan, yang membelenggu keluarga.

“Keluarga kini terpaksa memuatkan lebih banyak tanggungjawab ke dalam fasa kehidupan dewasa yang sama: pembangunan kerjaya, komitmen perumahan, membesarkan anak, menyara ibu bapa yang kian menua, di samping membuat persediaan persaraan sendiri.

“Dasar kita secara wajar menyusun sokongan mengikut keperluan dan peringkat tertentu. Namun, keluarga mengalami tanggungjawab ini secara serentak,” katanya.

Himpitan penjagaan ini menjejas keupayaan keluarga, atau ‘family bandwidth’, iaitu konsep di mana setiap keluarga mempunyai keupayaan kewangan, masa, emosi, dan keupayaan penjagaan yang terhad.

Apabila kesemua tanggungjawab itu bertumpu sekali gus, “keluarga boleh mengalami kekangan keupayaan walaupun mereka tidak dikategorikan sebagai golongan mudah terjejas secara konvensional”, kata Dr Razwana.

KORBAN MASA DEMI WANG, WANG DEMI MASA

Bagi pasangan suami isteri yang bekerja, Cik Nur Fariza Ahmad Razif dan Encik Muhammad Syarifuddin Abdul Kadir – kedua-duanya berusia 39 tahun – kekangan masa ini adalah realiti yang dihadapi setiap hari dalam membesarkan tiga anak mereka yang berusia tiga hingga 12 tahun.

Cik Fariza, seorang pengetua pekerja sosial, berharap pemerintah dapat mempertimbangkan untuk menambahkan cuti penjagaan anak melebihi sehingga enam hari yang diperuntukkan sekarang supaya ibu bapa bekerja berpeluang meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak.

Bagi golongan yang membesarkan anak berkeperluan khas, cabaran masa dan wang ini berlipat ganda.

Cik Nurul-Qursyiah Ismail, 40 tahun, perlu membahagikan masa dengan teliti demi menjaga tiga anaknya, termasuk dua yang mempunyai autisme.

Beliau seorang pengusaha perniagaan dari rumah (HBB), manakala suaminya, Encik Mohammad Farhan Tahar, 40 tahun, melakukan dua pekerjaan sebagai teknisyen pemprosesan dan ejen hartanah sambilan untuk menampung kos perbelanjaan keluarga.

“Masa berkualiti bersama anak-anak amat terhad kerana kami terlalu penat dan letih. Tetapi kami tetap mencuba,” ujar Cik Nurul-Qursyiah.

Pekerja sosial bagi jabatan perkhidmatan keluarga di AMP Singapura, Cik Nur Atikah Adnan, mengesahkan dilema ini, sambil berkata “banyak keluarga terpaksa mengorbankan wang demi masa, dan masa demi wang”.

“Contohnya, keluarga berpendapatan tunggal, di mana salah seorang ibu atau bapa tinggal di rumah untuk menguruskan anak-anak, mempunyai lebih banyak masa bersama anak-anak mereka; bagaimanapun, ini mengakibatkan pendapatan isi rumah yang lebih rendah, yang turut boleh menimbulkan tekanan lain.

“Sebagai alternatif, untuk meningkatkan pendapatan isi rumah, kedua-dua ibu bapa boleh memilih untuk bekerja sepenuh masa, tetapi ini bermakna mereka perlu mendaftarkan anak-anak ke pusat penjagaan pelajar atau mencari alternatif penjagaan lain, yang akan mengurangkan masa mereka bersama,” kata beliau.

BINA INFRASTRUKTUR PENJAGAAN

Untuk mengatasi kemelut ini, penganalisis menyarankan agar dasar pemerintah beralih daripada sekadar memberikan bantuan tunai kepada usaha membina kapasiti keluarga dan memperkukuh infrastruktur penjagaan.

Ini termasuk penjagaan kanak-kanak yang dimampui dan mudah diakses, sokongan untuk anak bersekolah, dan perkhidmatan untuk golongan kurang upaya, penjagaan warga emas serta penjaga.

“Sokongan kewangan memang boleh mengurangkan kos, tetapi wang sahaja tidak boleh mencipta masa atau kapasiti penjagaan,” kata Dr Razwana.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Sosial PPIS, Cik Azita Abdul Aziz, menyeru agar seluruh ekosistem yang menyokong keluarga, termasuk majikan di tempat kerja dan rangkaian masyarakat serta sosial, dapat memainkan peranan untuk membantu keluarga.

“Apabila pelbagai bentuk sokongan ini digabungkan, keluarga mempunyai ruang bernafas yang lebih luas untuk menangani cabaran serta-merta sambil berusaha ke arah kestabilan jangka panjang,” kata beliau.