‘Saya orang India, saya juga orang Melayu’
Baru-baru ini, saya menyertai satu panel dalam talian yang membincangkan kepelbagaian persahabatan di Singapura.
Sambil membaca soalan-soalan yang diajukan peserta lain di ‘pigeonhole’, salah satu soalan menarik minat saya.
Ia berbunyi: Kepelbagaian kaum terus menjadi salah satu tonggak masyarakat Singapura. Namun, ‘tekstur’ kaum di Singapura kian berubah saban tahun. Patutkah kita memikirkan semula konstruk CMIO (Cina, Melayu, India, Lain-lain) dan membingkainya semula agar lebih mencerminkan tekstur rakyat Singapura yang sedang berkembang pada hari ini?.
Soalan tersebut menarik perhatian kerana ia mengingatkan saya tentang diri sendiri serta memutik semula satu isu yang kerap saya fikirkan, namun tidak pernah dapat luahkan dalam kata-kata sepenuhnya.
Saya berbangsa India. Jika dilihat kad pengenalan saya, di bawah Kaum, tertera: ‘Indian’. Saya sangat bangga berbangsa India.
Namun, saya berbudaya Melayu. Saya bertutur dalam Bahasa Melayu (saya tidak tahu sepatah pun perkataan Tamil atau bahasa India lain), makanan seharian saya ialah makanan Melayu, saya membesar mengamalkan tradisi dan budaya Melayu. Dari banyak aspek... saya orang Melayu.
Ayah saya berdarah campur India dan Jawa. Ibu pula bercampur Melayu dan Cina. Kedua-dua mereka dibesarkan dalam suasana Melayu.
Kebelakangan ini, persoalan identiti timbul dalam benak kerana saya mula menyedari bahawa saya tidak pernah melihat diri sendiri sebagai orang ‘Melayu Melayu’ atau ‘India India’ – saya tidak pernah merasai diri ini orang India atau Melayu sepenuhnya.
Menariknya, ‘kemelayuan’ saya lebih terserlah apabila saya berada dalam kalangan orang India, dan sebaliknya, kesedaran terhadap ‘ciri-ciri India’ saya lebih menyerlah apabila saya dikelilingi orang Melayu.
Sejujurnya, dari segi pemikiran, tingkah laku dan perwatakan, saya rasa lebih India daripada Melayu, tetapi saya takut berkata demikian.
Bukan apa, takut orang fikir saya ini ‘perasan’ atau ‘tak sedar diri’, ‘Melayu tak nak mengaku Melayu’.
Jangan salah faham, kadang terdetik di hati alangkah baiknya jika saya mempunyai lebih banyak sifat kemelayuan.
Apabila berkumpul dengan orang Melayu, sering saya kagum dengan kelembutan mereka, kehalusan tutur kata mereka yang sangat beralas serta keprihatinan mereka terhadap menjaga hati orang lain. Saya hanya mampu berharap saya boleh seperti mereka.
Jadi apabila berada dalam persekitaran Melayu dan dalam perbualan saya dengan orang Melayu, saya akan berusaha memastikan pemilihan kata saya lebih sesuai.
Pastinya, seseorang perlu ada tahap kesedaran diri tertentu untuk mampu melakukan sedemikian.
Satu kajian yang dilakukan penyelidik di Standford Graduate School of Business mendapati individu yang berasa selesa dalam beberapa budaya berbeza mungkin dapat “bertukar bingkai” (frame switch) dengan lebih baik antara set minda budaya yang berbeza.
Individu sedemikian, kata mereka, dapat beralih antara cara pemikiran budaya berbeza, yang dapat membantu mereka mengemudi persekitaran pelbagai kaum.
Satu kajian lain yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew pula mendapati orang dewasa berbilang kaum mungkin mempunyai pendekatan yang lebih terbuka dan memahami terhadap orang daripada kaum dan budaya lain.
Tinjauan tersebut mendapati 59 peratus rakyat Amerika Syarikat berbilang kaum percaya bahawa latar belakang campuran mereka telah menjadikan mereka lebih terbuka kepada budaya, selain budaya mereka sendiri, dan sekitar 55 peratus merasakan bahawa mereka lebih memahami orang daripada latar belakang kaum yang berbeza.
Bagi saya, pendedahan kepada kaum India dan Melayu sejak kecil lagi menjadikan saya lebih sensitif terhadap nuansa budaya kedua-dua kaum itu. Bahkan bukan sahaja saya lebih peka terhadap perkara tersebut, saya juga menghargai keunikan dan kekayaan budaya mereka.
Kalau orang bukan India tersinggung dan mengeluarkan kata-kata seperti “berbual asyik nak menang sahaja!” atau “ajak berbual macam ajak bergaduh!”, saya dapat faham sudut pandangan kedua belah pihak.
Begitu juga kalau orang bukan Melayu bertanya “kenapa keluarga Melayu selalu ramai anak?” atau mempersoal sifat “sikit lebih kurang” orang kita.
Mungkin pada pandangan orang Melayu, kurang kemelayuan saya. Pada pandangan orang India pula, kurang keindiaan saya. Tidak mengapa. Identiti saya sebagai seorang individu tidak tertakluk pada kaum yang tertera pada kad pengenalan saya.
Saya orang India, saya juga orang Melayu, saya juga merupakan gabungan kesemua pengalaman, pemikiran dan perspektif saya. Itu juga salah satu sebab mengapa saya dan suami memutuskan untuk meletakkan ‘double-barrelled race’ bagi anak kami.
Dalam mengisi borang rasmi yang memerlukan saya menyatakan kaum saya, kotak sebelah ‘India’ akan saya tandakan, namun, dengan penuh kefahaman bahawa ia bukanlah satu-satunya perkara yang menandakan siapa diri saya ini.
Mana tahu, pada masa hadapan, anak saya atau anak mereka akan dibenarkan menandakan lebih daripada satu kotak.
Di Singapura, semakin ramai individu yang kian tidak tertakluk pada satu ‘kotak’ kaum sahaja. Ini mungkin membantu masyarakat mengembangkan fleksibiliti untuk melihat seseorang itu sebagai lebih daripada sekadar satu kumpulan demografik sahaja.
Siapa tahu suatu hari nanti, ini bahkan mampu mendorong masyarakat untuk menjauhi label kaum sebagai penanda utama identiti seseorang.

