Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sudah tiba masa S’pura ada Muzium Reka Bentuk sendiri

Cadangan bina muzium mengiktiraf kreativiti dan reka bentuk sebagai elemen penting dalam membentuk jati diri serta semangat kenegaraan kita
Apr 27, 2025 | 5:30 AM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, baru-baru ini mengumumkan kemungkinan penubuhan sebuah Muzium Reka Bentuk di tapak bersejarah Institusi St. Joseph (SJI) – yang lebih dikenali sebagai lokasi lama Muzium Seni Singapura (SAM).
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, baru-baru ini mengumumkan kemungkinan penubuhan sebuah Muzium Reka Bentuk di tapak bersejarah Institusi St. Joseph (SJI) – yang lebih dikenali sebagai lokasi lama Muzium Seni Singapura (SAM). - Foto MUZIUM SENI SINGAPURA

Bagi sebuah negara yang telah diiktiraf sebagai Bandar Reka Bentuk Kreatif oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sejak 2015 – yang menghargai usaha Singapura memanfaatkan reka bentuk dan kreativiti dalam pembangunan sosial dan ekonomi – masih ada sesuatu yang penting yang belum dimiliki negara ini, iaitu sebuah Muzium Reka Bentuk Singapura.

Meski negara ini menyediakan beberapa ruang untuk orang awam berinteraksi dengan dunia rekaan, tiada satu ruang yang benar-benar berperanan sebagai platform utama bagi meraikan warisan rekaan tempatan. 

Contohnya, Muzium Reka Bentuk Red Dot di Marina Bay menampilkan karya pemenang anugerah daripada pertandingan antarabangsa. Pusat Reka Bentuk Nasional (NDC) pula merupakan mercu tanda yang terkenal dalam kalangan pengkarya dan menjadi tumpuan orang ramai untuk pameran bertemakan rekaan, serta meraikan Minggu Reka Bentuk Singapura.

Manakala Muzium ArtScience meneroka kreativiti merentas pelbagai disiplin.

Sebuah Muzium Reka Bentuk Singapura akan melangkaui fungsi ruang-ruang sedia ada itu. 

Sebagai repositori (penyimpanan) pusat, ia akan berperanan merakam keseluruhan perjalanan karya dan rekaan tempatan – daripada pelan seni bina yang membentuk latar langit bandar, ilustrasi fesyen yang mencerminkan perubahan sosial, sehingga artifak fizikal seperti prototaip perabot dan cetakan grafik yang menggambarkan nilai budaya serta pembangunan negara.

Lebih daripada sekadar aspek kecantikan, nilai muzium ini terletak pada keupayaannya mengetengahkan sumbangan rekaan Singapura dan kesannya di peringkat daerah dan global, sambil membuka ruang bagi pemahaman mendalam tentang sejarah dan perbincangan yang kritis.

Pengumuman terkini oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, mengenai kemungkinan penubuhan Muzium Reka Bentuk di tapak bersejarah Institusi St. Joseph (SJI) – yang lebih dikenali sebagai lokasi lama Muzium Seni Singapura (SAM) – adalah satu berita yang menggembirakan dan tepat pada masanya.

Ketika Singapura bersiap sedia menyambut ulang tahun ke-60 negara (SG60), saya percaya kita mampu memastikan rekaan kita diiktiraf bukan hanya kerana fungsinya, malah sebagai teras kepada identiti negara – melalui sebuah muzium negara yang khusus.

Sudah tentu, langkah ini memerlukan pelaburan dan sumber yang besar untuk memastikan pameran berkualiti, koleksi dan program menarik, serta operasi yang lancar. 

Namun, ia membawa pulangan yang sangat berharga dengan memperkaya warisan budaya dan membanggakan negara. Reka bentuk yang mencerminkan sejarah kita, turut berfungsi sebagai pemacu kemajuan, sekali gus mengukuhkan peranan Singapura sebagai pemimpin dalam dunia reka bentuk global.

Dengan pemindahan sementara Muzium Seni Singapura (SAM) ke Tanjong Pagar Distripark pada 2019, tapak SJI yang merupakan monumen negara kini kosong. Ia membuka peluang bagi pembaharuan – dengan penubuhan muzium reka bentuk baru, sama seperti komuniti rekaan Singapura yang terus berkembang di pentas global.

Perlu dikenali dan dirai

Seni reka Singapura mula mendapat perhatian pada 1990-an. Perintis karya kreatif seperti Song + Kelly, jenama fesyen yang diasaskan bersama oleh pereka tempatan, Encik Wykidd Song, telah dijual di kedai-kedai antarabangsa terkenal seperti Harrods dan Selfridges di London, serta Barneys di New York.

Pereka muda dan arkitek tempatan mula membentuk identiti dan label mereka sendiri, seperti Woha Architects yang diasaskan pada 1994. Pada tahun yang sama, saya dan rakan-rakan di Maktab Seni Lasalle menubuhkan kolektif seni dan rekaan Phunk, memberi sumbangan dalam evolusi kreatif Singapura.

Kini, dunia rekaan tempatan telah matang dan berkembang pesat. Landskap bandar kita dipuji kerana inovasinya – dengan rekaan hotel mewah Pan Pacific Orchard oleh Woha Architects dinobatkan sebagai Bangunan Tinggi Terbaik Dunia 2024. 

Selain itu, rekaan fesyen Encik Andrew Gn telah menghiasi acara permaidani merah antarabangsa. Karya pereka Singapura seperti Encik Hans Tan telah dipamerkan di muzium terkenal seperti M+ di Hong Kong dan Cooper Hewitt, Smithsonian Design Museum di New York.

Kepentingan muzium ini

Reka bentuk ada di mana-mana – daripada perancangan bandar, produk yang digunakan, hingga khidmat harian yang memudahkan kehidupan. Ia adalah pemacu inovasi, pencetus pertumbuhan perniagaan, dan membentuk identiti negara. 

Namun, berbeza dengan seni atau filem, rekaan sering dianggap sebagai sesuatu yang digunakan untuk fungsinya semata. Sedangkan rekaan juga patut dihargai dan diketengahkan.

Di Singapura, pengajian dalam bidang rekaan banyak tertumpu kepada tokoh antarabangsa berbanding bakat tempatan. Ini sebahagiannya berpunca daripada ketiadaan rekod, dokumentasi, penyampaian dan arkib yang tersusun, mengenai hasil rekaan serta pereka tempatan.

Sebuah Muzium Reka Bentuk berpotensi mengubah keadaan ini. Ia akan menampilkan warisan reka bentuk Singapura, serta memberi inspirasi kepada generasi pereka baru untuk meneroka lebih jauh dan menghasilkan karya bermakna yang memberi kesan di peringkat global.

Kelebihan tapak SJI

Bangunan lama SJI di Bras Basah merupakan pilihan yang cukup bermakna untuk muzium ini. Sebagai bekas pelajar SJI, saya amat teruja memikirkan kemungkinan dapat memberi nafas baru kepada ruang yang kaya dengan sejarah ini. 

Terletak dalam kawasan seni, rekaan dan warisan Bras Basah-Bugis, ia dikelilingi institusi seperti Lasalle, Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dan NDC – menjadikannya pusat semula jadi bagi kreativiti.

Keunikan seni bina bangunan berusia 160 tahun ini, serta lokasinya yang strategik, membuka peluang untuk menubuhkan sebuah muzium yang bersifat mesra dan menyeluruh. 

Koleksi rekaan – yang lazimnya merangkumi objek bersaiz kecil, bahan arkib dan pameran interaktif – lebih menyerlah dalam ruang yang menggalakkan penglibatan pengunjung.

Susun atur bangunan dan nilai sejarah SJI menjadikannya lokasi yang sesuai untuk pengunjung mendalami kisah di sebalik warisan reka bentuk Singapura. 

Lokasinya yang terletak berhampiran institusi kreatif lain juga membuka ruang bagi kerjasama dan inovasi baru.

Meski saiz bilik dan status pemuliharaan bangunan itu mengehadkan penganjuran pameran berskala besar, cadangan menambah ruang sampingan serta menggunakan tapak berdekatan seperti bangunan 8Q milik SAM dilihat mampu menangani kekangan tersebut.

Bangunan 8Q dilengkapi bilik bersaiz bilik darjah yang sesuai digunakan bagi bengkel reka bentuk, program masyarakat dan aktiviti pendidikan.

Muzium ini juga boleh berperanan sebagai arkib reka bentuk Singapura, yang ‘hidup’ dan tidak statik.

Saya melihatnya sebagai ruang dinamik yang berpandangan ke hadapan – bukan sahaja untuk memelihara, malah turut menggalakkan perbincangan, inovasi, penerokaan kreatif dan kerjasama pelbagai disiplin.

Sebagai pintu gerbang bagi rantau ini, muzium ini boleh menjadi pusat untuk menonjolkan reka bentuk, kraf, bahan, trend dan teknologi dari negara-negara jiran.

Untuk memperdalam kesannya, ia boleh mengambil inspirasi daripada Muzium Reka Bentuk di Denmark, yang mempunyai makmal reka bentuk moden bersebelahannya untuk aktiviti pembelajaran.

Model seperti ini mewujudkan ruang khusus membolehkan pelajar, karyawan dan orang awam bekerjasama dalam menangani cabaran dunia sebenar.

Dengan bekerjasama dengan sekolah, perniagaan dan syarikat permulaan, muzium ini boleh menganjurkan seminar, atau menjadi tempat untuk melakukan eksperimen dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), reka bentuk tekstil dan proses kreatif lain – menjadikan pengunjung sebagai pengkarya dan merapatkan reka bentuk dengan aplikasi dunia sebenar.

Ruang interaktif untuk pengunjung

Ibu kota kebudayaan seperti London, New York, dan Hong Kong memiliki muzium reka bentuk bertaraf dunia yang berfungsi sebagai pusat kreativiti, pendidikan, dan industri. 

Ia turut merangsang aktiviti ekonomi, menggalak inovasi, dan meningkatkan pengaruh bandar-bandar mereka.

Daripada menganjurkan pameran antarabangsa yang menarik pengunjung serata dunia, hingga memulakan perniagaan yang memperdagangkan idea-idea terkini, institusi-institusi sebegini memainkan peranan penting dalam ekonomi kreatif bandar masing-masing.

Muzium Reka Bentuk di London menganjurkan pameran yang meneroka keseluruhan aspek reka bentuk – daripada seni bina ke inovasi digital, hingga memikat imaginasi orang ramai dengan pameran Barbie. 

M+ di Hong Kong, walaupun pada asasnya merupakan muzium budaya visual, telah menghabiskan lebih satu dekad membina koleksi reka bentuk yang menghubungkan hasil kreatif wilayah itu dengan Asia dan dunia.

Apa yang membezakan muzium-muzium ini adalah ia melangkaui peranan sebagai galeri semata. 

Ruangnya digunakan untuk menganjur bengkel, mencetus idea dan menyatukan pereka, perniagaan, penduduk, dan pelancong – membuka peluang untuk menganjurkan dialog, eksperimen, dan kerjasama.

Muzium Reka Bentuk Singapura perlu menjadi tempat dengan tradisi dan kemahiran bergabung dengan inovasi terkini, pereka tempatan berinteraksi dengan rakan-rakan antarabangsa, dan orang ramai pula dapat memahami kesan reka bentuk dalam kehidupan seharian. 

Sebagai muzium interaktif, ia menggalakkan penemuan, penglibatan, dan eksplorasi sambil memupuk penghargaan terhadap semangat kreativiti tempatan.

Saya berharap pasukan yang mengusahakan kajian kebolehlaksanaan muzium ini, akan meneliti elemen-elemen yang telah dibincangkan secara mendalam, untuk membentuk ruang yang relevan dengan pelbagai dimensi. Namun tetap berpegang teguh kepada tujuannya untuk memperdalam pemahaman orang ramai terhadap reka bentuk yang baik, serta memacu pertumbuhan sektor reka bentuk Singapura, seperti yang dijelaskan oleh Encik Tong.

Dalam masa yang sama, pasukan itu perlu menangani cabaran rumit – seperti memastikan muzium ini kekal relevan dalam landskap reka bentuk yang sentiasa berubah.

Singapura dibina hasil reka bentuk

Sebuah Muzium Reka Bentuk akan memastikan kisah kreativiti warga kita terus dipelihara dan diraikan. 

Ini kerana Singapura sendiri dibina hasil daripada reka bentuk – menerusi perancangan, dasar, prasarana dan penyelesaian yang dirangka untuk mengubah dan memperkasa kehidupan rakyat.

Pengalaman saya mereka logo ulang tahun ke-50 Singapura (SG50) pada 2015, memberi saya gambaran jelas tentang bagaimana reka bentuk mampu mencerminkan aspirasi sesebuah negara dan semangat rakyat. 

Kini, cadangan untuk menubuhkan sebuah Muzium Reka Bentuk, mengiktiraf kreativiti dan reka bentuk sebagai elemen penting dalam membentuk jati diri serta semangat kenegaraan kita. Ia adalah langkah penting dalam perjalanan budaya Singapura, seiring dengan sambutan SG60.

Penulis ialah pengasas bersama agensi kreatif, Black, dan pereka logo SG50. Beliau pernah menerima anugerah ‘Designer of the Year’ pada 2007 menerusi Anugerah Presiden bagi Reka Bentuk, iaitu pengiktirafan tertinggi bagi para pereka tempatan.

Artikel ini pertama kali disiarkan di akhbar The Straits Times.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg