Topik diikuti
Pergi ke BHkuTangani buli secara tuntas, lindungi masa depan anak kita
Tangani buli secara tuntas, lindungi masa depan anak kita
Tangani buli secara tuntas, lindungi masa depan anak kita
Langkah Kementerian Pendidikan (MOE) melaksanakan Kajian Tindakan Menyeluruh Terhadap Buli adalah tepat pada waktunya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kes buli – secara fizikal mahupun menerusi dalam talian atau ‘cyberbullying’ – bukan sahaja menjadi perhatian di Singapura, malah menunjukkan trend membimbangkan di peringkat global.
Realitinya, landskap interaksi pelajar telah berubah.
Buli tidak lagi terbatas di kawasan sekolah, tetapi turut mencakupi ruang digital yang sentiasa aktif. Ini menjadikan kesannya lebih mendalam dan berpanjangan.
Mangsa bukan sahaja berdepan tekanan emosi, malah boleh kehilangan keyakinan diri dan rasa selamat – kesan yang, jika tidak ditangani secara tuntas, boleh meninggalkan parut sehingga usia dewasa.
Dalam konteks ini, pendekatan lebih menyeluruh oleh MOE – yang menekankan pencegahan, intervensi awal dan pemulihan – adalah langkah yang wajar.
Pelajar, antara lain, boleh dirotan dan digantung sekolah dengan semua sekolah mesti melaksanakan tindakan disiplin lebih tegas dan seragam.
Usaha memperkukuh saluran laporan, meningkatkan pendidikan nilai melalui kurikulum, dan memperkukuh kerjasama antara sekolah dengan ibu bapa mencerminkan kesedaran bahawa isu buli bukan sekadar masalah disiplin, sebaliknya cabaran sosial yang rumit.
Lebih penting, pendekatan ini mengiktiraf bahawa membentuk empati dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar adalah benteng paling berkesan dalam jangka masa panjang.
Sekolah perlu menjadi ruang selamat, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga emosi dan psikologi.
Namun, dalam memperkukuh usaha ini, dua langkah tambahan wajar dipertimbangkan.
Pertama, penubuhan kumpulan pakar berpusat di peringkat nasional.
Kumpulan ini boleh menyediakan kepakaran khusus untuk mengendalikan kes yang rumit, memastikan konsistensi dalam tindakan, selain meringankan beban guru.
Tidak semua sekolah mempunyai sumber dan pengalaman yang sama.
Justeru, sokongan berpusat boleh mengisi jurang ini.
Kedua, meningkatkan ketelusan data berkaitan kes buli.
Perkongsian statistik dan hasil tindakan secara berkala bukan sahaja meningkatkan kepercayaan awam, malah membolehkan dasar dinilai dan ditambah baik secara berterusan.
Dalam era berasaskan data, kejelasan metrik adalah kunci kepada keberkesanan.
Akhirnya, usaha membanteras buli memerlukan pendekatan menyeluruh.
Sekolah, keluarga dan masyarakat perlu bergerak seiring.
Dalam dunia yang semakin terhubung, tanggungjawab melindungi anak tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja.
Langkah MOE ini adalah asas penting.
Yang diperlukan kini ialah pelaksanaan yang tegas dan sokongan berterusan, agar setiap anak dapat membesar dalam persekitaran yang selamat, dihormati dan bermaruah.
