Dasar luar Singapura sejak sekian lama berlandaskan pada prinsip yang jelas, sifat tanggungjawab dan empati.
Dalam ucapannya di Persidangan Tahunan Institut Timur Tengah (MEI) 2025, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, menegaskan prinsip ini ketika menyentuh isu rumit mengenai pengiktirafan negara Palestin.
Beliau menjelaskan bahawa pengiktirafan tanpa asas kukuh – tanpa tadbir urus stabil, wilayah yang jelas serta keselamatan untuk rakyatnya – boleh menjadi sekadar satu langkah simbolik semata-mata, dan akhirnya merugikan perjuangan Palestin sendiri.
Namun, pada masa yang sama, beliau mengulangi sokongan Singapura terhadap rakyat Palestin dan aspirasi mereka untuk hidup bermaruah, selamat dan merdeka.
Pendekatan Singapura itu berpijak pada realiti, tetapi tetap menghulur bantuan yang bermakna.
Sejak 2013, Singapura konsisten menyokong Palestin melalui pembangunan kapasiti, bantuan kemanusiaan dan latihan.
Di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP), ramai pegawai Palestin telah diberi biasiswa dan latihan dalam bidang tadbir urus, pentadbiran awam dan pengurusan ekonomi.
Singapura juga menyalurkan sumbangan bernilai sekitar $19 juta kepada usaha bantuan kemanusiaan sejak krisis di Gaza melanda pada Oktober 2023, di samping menyokong seruan antarabangsa untuk menghentikan keganasan terhadap orang awam.
Usaha sebegini mungkin tidak sepopular pengumuman politik yang dramatik, tetapi kesannya jauh lebih mendalam.
Ia mencerminkan keyakinan Singapura bahawa keamanan berkekalan dibina melalui pendidikan, institusi yang mantap dan modal insan, bukan sekadar retorik.
Seperti ditegaskan Encik Shanmugam, setiap langkah mesti membawa perubahan nyata dalam kehidupan harian rakyat Palestin agar benar-benar bermakna.
Pendekatan ini memperlihatkan Singapura sebagai rakan yang konsisten dan boleh dipercayai.
Kita berpegang pada undang-undang antarabangsa, menyokong penyelesaian dua negara selaras dengan ketetapan PBB, sambil membantu Palestin membina keupayaan untuk masa depan kenegaraan apabila tiba waktunya.
Singapura mungkin negara kecil, namun suara kita dihormati kerana kita konsisten, rasional dan penuh rasa kemanusiaan.
Kita bukan sekadar teman di kala senang, tetapi rakan yang sanggup menghulurkan tangan pada saat getir.
Seperti yang diingatkan oleh Encik Shanmugam, empati mesti berjalan seiring dengan realisme.
Menyokong Palestin menuntut kedua-duanya: keberanian untuk menyatakan kebenaran yang sukar, serta tekad untuk terus membantu.
Isu Palestin ini adalah isu kemanusiaan, merentas bangsa dan agama.
Namun, tidak dapat dinafikan, ia lebih dekat pada hati masyarakat Islam Singapura.
Di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang meruncing di Gaza dan Palestin secara am, yang sudah berlarutan sekian lama sambil kuasa-kuasa besar dunia sekadar menyaksikan ketidakadilan yang berlaku, masyarakat Islam di Singapura menaruh harapan yang besar agar Singapura mengiktiraf negara Palestin.
Pemerintah menyedari hakikat ini, maka dalam sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 29 Julai lalu, telah menggariskan kesediaan Republik ini mengiktiraf Palestin.
Masyarakat Islam Singapura menghargai, dan sabar menunggu.
Natijahnya, cara Singapura ini membuktikan bahawa diplomasi berprinsip dan solidariti sejati boleh bergerak seiring – dan bahawa sebuah negara kecil juga mampu memberi impak besar di pentas dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg