Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanggungjawab kita utamakan keselamatan jalan raya

Penguatkuasaan saja tidak cukup tanpa kesedaran pengguna 
Sep 14, 2025 | 5:30 AM
nahas jalan raya
Dalam laporan Polis Trafik bagi tempoh separuh pertama 2025, lebih ramai telah didapati cedera atau maut akibat kemalangan jalan raya, berbanding tempoh yang sama 2024. - Foto fail

Melindungi kehidupan seharian kita daripada ditimpa musibah seharusnya menjadi keutamaan.

Namun beberapa kemalangan yang kerap berlaku di sini sejak kebelakangan ini telah menunjukkan bahawa sesetengah kita mungkin kurang peduli dalam hal keselamatan jalan raya.

Kita sering membaca di dada akhbar dan media hampir setiap hari tentang kemalangan yang bukan sahaja mengakibatkan mangsa cedera, bahkan ada yang hilang nyawa.

Perangkaan Polis Trafik (TP) baru-baru ini membuktikannya.

Perangkaan tersebut menunjukkan trend yang kurang positif, justeru ia perlu ditangani oleh semua pihak berkepentingan demi memastikan jalan raya kita selamat.

Dalam laporan bagi tempoh separuh pertama 2025 itu, lebih ramai orang telah didapati cedera atau maut akibat kemalangan jalan raya, berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Menurut TP, terdapat 78 kemalangan maut berlaku dari Januari hingga Jun, naik daripada 70 dalam separuh pertama 2024.

Daripada kemalangan tersebut, mangsa yang meninggal dunia meningkat daripada 72 kepada 79 orang.

Kemalangan yang menyebabkan kecederaan juga naik, daripada 3,437 kepada 3,740, dengan 4,860 orang cedera.

Apakah antara sebab perangkaan kemalangan ini naik?

Jawapannya jelas, bahawa pengguna gagal mengutamakan keselamatan semasa berada di jalan raya.

Dan antara kesalahan yang sering berlaku ialah memandu dengan laju.

Perangkaan TP menunjukkan kesalahan tersebut melonjak 45.5 peratus – naik daripada 81,141 kes kepada 118,076 kes.

Meskipun peningkatan itu berlaku kerana penguatkuasaan lebih ketat dan penggunaan fungsi kawalan kelajuan pada lebih banyak kamera lampu merah, ia sebenarnya membuktikan bahawa sesetengah kita mempunyai sikap memandu secara laju.

Bahayanya membawa kepada kecelakaan, bukan sahaja pada diri sendiri, bahkan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Satu lagi punca kemalangan maut ialah melintas jalan sembarangan, terutama di kalangan warga emas.

Menurut TP, kes kematian akibat kemalangan dalam kalangan warga emas melonjak 150 peratus dan merangkumi 78.9 peratus daripada kesemua kes kematian melibatkan pejalan kaki.

Dalam tempoh enam bulan pertama 2024, seramai enam pejalan kaki warga emas meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya tetapi ia meningkat kepada 15 orang dalam tempoh yang sama 2025.

Mangsa warga emas yang cedera pula meningkat daripada 92 kepada 101 orang.

Kemalangan melibatkan motosikal juga meningkat, daripada 1,907 kepada 2,088 kes.

Bahkan penunggang motosikal dan pembonceng terus merangkumi peratusan kematian jalan raya yang tertinggi daripada semua kemalangan maut, iaitu 54.4 peratus, kata TP.

Mereka sememangnya mudah terdedah kepada bahaya jalan raya kerana kurang perlindungan fizikal.

Trend kurang sihat ini sewajarnya perlu diberi lebih perhatian dan langkah lebih tegas perlu diambil supaya nyawa berharga tidak hilang begitu sahaja akibat nahas jalan raya.

Dalam hal ini, TP telah pun meningkatkan penguatkuasaannya.

Antaranya memperkenalkan kamera penguatkuasaan baru yang akan merakamkan pelanggaran teknikal seperti pusingan ‘U’ haram dan kesalahan melintasi dua garisan putih, yang boleh menyebabkan kemalangan serius.

Ia akan diuji dan diperluaskan ke serata Singapura dalam beberapa bulan akan datang.

Mulai 2026 pula, pemandu yang melanggar had kelajuan akan dihukum lebih berat, termasuk dikenakan lebih banyak mata demerit dan denda lebih tinggi.

Pemilik lori pula digesa memasang alat pengehad kelajuan dalam lori mereka menjelang akhir 2026 kerana ia dapat mengehadkan kelajuan kenderaan itu kepada 60 kilometer sejam.

Sekitar 40.5 peratus lori sudah pun memasang alat tersebut.

Hasilnya, lori yang berbuat demikian berjaya mencatatkan hampir sifar pelanggaran laju pada separuh pertama 2025, manakala lori yang belum mencatatkan pelanggaran 641 kes, naik 13.5 peratus.

Mengenai pejalan kaki warga emas pula, usaha pendidikan awam perlu dipertingkatkan.

Namun lebih penting ialah sokongan keluarga, penjaga dan rakan untuk sentiasa mengingatkan mereka tentang bahaya melintas jalan secara sembarangan.

Bagi penunggang motosikal pula, TP akan memperkenalkan perubahan standard topi keledar selaras dengan amalan antarabangsa.

Tetapi penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi.

Sebaliknya ia harus melibatkan kita semua sebagai pengguna.

Kita harus bertanggungjawab untuk memastikan jalan raya kita selamat.

Untuk itu kita perlu berdisiplin mematuhi peraturan trafik dan mempunyai sikap mengutamakan keselamatan – usah pandu laju; jangan memandu semasa mabuk atau memandu secara membahayakan; pakai tali pinggang keledar; elak memandu jika penat; dan sebagainya.

Kenderaan kita juga perlu kerap dihantar servis untuk mengurangkan kemungkinan ia rosak hingga boleh menyebabkan kemalangan.

Kita juga perlu berwaspada akan bahaya yang ‘tersembunyi’ – bahaya yang mungkin muncul secara tiba-tiba memandangkan keadaan jalan raya kita yang berbeza-beza.

Justeru mengamalkan pemanduan defensif – bukan agresif – perlu dijadikan ‘strategi’ kita di jalan raya.

Awasi kehadiran pengguna lain terutama penunggang basikal, pejalan kaki warga emas dan kanak-kanak semasa memandu.

Amalkan juga sikap bersabar, berbudi bahasa dan saling menghormati antara satu sama lain supaya kita tidak stres ketika berada di jalan raya.

Beri laluan kepada pengguna lain yang memerlukan agar keadaan lalu lintas kita berjalan lebih lancar dan teratur.

Hakikatnya jalan raya kita bukan ‘litar perlumbaan’ tetapi kemudahan mobiliti awam yang memudahkan perhubungan, maka jadikanlah ia tempat yang selamat supaya perjalanan kita di jalan raya lebih menyeronokkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg