Lebih ramai orang cedera atau maut akibat kemalangan jalan raya dalam separuh pertama 2025 berbanding tempoh sama pada 2024.
Terdapat 78 kemalangan maut dari Januari hingga Jun, naik daripada 70 dalam separuh pertama 2024.
Jumlah kematian daripada kemalangan sebegini turut naik daripada 72 kepada 79.
Bilangan kemalangan yang menyebabkan kecederaan juga naik daripada 3,437 dalam separuh pertama 2024 kepada 3,740 dalam enam bulan pertama 2025, dengan 4,860 orang cedera berbanding 4,665 orang pada tahun sebelumnya, lapor The Straits Times (ST).
Dalam laporan pertengahan tahun mereka, Polis Trafik (TP) berkata kemalangan jalan raya dan jumlah mangsa telah meningkat sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.
TP berkata mereka amat prihatin dengan peningkatan itu dan telah meningkatkan usaha penguatkuasaan.
Kamera penguatkuasaan baru, dicat dengan warna oren dan putih yang terang, akan diuji dan diperluas ke serata Singapura dalam beberapa bulan akan datang.
Kamera itu akan merakam pelanggaran teknikal seperti pusingan ‘U’ haram dan melintasi dua garisan putih, yang boleh menyebabkan kemalangan serius.
Kemalangan berpunca daripada pelanggaran lampu merah meningkat daripada 47 dalam separuh pertama 2024 kepada 65 dalam tempoh sama pada 2025.
Ini walaupun bilangan kematian akibat pelanggaran lampu merah turun sedikit daripada lima kepada empat.
Namun, jumlah pelanggaran lampu merah turun sebanyak 25.3 peratus, daripada 17,508 kepada 13,073.
Pelanggaran had laju pula melonjak sebanyak 45.5 peratus, naik daripada 81,141 pada separuh pertama 2024 kepada 118,076 kes dalam separuh pertama 2025.
TP berkata peningkatan itu berlaku kerana penguatkuasaan yang lebih ketat dan penggunaan fungsi kawalan kelajuan pada lebih banyak kamera lampu merah yang telah mengesan lebih 42,000 pelanggaran sejak April 2024.
Mulai 2026, pemandu yang melanggar had kelajuan akan dikenakan hukuman lebih berat, termasuk lebih banyak mata demerit dan denda yang lebih tinggi.
TP juga menyeru syarikat agar memasang pengehad kelajuan dalam lori mereka menjelang tarikh akhir 2026.
Alat tersebut mengehadkan kelajuan kenderaan kepada 60 kilometer sejam.
Sehingga 16 Ogos, 40.5 peratus lori telah memasang alat tersebut.
Lori dengan alat itu merekod hampir sifar pelanggaran laju pada separuh pertama 2025, manakala lori tanpa alat itu mencatat 641 kes, naik 13.5 peratus berbanding 2024.
Daripada jumlah kematian akibat kemalangan trafik dalam separuh pertama 2025, 15 melibatkan pejalan kaki warga emas, lebih tinggi berbanding enam dalam tempoh sama pada 2024.
Mangsa warga emas yang cedera akibat kemalangan juga meningkat daripada 92 kepada 101 kes.
Kira-kira 43.1 peratus kemalangan pejalan kaki warga emas berpunca daripada melintas jalan secara sembarangan.
“Walaupun TP akan teruskan pendidikan awam untuk warga emas, sokongan ahli keluarga, penjaga dan rakan penting untuk sentiasa mengingatkan mereka tentang bahaya melintas jalan secara sembarangan,” kata TP.
Jumlah kemalangan melibatkan motosikal pula meningkat kepada 2,088 kes pada separuh pertama 2025, daripada 1,907 dalam tempoh yang sama pada 2024.
Walaupun kematian gabungan penunggang dan pembonceng turun 2.3 peratus, golongan itu terus memegang peratusan kematian jalan raya tertinggi, iaitu 54.4 peratus daripada semua kemalangan maut.
TP berkata ia akan memperkenalkan perubahan standard topi keledar motosikal selaras dengan amalan antarabangsa, serta memudahkan proses pengujian dan pensijilan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg