Perdebatan terkini mengenai pilihan raya umum 2024 Indonesia sebahagian besarnya berkisar pada calon-calon presiden dan bagaimana parti-parti politik cuba mengambil kesempatan daripada kesan ‘coattail’ (kecenderungan seorang pemimpin parti politik popular menarik undi bagi calon lain dalam parti yang sama).
Sebaliknya, perbahasan di platform dasar sebahagian besarnya tiada, apatah lagi perbincangan pandangan setiap pihak mengenai dasar ehwal luar.
Menjelang Pilihan Raya Umum 2024, usaha parti-parti politik Indonesia yang terlibat dengan hubungan luar negara adalah terhad kepada contoh-contoh penolakan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) bagi pasukan bola sepak kebangsaan Israel bersaing dalam Piala Dunia U-20, dengan Indonesia akan menjadi tuan rumah, dan sokongan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) berasaskan Islam terhadap perjuangan rakyat Palestin, yang parti itu telah lantang bersuara.
Parti-parti politik di banyak tempat di dunia memainkan peranan dalam penggubalan dasar ehwal luar.
Persoalannya adalah: Mengapakah parti-parti politik Indonesia kurang memberi perhatian kepada perbahasan dasar ehwal luar?
Salah satu jawapannya mungkin adalah kurangnya minat terhadap dasar ehwal luar dalam kalangan penduduk umum.
Perbincangan mengenai hal ehwal luar hanya menarik perhatian beberapa segmen masyarakat, terutamanya penduduk bandar yang berpendidikan, walaupun beberapa isu, seperti perjuangan Palestin, menjana perhatian awam yang lebih besar.
Bagaimanapun, pemeriksaan kami ke atas parti-parti politik Indonesia dan hubungan luar negara mereka mendedahkan bahawa kecuaian dasar ehwal luar disebabkan bukan sahaja oleh kekurangan populariti, tetapi juga pragmatisme politik dan ketiadaan garis panduan dasar ehwal luar yang jelas dalam parti-parti.
Dalam tahun-tahun 1950-an, ideologi politik telah mendorong parti-parti politik Indonesia untuk secara aktif terlibat dalam penggubalan dasar ehwal luar.
Misalnya, Parti Komunis Indonesia (PKI) secara terbuka menyarankan hubungan lebih rapat dengan sama ada Soviet Union atau China, sejajar dengan ideologi parti itu.
Sementara itu, parti-parti nasionalis dan Islamis menentang PKI dengan menjalin hubungan dengan blok Barat, terutama Amerika Syarikat.
Namun, persaingan ideologi sedemikian dalam ehwal luar hampir tidak wujud dalam politik Indonesia hari ini.
Sejak 1998, ideologi politik telah memainkan peranan kecil dalam membentuk strategi pilihan raya dan objektif jangka panjang dalam politik Indonesia, terutamanya disebabkan amalan politik pelanggan dan struktur peribadi parti-parti politik.
Tambahan pula, mendapatkan kawalan ke atas sumber-sumber naungan, terutamanya belanjawan negeri, telah menjadi tumpuan utama dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia.
Politik transaksi sebahagian besarnya telah menjadi satu norma, dan bukannya kepatuhan kepada ideologi politik.
Akibatnya, ketiadaan ideologi telah mengurangkan dorongan bagi parti-parti politik untuk memainkan peranan aktif dalam penggubalan dasar ehwal luar.
Walaupun parti-parti politik kontemporari Indonesia kerap mengadakan mesyuarat dengan rakan-rakan sejawat luar negara, kebanyakan mesyuarat ini bertujuan menjalin rangkaian atau sebagai satu bentuk silaturahmi.
Misalnya, PKS kadangkala mengadakan pertemuan dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di peringkat nasional dan serantau.
Bagaimanapun, interaksi di peringkat serantau antara PKE dengan PAS terutamanya berlaku di antara cawangan-cawangan serantau yang berdekatan, seperti PKS Kepulauan Riau dan PAS Johor Bahru.
Beberapa parti politik Indonesia seperti PDI-P, Golkar (Parti Golongan Karya), Gerindra (Gerakan Indonesia Raya), dan Nasdem (Parti Nasional Demokrat) juga telah mengekalkan hubungan dengan Umno Malaysia (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu).
Pada Mei 2023, para pemimpin Golkar dan Umno bertemu dan bersetuju untuk bekerjasama dalam agenda pemerkasaan belia.
Kedua-dua parti menegaskan bahawa generasi muda memainkan peranan penting dalam mengukuhkan keuntungan pilihan raya.
Bagaimanapun, mesyuarat-mesyuarat seperti ini jarang disusuli dengan mesyuarat formal.
Secara umum, corak interaksi antara parti-parti politik Indonesia dengan rakan-rakan asing mereka menunjukkan pragmatisme dan bukannya pendekatan ideologi.
Isu seterusnya ialah ketiadaan garis panduan dasar ehwal luar yang betul.
Memorandum dan Artikel Persatuan (Anggaran Dasar dan Anggaran Rumah Tangga, atau AD/ART) parti-parti politik Indonesia jarang menggariskan aspirasi dan objektif dasar ehwal luar.
Parti-parti politik Indonesia umumnya merangkumi divisyen ehwal luar, yang menyediakan analisis dan saranan mengenai dasar ehwal luar.
Bagaimanapun, garis panduan yang tidak jelas sering menyebabkan analisis dan saranan yang dirumuskan berdasarkan kes dan bukannya produk ideologi.
Sebaliknya, struktur kuasa personalistik dalam parti politik membawa kepada penguasaan pembuatan keputusan dalaman.
Sebagai contoh, ekoran keganasan yang semakin meningkat di Gaza, pengerusi Pengerusi PDI-P, Megawati Sukarnoputi, mengarahkan setiausaha agung parti itu, Hasto Kristiyanto, untuk bertemu dengan Duta Palestin ke Indonesia, Zuhair Al-Shun, bagi menyampaikan mesej perpaduan.
Hasto juga mengulangi pendirian PDI-P dalam menyokong perjuangan Palestin untuk pembebasan.
Begitu juga, pengerusi Golkar, Airlangga Hartarto, mengutuk konflik Israel-Palestin yang berterusan. Beliau menggesa pemerintah Indonesia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Pertubuhan Kerjasama Islam untuk campur tangan dalam isu ini.
Parti-parti politik mewakili aliran ideologi politik.
Ketiadaan ideologi dalam parti-parti politik tidak menggalakkan pewujudan agenda dasar ehwal luar.
Oleh itu, sikap pragmatik strategik Indonesia terhadap dasar ehwal luar akan berterusan kerana tiada insentif sebenar untuk mengubah corak ini.
Di samping itu, pragmatisme politik menghalang dasar ehwal luar yang lebih sistematik.
Sebaliknya, ia membolehkan dasar ehwal luar yang lebih peribadi di mana hubungan luar negara bergantung kepada kepentingan dan kepintaran para pemimpin eksekutif.
Ini menyekat peranan birokrasi dasar ehwal luar kepada hanya pelaksana dan bukannya arkitek.
Satu lagi akibat ialah kurangnya pemeriksaan dan imbangan dalam pelaksanaan dasar ehwal luar.
Kurangnya perhatian terhadap dasar ehwal luar yang tidak popular tentunya memberi parti-parti politik sedikit motivasi bagi pengawasan rapi.
Bagaimanapun, parti-parti politik mungkin ghairah untuk melibatkan diri dalam ehwal luar apabila isu-isu itu menarik perhatian awam yang ketara.
Pengabaian dasar ehwal luar yang berterusan mencerminkan peranan ideologi yang semakin berkurangan dalam politik Indonesia.
Tambahan pula, seorang presiden yang tidak menentu boleh meningkatkan sikap pragmatik dan peribadi dasar ehwal luar Indonesia, dan juga meningkatkan cara sukar diramal negara itu dalam mengendalikan isu ehwal luar.
Muhamad Haripin merupakan Penyelaras Kajian Konflik, Kajian Pertahanan dan Keselamatan di Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN). Adhi Priamarizki ialah Zamil Penyelidikan dengan Program Indonesia, Institut Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). Komentar ini kali pertama dikeluarkan sebagai Kertas IDSS yang diterbitkan Institut Kajian Pertahanan dan Strategik, RSIS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg