Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pastikan pekerja S’pura sentiasa dibantu

Nov 2, 2025 | 5:30 AM
-

Pelancaran inisiatif padanan pekerjaan yang diterajui lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) merupakan usaha lanjutan pemerintah untuk terus menyokong dan membantu pekerja Singapura.

Daya usaha, Jobs Nearby@CDC, yang dilancarkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, baru-baru ini bertujuan memadankan pekerja dengan peluang pekerjaan yang terdapat di kawasan sekitar kediaman mereka.

Ia pertama kali diumumkan Encik Wong semasa Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos.

Di bawah daya usaha tersebut, setiap daerah CDC itu mempunyai platform sehenti dan bank pekerjaan sendiri yang menawarkan peluang bagi penduduk menggalas tugas dekat dengan rumah mereka.

Ini termasuk pekerjaan sepenuh masa, sambilan, dan fleksibel.

Klinik pekerjaan masyarakat juga diadakan di kawasan kejiranan itu seperti kelab masyarakat, pusat rangkaian penduduk dan kedai kopi.

Ia bertujuan menghubungkan pekerja dengan majikan secara langsung.

Dengan adanya kemudahan itu, ia memberi peluang kepada pekerja dan bakal majikan menjalankan temu duga, melengkapkan keperluan penduduk, di samping memberikan mereka keyakinan untuk mendapatkan pekerjaan yang bermakna.

CDC memang berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui inisiatif ini.

Mereka mempunyai rangkaian luas dan kukuh dengan peniaga tempatan, syarikat kecil dan sederhana (SME) serta rakan kongsi masyarakat yang lain.

Sebagai sebuah ekonomi kecil lagi terbuka, Singapura sentiasa terdedah kepada pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu, yang boleh menjejas pasaran pekerjaan.

Justeru inisiatif masyarakat ini diharap dapat membantu memenuhi keperluan pekerja dan meringankan tekanan bagi mereka yang terjejas dengan kehilangan pekerjaan.

Usaha ini juga melengkapi bantuan yang ditawarkan di peringkat nasional, maka pekerja tidak hanya harus bergantung sepenuhnya kepada kuasa pasaran untuk mencari kerja.

Pekerja hari ini mempunyai keperluan yang pelbagai.

Ada yang mempunyai keperluan khusus untuk bekerja berhampiran rumah supaya mereka dapat mengimbangi tanggungjawab kerja dengan keluarga; ada pula yang memerlukan susunan kerja lebih fleksibel.

Perniagaan di kawasan kejiranan pula kerap menghadapi cabaran untuk mendapatkan tenaga kerja kerana kurang sumber untuk merekrut mereka.

Manakala jawatan kosong mereka mungkin tidak dicatatkan dalam bank pekerjaan nasional kerana kurang kemampuan untuk berbuat demikian.

Oleh itu inisiatif padanan kerja di kawasan kejiranan ini sangat membantu.

Ia menawarkan pekerja peluang pekerjaan di semua peringkat, manakala majikan pula mudah mendapatkan sumber tenaga manusia.

Namun untuk menjayakan usaha tersebut, pekerja perlu lebih terbuka untuk menerima pekerjaan baru yang bukan pilihan mereka.

Majikan pula perlu bersedia untuk membantu pekerja menjalani latihan agar mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

Pendek kata inisiatif yang dijalankan CDC ini merupakan usaha dan komitmen lanjutan pemerintah yang berterusan untuk memastikan pekerja di Singapura sentiasa disokong dan dibantu.

Singapura sememangnya telah banyak menyediakan saluran dan pusat bantuan kepada pekerja, namun usaha terbaru ini memaparkan sokongan lebih bersepadu di semua peringkat.

Ia usaha lebih luas untuk mewujudkan pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat pelbagai peringkat usia dan kerjaya.

Bantuan sentiasa ada untuk memastikan pekerja kita tidak dibiarkan sendirian dalam mengharungi cabaran landskap pekerjaan hari ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg