Apabila saya mengenang zaman kanak-kanak, wajah rakan yang bermain bersama di kolong blok dan taman permainan masih jelas dalam ingatan.
Kami sering mengejar satu sama lain, bermain sembunyi-sembunyi sehingga matahari mula terbenam, atau sekadar berlari tanpa tujuan semata-mata kerana ia menyeronokkan.
Tanpa telefon bijak, Internet atau media sosial, kami belajar bersaing, bekerjasama dan mencipta kenangan yang kekal.
Malah, persahabatan terbina bukan melalui ‘like atau komen, tetapi melalui tawa yang dikongsi dan peluh yang bercucuran.
Hari ini, kanak-kanak dibesarkan dalam dunia yang sangat berbeza. Media sosial, permainan dalam talian dan pelbagai wadah digital menawarkan peluang luas untuk belajar dan berhubung.
Tidak dapat dinafikan, teknologi membuka pintu kepada ilmu dan kemahiran baru yang generasi dahulu tidak mungkin capai dengan mudah.
Namun, sebagai seorang wartawan, saya turut melihat sisi gelap dunia digital.
Pengalaman saya melaporkan kes bahaya dalam talian, daripada buli siber kepada gangguan seksual, serta doxxing, iaitu menyiarkan maklumat peribadi seseorang dengan niat mengganggu atau mengugut, menunjukkan bahawa dunia digital juga membawa risiko nyata terhadap kesejahteraan mental dan keselamatan generasi muda.
Ada pelajar sekolah rendah yang trauma kerana identiti mereka terdedah, dan ada remaja yang murung akibat menerima komen jahat berulang kali.
Inilah realiti pedang bermata dua teknologi dalam talian.
Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan 2025 pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menekankan potensi bahaya daripada penggunaan teknologi secara berlebihan, serta komitmen pemerintah untuk memberi sokongan kepada ibu bapa dalam membimbing anak-anak mereka mengemudi dunia digital.
Namun begitu, beliau juga menegaskan bahawa teknologi itu penting, dan perhatian terhadap keseimbangan digital adalah kunci.
Meskipun saya belum lagi berumah tangga dan mempunyai anak sendiri, saya dapat melihat bagaimana rakan-rakan saya berdepan cabaran ini.
Ada yang terpaksa mengehadkan penggunaan peranti digital anak mereka dengan menetapkan jadual yang ketat, sementara ada juga yang terkial-kial untuk memahami aplikasi yang digunakan mereka.
Kadangkala, rakan-rakan saya berkongsi rasa bimbang mereka apabila anak masing-masing lebih selesa menghabiskan masa di hadapan skrin berbanding bermain di luar rumah.
Sebagai seorang anak milenial, saya berpeluang membesar sebelum Internet menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
Masa yang diluangkan dengan rakan di luar bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga membawa kepada minat saya terhadap fotografi dan muzik.
Saya masih ingat mempelajari menggunakan kamera untuk merakam detik-detik manis, serta menghabiskan masa menyanyi dan bermain gitar di tepi pantai sambil menghayati udara segar.
Semua itu melatih saya untuk menghargai kreativiti dan ekspresi diri, walaupun tanpa bantuan teknologi moden.
Lebih daripada itu, saya percaya masa yang dihabiskan di luar rumah membentuk kemahiran sosial dan daya tahan yang sukar digantikan dengan interaksi dalam talian.
Apabila bergaduh dengan rakan, kami belajar untuk berbaik semula. Apabila kalah dalam permainan, kami belajar menerima kekalahan dengan hati terbuka.
Nilai-nilai itu sebahagian besarnya datang daripada pengalaman nyata, bukan daripada skrin.
Kini, saya menyedari bahawa pengalaman itu bukan sekadar nostalgia. Ia mengajar kita nilai sebenar hubungan manusia, empati, serta kepentingan mengimbangi dunia nyata dengan dunia dalam talian.
Seiring generasi baru membesar di tengah ledakan teknologi, kita semua, termasuk ibu bapa, guru, dan masyarakat, perlu membantu mereka mengekalkan keseimbangan.
Saya percaya bahawa menghidupkan semula nilai permainan luar dan interaksi nyata boleh menjadi panduan untuk membesarkan generasi yang lebih berdaya tahan, kreatif dan berempati, walaupun dalam dunia digital yang serba canggih ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg