Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

WACANA

Pelbagai pilihan bagi warga emas manfaat aset rumah demi keperluan persaraan

Flat HDB sahaja bukan berfungsi sebagai rumah bagi keluarga mereka, bahkan sebagai aset dan simpanan nilai yang baik
Dec 02, 2020 | 05:30 AM



SATU keprihatinan utama warga emas kita ialah apakah mereka boleh bersara dengan selesa.



Sebilangan besar warga emas mempunyai anak tetapi tidak mahu terlalu bergantung pada mereka, terutama di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.



Selama bertahun-tahun, pemerintah telah menerapkan pelbagai langkah sokongan bagi warga emas, seperti Pakej Generasi Perintis dan Generasi Merdeka, serta Skim Ihsan Senja.



Satu lagi tunggak penting dalam sistem perlindungan sosial kita, yang kadangkala kurang disedari, ialah pemilikan rumah.



Kadar pemilikan rumah sebanyak 90 peratus di Singapura adalah antara yang tertinggi di dunia. Ini bermakna kebanyakan warga emas kita memiliki flat mereka dan tidak perlu membayar sewa.



Ini tidak seperti ramai pesara di negara lain, yang terpaksa membayar sewa setiap bulan atau berisiko kehilangan tempat berlindung.



Bagi warga emas kita, flat HDB mereka bukan berfungsi sebagai rumah bagi keluarga mereka sahaja, bahkan sebagai aset dan simpanan nilai yang baik.



Ada warga emas telah membuat keputusan memanfaatkan nilai flat mereka untuk melengkapi keperluan persaraan mereka.



Hari ini, terdapat pelbagai pilihan bagi warga emas memperoleh wang daripada flat mereka, bergantung pada keutamaan dan keperluan persaraan mereka.



Pilihan pertama yang terlintas di fikiran kebanyakan orang ialah menyewakan bilik tidur atau seluruh flat mereka dan tinggal bersama anak-anak mereka.



Ini memberi warga emas aliran pendapatan sewa berterusan untuk menampung keperluan persaraan mereka.



Bagaimanapun, sedang ada warga emas senang dengan kehadiran orang lain di rumah mereka, ada pula mungkin tidak selesa mempunyai orang tidak dikenali di rumah mereka atau mungkin tidak mahu tinggal bersama anak-anak mereka.



Untuk warga emas seperti itu, pilihan popular adalah untuk menjual flat mereka dan berpindah ke flat lebih kecil. Ini pilihan baik bagi mereka yang terbuka berpindah ke persekitaran baru.



Ramai warga emas juga mendapati lebih mudah mengemas flat lebih kecil!



Warga emas yang membuat pilihan ini boleh juga memohon Bonus Perumahan Warga Emas (SHB).



Mereka layak menerima SHB jika mereka menokok Akaun Persaraan (RA) CPF mereka dengan sebahagian daripada hasil penjualan flat mereka untuk berpindah ke flat lebih kecil.



Sejak Mac tahun ini, kami telah mempertingkat SHB, dengan perubahan utamanya menaikkan maksimum SHB daripada $20,000 kepada $30,000 untuk warga emas yang berpindah ke flat tiga bilik atau lebih kecil.



Bagi warga emas yang ingin terus tinggal di flat mereka sekarang, mereka boleh memohon Skim Beli Balik Pajakan (LBS).



Di bawah LBS, warga emas mengekalkan pajakan yang secukupnya agar flat tersebut dapat bertahan hingga mereka mencapai usia sekurang-kurangnya 95 tahun, dan menjual kembali baki pajakan kepada HDB.



Mereka harus menokok sebahagian daripada hasil penjualan pajakan flat tersebut ke RA CPF mereka dan menyertai skim CPF LIFE untuk menikmati pembayaran bulanan seumur hidup.



Kami telah meningkatkan lagi LBS pada Mac tahun ini, membolehkan warga emas menikmati maksimum bonus tunai LBS yang lebih tinggi, iaitu $30,000 untuk flat tiga bilik atau lebih kecil; $15,000 (empat bilik); atau $7,500 (lima bilik atau lebih besar).



Sebelum ini, bonusnya ialah $20,000, $10,000 atau $5,000.



Komitmen pemerintah ialah kami akan terus memberi jaminan lebih besar kepada warga emas dalam persaraan, dengan memastikan bahawa mereka akan terus memiliki pelbagai pilihan untuk memanfaatkan nilai rumah, jika diperlukan.



  • Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).


Komitmen pemerintah ialah kami akan terus memberi jaminan lebih besar kepada warga emas dalam persaraan, dengan memastikan bahawa mereka akan terus memiliki pelbagai pilihan untuk memanfaatkan nilai rumah, jika diperlukan.
- Penulis.




Rencana pelbagai topik perumahan MND dengan kerjasama BH



WACANA ini sebahagian daripada siri rencana hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Berita Harian yang membincangkan pelbagai topik berkenaan perumahan dan dasar lain di bawah naungan MND.



Siri rencana ini, yang memaparkan artikel tulisan Menteri Negara (Pembangunan Negara) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, mengupas pelbagai topik, daripada pemilikan rumah dan perumahan sewa kepada usaha menghijau Singapura.



Rencana ini akan disiarkan setiap Rabu, dan berlangsung sepanjang lima minggu.



Rencana kedua ini menyentuh tentang pelbagai pilihan bagi warga emas memanfaatkan aset perumahan mereka bagi memenuhi keperluan persaraan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >