Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Penjagaan diberi... selagi hayat dikandung badan

Jul 30, 2023 | 05:30 AM



Apabila arwah ayah saya disahkan menghidap penyakit barah lebih 20 tahun lalu, penjagaan paliatif tidak begitu popular.

Bahkan, istilah itu jarang digunakan mahupun disebut oleh pasukan doktor di hospital. 

Manakan tidak, penjagaan paliatif baru hendak berkembang di Singapura sekitar 1990-an sahaja.

Namun 20 tahun kemudian senarionya agak berbeza.

Kini, perkhidmatan penjagaan paliatif semakin lazim dan menjadi pilihan banyak keluarga yang kekalutan dalam menguruskan orang tersayang yang sakit dan menghitung hari. 

Ini saya alami sendiri apabila ibu saya mengalami barah usus tahap lanjut, dua tahun lalu. 

Sejurus selepas menerima diagnosis dan dibenarkan pulang ke rumah dari hospital, pihak hospital terus menawarkan khidmat hospis dan penjagaan paliatif.

Pasukan jururawat dan doktor dari Persatuan Barah Singapura datang ke rumah dan membuat pemeriksaan sekitar setiap tiga minggu manakala janji temu dengan doktor paliatif dijadualkan di hospital setiap beberapa bulan – memandangkan ibu saya masih boleh bergerak.

Pengalaman berurusan dengan pasukan perubatan ini selama kurang setahun sebelum ibu berpergian, sejujurnya, amat membantu. 

Bukannya kami memerlukan bantuan dari segi fizikal, mahupun perubatan yang banyak sebab ibu saya tidak dalam kesakitan yang parah dan tidak sakit terlantar.

Tetapi keprihatinan pasukan itu, kesediaan memberi bantuan tidak kira waktu dan nasihat bagi memastikan keselesaan mutlak si pesakit memang berharga bagi kami yang menguruskan dan menjaga ibu, yang penyakitnya itu tiada penawarnya dan mempunyai garis masa. 

Hakikatnya, mati itu pasti.

Bagaimanapun, realitinya juga, tidak ramai yang mahu memperkatakan dan membincangkan hal kematian secara terbuka.

Ini apatah lagi bagi mereka yang menghidapi penyakit yang membawa maut serta anggota keluarga mereka. 

Lantaran itu, isu perihal penjagaan paliatif – iaitu penjagaan khusus bagi mereka yang mempunyai penyakit membawa maut dan menyebabkan jangka hayat seseorang terbatas – bukanlah satu topik yang popular dalam kalangan masyarakat kita, terutama dalam masyarakat Asia. 

Namun ekoran penduduk menua di Singapura, kepesatan teknologi berkaitan kesihatan dan pendedahan lebih luas berhubung penjagaan tempoh kehidupan terakhir pesakit, penjagaan paliatif semakin mendapat perhatian dan permintaan. 

Menurut perangkaan, jumlah mereka yang menerima penjagaan paliatif masyarakat atau juga dirujuk sebagai penjagaan hospis, telah meningkat sebanyak 30 peratus sejak lima tahun lalu, dengan sekitar 8,800 yang berpenyakit membawa maut menerima penjagaan sedemikian pada 2022. 

Singapura telah melangkah jauh dalam perjalanan ini. 

Sokongan hospis pertama kali dimulakan di sini sekitar 1985, apabila sekumpulan biarawati di Rumah Tumpangan St Joseph memperuntukkan16 katil untuk menjaga pesakit yang sakit tenat. 

Pencapaian penting dalam usaha menggerakkan penjagaan paliatif berlaku dalam era 1990-an, apabila Majlis Hospis Singapura ditubuhkan. Ia kini berperanan sebagai badan utama yang mewakili semua pertubuhan yang menyediakan penjagaan hospis dan paliatif di Singapura. 

Menyusul itu, Hospital Tan Tock Seng membentuk Jabatan Geriatrik manakala Pusat Barah Nasional. apabila dibuka sekitar 1999, menubuhkan Jabatan Perubatan Paliatif. Sejak itu, khidmat penjagaan paliatif ditubuhkan di semua hospital penjagaan akut pemerintah. 

Terkini, pemerintah telah melancarkan Strategi Nasional bagi Penjagaan Paliatif (NSPC) 2023, yang menggariskan cadangan untuk mengembangkan dan memperbaiki penjagaan paliatif di Singapura.

Bagi menyokong lebih ramai keluarga yang memerlukan khidmat ini pula, sokongan kewangan bagi penjagaan paliatif pula akan dipertingkat mulai 2024, termasuk meningkatkan subsidi untuk penjagaan paliatif dan melaraskan had tuntutan MediShield Hayat bagi penjagaan paliatif pesakit di hospital.

Perkembangan terkini, khususnya sokongan kewangan, akan memberi banyak kelegaan dan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan kewangan yang ditanggung ramai keluarga. 

Bukan itu sahaja, saya anggap ini satu langkah dalam kita mencapai matlamat untuk membentuk masyarakat Singapura yang peduli dan saling menyokong satu sama lain iaitu antara nilai sosial negara ini. 

Sebagai ‘mantan’ penjaga pesakit, tiada yang lebih bermakna daripada skim dan bantuan untuk meredakan kos perubatan dan penjagaan orang-orang tersayang yang diulit kesakitan. 

Pada masa sama, sementara banyak perubahan berhubung penjagaan paliatif disaksikan sekarang, diharapkan usaha pemerintah akan berterusan.

Bukan sahaja dari segi sokongan kepada si pesakit tetapi juga penjaga mereka, yang berdepan dengan pelbagai tekanan dan memikul banyak tanggungan. 

Mudah-mudahan, kita sebagai satu masyarakat dapat sama-sama menghulurkan sokongan dan bantuan yang termampu kepada rakan-rakan senegara yang memerlukan ini. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >