Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Percutian beri cerminan sebuah dunia inklusif

Jul 02, 2023 | 05:30 AM



Sebagai bapa seorang anak autisme, konsep inklusif adalah sesuatu yang kerap mendominasi pemikiran saya.

Ini kerana, hanya dengan dunia yang bersikap inklusif, didorong sifat ihsan, golongan berkeperluan khas seperti anak saya – Aydan, yang berusia 12 tahun – dapat menjalani kehidupan yang benar-benar bermakna.

Di Singapura, sikap inklusif semakin mekar sejak Aydan mula-mula mendapat diagnosis autisme hampir 10 tahun lalu.

Tidak dapat dinafikan masyarakat semakin sedar dan prihatin bahawa terdapat insan-insan di sekeliling yang “berbeza daripada kita”, namun ini tidak menjadikan mereka “kurang” daripada kita.

Pastinya keadaannya 10 tahun lalu bagi seorang anak autisme jauh beza daripada keadaannya sekarang.

Ini tidak bermakna segalanya telah mencapai tahap yang ideal.

Ini kerana Aydan masih menerima layanan berbeza gara-gara tingkah lakunya yang ganjil dan aneh – seperti berbual sendiri, membawa anak patungnya ‘Pocoyo’ ke mana-mana dan melambai-lambai tangannya – lebih-lebih lagi apabila beliau dalam keadaan stres.

Kurang penerimaan sedemikian berupaya memaksa sesetengah kekeluarga mengurangkan peluang dan pendedahan bagi anak istimewa mereka, selain menambahkan tekanan kepada para penjaga golongan sedemikian.

Justeru, meskipun gembira mengenai kemajuan yang dicapai sepanjang sedekad lalu itu, jiwa ini tidak dapat lari daripada perasaan – apakah kemajuan ini terlalu perlahan? Dan apakah kemajuan tersebut turut mencerminkan keadaannya di ‘dunia, di luar sana’?

Namun, saya dan isteri saya menerima keadaan ini dengan hati terbuka. Inilah ujian bagi kami dan anak kami, dan bersama-sama sebagai sebuah keluarga – dengan sokongan masyarakat yang semakin memahami – kami akan mengatasinya bersama pada masa depan.

Percutian saya bersama keluarga saya ke London baru-baru ini pula memberi satu gambaran masa depan tersebut.

Malah, selain di kota London, pengalaman semasa menaiki pesawat dan semasa kami di lapangan terbang sementara menunggu untuk menukar pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, juga memberikan saya keyakinan kepada bahawa sebuah dunia yang benar-benar inklusif itu boleh menjadi satu realiti.

Kakitangan di lapangan terbang dan pramugari di pesawat yang bertemu Aydan cuba berbual dan berinteraksi bersamanya.

Mereka prihatin untuk bercakap dengan cara yang mudah difahami dan sabar untuk mendapatkan jawapan daripadanya.

Kelakuannya yang kadangkala melompat-lompat apabila risau, resah atau teruja, contohnya semasa beratur menunggu pasport diperiksa sebelum menaiki pesawat, tidak dibalas dengan tenungan dan teguran, tetapi senyuman dan kata-kata galakan.

Di kota London juga saya tersentuh oleh layanan yang diberikan kepada Aydan, tidak kiralah sama ada semasa menaiki kereta api, di tempat tarikan pelancong dan di kedai-kedai.

Paling ketara ialah semasa kami di taman permainan – salah satu aktiviti utama semasa percutian kami di London.

Meskipun sudah berusia 12 tahun dan ketinggiannya mencapai sekitar 1.6 meter, kanak-kanak serta golongan dewasa di taman-taman permainan yang kami kunjungi menerima Aydan dengan tangan terbuka.

Ramai yang bertegur sapa dan memberinya laluan serta galakan apabila beliau teragak-agak untuk mencuba permainan yang baru. Lantas, dalam suasana sedemikian, beliau benar-benar gembira bermain di tengah-tengah lautan kanak-kanak yang jauh lebih kecil daripada dirinya.

Kami keluarga juga tidak rasa tertekan atau risau – sesuatu yang kerap kami rasakan setiap kali ke taman riadah atau permainan di Singapura.

Keluarga dengan anak-anak kecil pasti memahami bahawa melancong bersama anak-anak adalah satu pengalaman yang seronok, namun boleh mendatangkan stres.

Selain Aydan, kami mempunyai dua lagi cahaya mata berusia lapan dan tiga tahun.

Sebahagian besar rancangan percutian kami, bagaimanapun, berkisar pada keperluan Aydan – iaitu memastikan perjalanan menaiki pesawat dan pengangkutan lain tidak terlalu meletakkan tekanan kepadanya, program harian juga memberi peluang baginya berehat bagi menenangkan dirinya dan kami perlu mempersiapkan beliau secara rapi mengenai tempat-tempat yang akan kami kunjungi.

Meskipun demikian, amat mencabar untuk meramalkan sepenuhnya reaksi seorang anak autisme kepada sekitarannya.

Aydan mempunyai keupayaan berkomunikasi yang terhad.

Justeru, sukar untuk mengetahui apa yang tidak kena dengan dirinya.

Semasa kami di kedai buku tertua di London, Hatchards, beliau, yang sebelum itu tenang, tiba-tiba resah dan gelisah.

Gelora perasaannya tidak dapat beliau kawal, sehingga dia terpekik-pekik dan melompat-lompat.

Saya kemudian membawanya keluar dari kedai tersebut, sambil cuba menggunakan teknik-teknik yang saya sering amalkan untuk menenangkan beliau.

Beberapa pelanggan kedai tersebut, yang keluar setelah selesai berbelanja, menyapa Aydan atau memberikannya senyuman apabila mereka lihat beliau sudah mula tenang semula.

Percutian 10 hari kami sekeluarga itu tidak boleh dikatakan bebas stres. Beberapa kali rancangan kami perlu disesuaikan atau diubah pada saat-saat akhir mengikut ‘mood’ anak kami itu.

Namun, apa yang penting bagi saya ialah ia memberi gambaran kepada sebuah dunia inklusif, yang memahami ada insan di sekeliling kita yang memerlukan sokongan tambahan, pemahaman dan penerimaan.

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >