Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Perjalanan penuaan aktif harus bermula sejak muda

Sep 24, 2023 | 05:30 AM



TEO YIK YING

Perangkaan tentang masalah kegemukan dan penyakit kronik memberi gambaran yang membimbangkan.

Menurut tinjauan kesihatan negara, kita sedang melihat bilangan kanak-kanak dan remaja gemuk yang lebih bertambah hari ini berbanding enam tahun lalu.

Terdapat juga peningkatan dalam bilangan golongan muda yang menghidap kencing manis, penyakit jantung dan barah.

Ini adalah petanda amaran bahawa belia kita mula mengumpul faktor risiko gaya hidup lebih awal dalam kehidupan.

Jika dibiarkan, akhirnya ia akan mencetuskan masalah kesihatan dan penyakit kronik di peringkat seterusnya.

Inilah sebabnya saya percaya kita perlu mentakrifkan semula frasa “penuaan aktif”.

Memupuk tingkah laku dalam memburu tahap kesihatan yang baik harus bermula dari muda.

Penuaan adalah proses yang berlaku secara berterusan sepanjang hayat seseorang.

Malah perkataan “aktif” perlu diperluaskan kepada maksud “diaktifkan”.

Atasi punca

Tema meniti hari tua dengan baik dipapar secara jelas dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan, Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, apabila beliau memperkenalkan program, Sihat Menua SG.

Ia menekankan pentingnya mengekalkan rangkaian sosial yang bertenaga dan gaya hidup aktif untuk menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan warga emas.

Kita juga mempunyai program, SG Lebih Sihat, yang dilancarkan pada Julai untuk mendaftarkan penduduk berumur 40 tahun ke atas dengan doktor keluarga mereka.

Dengan itu, mereka dapat menguruskan kesihatan mereka dengan lebih baik melalui pelan kesihatan secara khusus untuk seseorang individu.

Buat kali pertama, ia secara rasmi merangkumi preskripsi sosial pada skala nasional.

Preskripsi sosial berbeza daripada preskripsi perubatan konvensional.

Ia tidak sahaja melibatkan ubat-ubatan untuk menangani gejala penyakit, malah turut melibatkan doktor atau pengamal kesihatan bersekutu.

Kumpulan karwayan inilah yang merujuk pesakit kepada program berasaskan masyarakat bagi bertujuan menangani punca penyakit secara menyeluruh.

Punca penyakit berpunca daripada interaksi rumit melibatkan faktor biologi, psikologi dan sosiopersekitaran.

Faktor biopsikososial itu termasuk usaha ke arah kesihatan dan gaya hidup yang baik.

Ia termasuk tabiat pemakanan, kegiatan fizikal, isu rokok, serta kecenderungan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi.

Di samping itu, ia turut meliputi kestabilan kewangan seseorang dan hubungan individu dengan keluarga, rakan dan rakan sekerja.

Masalah kesihatan berlaku apabila satu atau lebih faktor itu menjadi tidak keruan bagi tempoh yang berpanjangan.

Dengan itu, secara fizikal, badan tidak lagi boleh bertolak ansur dengan pengabaian yang berterusan dan mula terjejas.

Sebagai contoh, tabiat gaya hidup yang buruk dari segi pemakanan, kegiatan fizikal, merokok, pengambilan alkohol atau tidur, apabila terkumpul selama beberapa dekad, sering mengakibatkan keadaan kronik seperti kencing manis, penyakit berkaitan jantung, pembuluh darah dan barah.

Atas sebab-sebab itu, dalam menangani gaya hidup untuk menggalakkan penuaan sihat dan aktif, saya sebenarnya percaya kita harus menyasarkan golongan muda seawal mungkin.

Ini bukan sahaja untuk menerapkan gaya hidup sihat, bahkan untuk mengurangkan deretan tabiat buruk.

Untuk menjadi benar-benar berkesan, tabiat gaya hidup sihat perlu bermula lebih awal, dan bukan apabila dewasa.

Pengaruh industri
terhadap pengetahuan kesihatan

Penuaan aktif bukan sahaja bermaksud warga emas yang aktif secara fizikal dan mental.

Sebaliknya, penduduk merentasi semua peringkat umur yang cukup sedar pentingnya mengekalkan dan meningkatkan tahap kesihatan mereka, dan secara aktif menimba ilmu untuk berbuat demikian.

Malangnya, ini lebih mudah dinyatakan daripada dilakukan.

Golongan muda dan dewasa kini sentiasa dihujani dengan mesej yang mengelirukan di media sosial.

Dalam satu kajian etnografi mengenai pemasaran makanan digital oleh rakan sekerja saya, Dr Salome Rebello, kami memerhatikan bagaimana golongan remaja masa kini secara aktif bergantung pada media sosial untuk menemui pengalaman dan promosi baru.

Syarikat makanan menjana dan mengeksploitasi pemasaran digital untuk mencipta trend mikro yang dipopularkan di wadah seperti Instagram dan TikTok.

Ia membolehkan jenama makanan mereka mencapai jangkauan yang jauh lebih luas dalam masa lebih singkat, berbanding iklan tradisional.

Ekosistem pemasaran digital bukan sahaja dieksploitasi oleh syarikat makanan, malah industri tembakau.

Mereka mempromosikan inovasi dan perisa rokok elektronik (e-rokok) terkini, dan industri makanan tambahan membuat tuntutan yang tidak wajar atau dibesar-besarkan mengenai manfaat produk mereka.

Dalam melahirkan penduduk yang mempunyai pengetahuan dan sikap yang betul mengenai kesihatan, kita tidak boleh memandang rendah kesan pemasaran digital dan maklumat salah dalam talian terhadap kecelikan kesihatan yang berat sebelah.

Di sebalik kuasa luaran yang mengalihkan perhatian kita daripada matlamat gaya hidup sihat, terdapat keperluan untuk mengenali rintangan dari dalam.

Amalan jadi kunci

Dalam sains kemasyarakat kesihatan awam, kita sering bercakap tentang konsep Pengetahuan-Sikap-Amalan atau KAP.

Tidak cukup dengan mengetahui apakah tingkah laku ke arah mencapai tahap kesihatan yang lebih baik (ilmu pengetahuan), jika seseorang itu tidak secara intrinsik mempercayainya (sikap), dan bertindak berdasarkan pengetahuan itu (amalan).

Dalam tugas saya, saya telah temui individu yang dengan bangganya mengisytiharkan bahawa memakan ubat untuk mengekalkan tekanan darah dan paras gula dalam darah adalah jauh lebih mudah daripada melalui “penyeksaan” senaman secara kerap dan pemakanan berdisiplin.

Terdapat juga rakan-rakan pertengahan umur yang meratapi bentuk badan mereka yang semakin tua dan melebar.

Mereka cepat menyalahkan metabolisme yang semakin perlahan, daripada mengakui gaya hidup mereka pada asasnya telah menjadi lebih tidak aktif, tertekan sedang usia mereka meningkat.

Bagaimana pula dengan mereka yang telah mendaftar dengan program seperti Cabaran Langkah Kebangsaan atau LumiHealth?

Secara umum, saya memerhatikan tiga jenis orang dalam penduduk, yang akan saya gambarkan dengan contoh Cabaran Langkah Kebangsaan.

Kumpulan pertama mengamalkan gaya hidup meningkatkan tahap kesihatan, malah punya daya usaha untuk mengetahui cara baru untuk meningkatkan kesihatan mereka.

Mereka ini adalah golongan yang tetap akan bersenam, dengan atau tanpa Cabaran Langkah Kebangsaan.

Mereka mempunyai ketiga-tiga elemen KAP.

Kumpulan kedua biasanya tahu apa yang baik untuk mereka, tetapi memerlukan jumlah insentif yang betul untuk mendorong mereka agar benar-benar mengamalkan tingkah laku yang disyorkan.

Ini mungkin datang dalam bentuk memanfaatkan insentif kewangan dalam Cabaran Langkah Kebangsaan, atau sekadar merupakan sokongan dan galakan daripada keluarga, rakan dan rakan sekerja.

Tetapi terdapat keperluan untuk suntikan berterusan jumlah motivasi yang tepat untuk mengekalkan semangat kumpulan ini.

Apabila insentif berhenti atau terlalu sedikit, mereka kembali kepada tingkah laku asal yang tidak aktif.

Kumpulan ketiga pula tidak akan bersenam, tidak kira berapa banyak insentif dan pengetahuan yang diberikan kepada mereka.

Punca sikap tidak aktif itu biasanya adalah ekoran tidak peduli atau megah diri.

Namun, ada juga mereka yang menghadapi keadaan yang tidak membolehkan mereka untuk bersenam.

Adalah penting untuk menyedari bahawa mana-mana program kebangsaan seperti SG Lebih Sihat atau Cabaran Langkah Kebangsaan akan menghadapi cabaran berbeza daripada ketiga-tiga kumpulan dalam masyarakat ini.

Itulah sebabnya kejayaan sesebuah program itu bergantung kepada keupayaan kita untuk menggunakan pelbagai instrumen dasar: daripada pendidikan dan komunikasi untuk meningkatkan pengetahuan, kepada insentif kewangan.

Ia turut melibatkan tempat tugas untuk mendorong sikap yang betul, dan kepada mengawal selia.

Di samping itu, perlunya usaha mengubah suai persekitaran bagi memupuk amalan baik walaupun dalam kalangan mereka yang tidak patuh.

Kita hanya perlu melihat langkah yang diambil Singapura dalam memerangi Covid-19 untuk menyedari bahawa kita memerlukan pelbagai taktik untuk menggerakkan ketiga-tiga kumpulan itu.

Ini sama sedang kita menangani punca penyakit, bukan mengatur penduduk mengikut umur tetapi lebih kepada kecenderungan mereka untuk diaktifkan.

Mulakan langkah penuaan
dengan betul

Sedang kumpulan di mana seseorang itu tergolong rata-rata tidak berubah dari masa ke masa, orang ramai boleh beralih antara kumpulan berbeza mengikut keadaan peribadi mereka – seperti tahap kesihatan, kekayaan atau jumlah masa luang yang mereka ada – berubah.

Malangnya, perkara yang mendorong kebanyakan orang dalam kumpulan kedua dan ketiga untuk membuat peralihan menyertai kumpulan pertama ialah apabila krisis kesihatan besar melanda.

Mereka mungkin menyaksikan rakan sebaya bergelut dengan penyakit.

Golongan belia dan golongan muda khususnya cenderung bersikap acuh tidak acuh.

Mereka lebih mengutamakan langkah untuk menjadi kekaya berbanding meningkatkat tahap kesihatan.

Tanpa mereka sedari, gaya hidup pilihan mereka sebenarnya mungkin menambah faktor risiko yang boleh menjejas kesihatan.

Adakah kita menunggu sehingga kita menjalani pemeriksaan pada usia 60 tahun untuk menyedari penglihatan dan pendengaran kita telah merosot, dan keadaan gigi kita tidak lagi membenarkan kita menikmati makanan yang kita suka?

Adakah kita menunggu sehingga kita mengalami sakit kepala, ketidakselesaan yang berterusan sebelum kita membuat pemeriksaan kesihatan kita hanya untuk menyedari bahawa kita mempunyai pembuluh darah yang tersumbat, organ yang rosak, atau paras gula darah tinggi?

Atau adakah kita menyedari bahawa punca masalah kesihatan itu sebenarnya adalah pengabaian dalam menjaga kesihatan selama berdekad-dekad,

Bukankah membentuk amalan gaya hidup sihat pada awal kehidupan sebenarnya adalah asas kepada penuaan aktif?

Itulah sebabnya saya percaya perjalanan ke penuaan aktif mesti bermula dari muda.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >