Perkukuh benteng ekon, sosial hadapi tempias krisis Iran-AS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkukuh benteng ekon, sosial hadapi tempias krisis Iran-AS

Mar 8, 2026 | 5:30 AM

Perkukuh benteng ekon, sosial hadapi tempias krisis Iran-AS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Lidah pengarang
Lidah pengarang - Foto BH

Serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, yang disusuli serangan tindak balas Iran ke atas negara Teluk, mencetus gelombang kejutan di seluruh dunia.

Meskipun konflik yang meruncing itu berlaku jauh dari Singapura, kesannya juga dirasakan, sedang negara ini mempunyai hubungan rapat dengan rantau tersebut.

Ramai warga Singapura termasuk jemaah umrah terjejas apabila penerbangan masuk dan keluar Timur Tengah dibatalkan, manakala ada juga yang risau tentang ahli keluarga yang bermastautin di negara seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, yang turut terkena serangan tindak balas Iran.

Sedang Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Washington akan terus menyerang Iran “selama mana yang diperlukan”, konflik tersebut berpotensi berlarutan dan memberi kesan besar kepada ekonomi global.

Sebagai sebuah negara yang kecil dan terbuka, Singapura harus peka terhadap dua implikasi besar: ancaman terhadap keselamatan fizikal, terutamanya tenaga, serta ancaman terhadap fabrik sosial, yang turut membimbangkan.

Dunia sudah mula melihat kesannya dengan lonjakan harga tenaga apabila konflik tersebut menghentikan kegiatan eksport dari rantau Teluk yang kaya minyak dan gas.

Seorang pegawai kanan Pengawal Revolusi Iran pada 2 Mac mengumumkan penutupan Selat Hormuz – laluan yang lazim mengendalikan satu perlima bekalan minyak dunia serta jumlah gas yang besar.

Pada 3 Mac, Encik Trump cuba meredakan keadaan, dan berkata Amerika akan menyediakan insurans dan jaminan untuk syarikat perkapalan dan, jika perlu, tentera laut akan mengiringi kapal tangki minyak di Teluk, walaupun perincian rancangan itu masih tidak jelas.

Di Singapura, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 2 Mac berkata konflik berlarutan di Timur Tengah boleh menyebabkan perniagaan dan pengguna di sini menanggung harga barangan lebih tinggi.

Warga Singapura perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan ini, antaranya dengan menjimatkan penggunaan tenaga, berhemah dalam berbelanja dan mengetepikan simpanan secukupnya.

Satu lagi yang menjadi keprihatinan daripada konflik tersebut adalah ancaman terhadap fabrik sosial.

Sejarah menunjukkan peristiwa antarabangsa boleh digunakan untuk menanam benih perpecahan, menimbulkan prasangka, dan melemahkan kepercayaan antara masyarakat.

Keharmonian perkauman dan keagamaan yang dinikmati di Singapura bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.

Ia dibina atas usaha bertahun-tahun melalui dialog, rasa hormat-menghormati, dan keazaman untuk hidup bersama dalam damai.

Di tengah-tengah konflik ini, rakyat Singapura harus berwaspada terhadap maklumat palsu dan naratif yang memecahbelahkan, serta bersikap kritis terhadap apa yang dibaca dan dikongsi, terutamanya di media sosial

Sebaliknya, orang ramai wajar mengambil peluang untuk mengeratkan hubungan, memperbanyakkan dialog, dan memperkukuh rasa hormat-menghormati antara satu sama lain.

Dengan memastikan benteng fabrik sosial utuh, Singapura akan berada dalam keadaan lebih kukuh untuk berdepan dengan ancaman, sepertimana ia telah berjaya mengharungi masa sukar seperti wabak  Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars), krisis kewangan global dan pandemik Covid-19 sebelum ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg