Perkukuh diplomasi dalam dunia tidak menentu
Dalam suasana geopolitik yang semakin meruncing, hubungan luar Singapura perlu terus diperkukuh dan dipelihara.
Negara ini perlu kekal relevan di mata dunia, terutama apabila semakin banyak negara mengamalkan dasar perlindungan bagi melindungi kepentingan ekonomi sendiri, sekali gus mengehadkan kerjasama antarabangsa.
Lawatan rasmi lima hari Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ke China baru-baru ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Hasil pertemuan itu, Singapura dan China bersetuju memperluas kerjasama dalam bidang digital dan hijau – bidang yang kian penting dalam ekonomi masa depan.
Kerjasama erat ini tidak berlaku dalam ruang kosong tetapi ia dibina atas asas kepercayaan dan persefahaman yang telah dipupuk sekian lama.
Dalam dunia yang semakin berpecah belah, hubungan baik seperti ini amat berharga dan tidak boleh dipandang remeh.
Ia juga membuka peluang bagi kedua-dua negara untuk bekerjasama di pelbagai wadah serantau dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh multilateralisme demi manfaat bersama.
Lawatan Encik Wong ke China, yang pertama sebagai Perdana Menteri, dilakukan pada ketika dunia sedang berdepan ketidaktentuan dan persaingan kuasa besar yang semakin meruncing.
Dalam suasana sebegini, Singapura harus terus memainkan peranan sebagai pemangkin penyatuan, memperkukuh tadbir urus serantau dan menggalakkan kerjasama yang menyeluruh.
Sikap terbuka, sekitaran yang stabil dan sistem tadbir urus yang mantap menjadikan Singapura relevan dalam landskap sejagat hari ini yang semakin mencabar.
Perubahan sejagat kini berlaku dengan cepat dan tidak menentu.
Dalam keadaan ini, negara besar dan kecil perlu memainkan peranan yang bertanggungjawab untuk mengurus ketegangan geopolitik serta mengurangkan risiko konflik dan peperangan.
Dalam konteks ini, mesej yang dibawa oleh Encik Wong amat bermakna.
Sebagai negara kecil, Singapura tetap mempunyai peranan penting dalam memelihara kestabilan dan menggalakkan persefahaman antara negara.
Lawatan ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan komitmen berterusan Singapura untuk menjadi jambatan yang menghubungkan Timur dan Barat.
Hubungan akrab antara Singapura dengan China yang bermula sejak zaman kepimpinan terdahulu dilanjutkan melalui dialog berterusan, termasuk pertemuan Encik Wong dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang.
Ia memperkukuh asas bagi kerjasama masa depan yang lebih luas dan mendalam.
Sistem dunia pasca-Perang Dunia Kedua yang berasaskan peraturan dan kerjasama pelbagai hala kini sedang diuji.
Negara-negara perlu memperbaiki dan memperkukuh sistem ini agar terus relevan dan adil kepada semua pihak.
Dalam landskap sejagat yang sedang mencari arah baru tanpa kepimpinan sejagat yang jelas, risiko salah faham dan konflik semakin tinggi.
Oleh itu, Singapura mesti terus memilih jalan diplomasi yang matang berdasarkan prinsip, serta komitmen untuk membina jalinan kepercayaan demi kesejahteraan nasional, serantau dan sejagat.
“
Sistem dunia pasca-Perang Dunia Kedua yang berasaskan peraturan dan kerjasama pelbagai hala kini sedang diuji. Negara-negara perlu memperbaiki dan memperkukuh sistem ini agar terus relevan dan adil kepada semua pihak. Dalam landskap sejagat yang sedang mencari arah baru tanpa kepimpinan sejagat yang jelas, risiko salah faham dan konflik semakin tinggi. Oleh itu, Singapura mesti terus memilih jalan diplomasi yang matang berdasarkan prinsip, serta komitmen untuk membina jalinan kepercayaan demi kesejahteraan nasional, serantau dan sejagat.
