Kerjasama berbilang hala yang lebih berdaya tahan dan terangkum serta yang lebih sesuai dengan realiti semasa adalah amat penting dalam dunia yang bergelora dan sedang berubah, terutama di tengah-tengah cabaran ekonomi dan geopolitik, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Dengan norma dan peraturan dunia serta institusi sejagat yang semakin lemah, serta kerjasama yang memberi manfaat kepada semua pihak kini digantikan dengan fahaman perlindungan oleh negara yang mengutamakan ekonomi sendiri, banyak negara kian berasa bimbang.
Ini terutamanya bagi negara kecil seperti Singapura, yang mempunyai pilihan dan kuasa tawar-menawar yang terhad, dan berisiko dipinggirkan, ujar Encik Wong.
Namun, negara lebih besar juga akan menghadapi cabaran dalam menangani dan beroperasi dalam persekitaran baru ini “kerana ia akan menjadi lebih sukar untuk semua orang menangani ancaman sama – sama ada pandemik, perubahan iklim atau kejutan kewangan”, tambahnya.
“Oleh itu, saya fikir kita perlu secara kolektif cuba dan terus memanfaatkan kuasa yang akan menyatukan orang ramai bersama, menggalak penyepaduan, mengurangkan halangan dan memperkukuh kerjasama berbilang hala.
“Kerjasama berbilang hala yang lebih berdaya tahan, lebih terangkum dan lebih sesuai dengan realiti masa kita,” kata beliau.
Encik Wong berkata demikian dalam ucapan pembukaannya di sesi Dialog Forum Ekonomi Dunia (WEF) ‘Summer Davos’ 2025 pada 25 Jun di Tianjin, China sempena lawatan rasmi pertama beliau selaku Perdana Menteri ke negara itu selama lima hari dari 22 Jun.
Sesi dialog itu turut disertai Presiden WEF, Encik Borge Brende.
Meskipun dunia telah meraih banyak manfaat daripada penyepaduan sejagat yang dicirikan oleh pasaran terbuka, perdagangan bebas, pergerakan pantas barangan modal, idea dan manusia merentas sempadan selepas tamatnya Perang Dingin, Encik Wong berkata lebih banyak tekanan dan rasa tidak puas hati terhadap globalisasi telah meningkat sejak bertahun lalu.
Bahkan, beliau berkata ia boleh dilihat seawal 1999, di mana demonstrasi dan bantahan diadakan apabila Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) mengadakan persidangan di Seattle, Washington di Amerika Syarikat pada tahun itu.
“Namun sejak itu, tahun demi tahun, anda lihat ekonomi maju, bandar musnah akibat kilang ditutup, mata pencarian terganggu, pekerjaan hilang.
“Dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, disebabkan Covid-19 dan keprihatinan mengenai jaminan bekalan, konflik di Eropah dan Timur Tengah, kini timbul kebimbangan tentang keselamatan, dan kita berada dalam kedudukan amat berbeza hari ini.
“Norma sejagat, peraturan global semakin lemah; institusi global semakin lemah, dan nasionalisme ekonomi menggantikan kerjasama yang memberi manfaat kepada semua pihak,” kata beliau.
Oleh itu, Encik Wong berkata negara-negara perlu secara kolektif bekerjasama untuk menangani cabaran yang dihadapi.
Bagi pihak Singapura, beliau berkata negara ini akan memainkan peranan dalam mengukuhkan kerjasama berbilang hala, sama ada dengan memupuk kerjasama, mengemas kini peraturan sejagat, memajukan dialog atau bekerjasama dengan rakan seperti WEF.
“Usahanya mungkin kelihatan kecil dan berperingkat, namun jika negara-negara yang berfikiran sama di mana-mana memainkan peranan kita, maka secara kolektif, saya fikir kita boleh membuat perubahan.
“Dan kemudian langkah demi langkah, mudah-mudahan kita dapat meletakkan asas untuk perintah global yang baru dan lebih stabil pada masa akan datang,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg