Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Perlu terus kurangkan lagi tekanan di maktab rendah

Mar 12, 2023 | 05:30 AM



SETIAP kali saya mengimbau kembali zaman persekolahan, saya akan selalu mengingati fasa maktab rendah sebagai tempoh yang paling teruk dan paling mencabar dalam perjalanan pendidikan saya.



Menyingkap pengalaman mengharungi kurikulum peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'A' akan kerap kali membuat saya menghela nafas lega sambil berkata kepada diri ini "Syabas, anda berjaya tempuhinya".



Manakan tidak.



Kurikulum GCE 'A' yang dipadatkan dalam waktu singkat dua tahun telah membuat saya seringkali hampir berputus asa, malah mendapati diri ini bersendirian menangis teresak-esak kerana sudah tidak tahan dengan permintaan pelajaran.



Hari demi hari saya mempersoal kebolehan diri dan keyakinan saya semakin menipis gara-gara mengukur 'kepandaian' saya berdasarkan markah yang dicapai dalam peperiksaan.



Justeru, perubahan yang baru-baru ini diumumkan bagi kurikulum GCE 'A' adalah sesuatu yang saya alu-alu dan rasa amat diperlukan.



Mulai 2026, pelajar maktab rendah dan Institut Millennia (MI) tidak perlu mengambil kira subjek berasaskan kandungan keempat mereka bagi markah kemasukan universiti, melainkan ia meningkatkan markah mereka.



Selain itu, peperiksaan pertengahan tahun akan ditiadakan secara beransur-ansur mulai 2024.



Subjek Kerja Projek (PW) akan dikeluarkan daripada kiraan markah kemasukan universiti bagi pelajar maktab rendah 1 pengambilan 2024. Sebaliknya pelajar akan diberi keputusan lulus atau gagal, bukannya gred huruf.



Menerusi kaca mata saya, perubahan ini semua merupakan langkah pertama yang baik untuk mengurangkan tekanan dan beban peperiksaan yang ditanggung pelajar maktab rendah.



Namun, lebih banyak yang perlu dilakukan untuk menangani punca teras masalahnya, iaitu perlumbaan dan persaingan untuk cemerlang dari segi akademik agar dapat menempah tempat di universiti.



Sebagai seorang yang telah melalui kurikulum peringkat 'A', saya sebenarnya tertanya-tanya sama ada laluan ini akan relevan dalam jangka masa panjang.



Ini kerana penekanan berat ke atas kecemerlangan akademik dan gred seolah-olah membuat pelajar peringkat 'A' 'pincang' dari segi kemahiran praktikal yang diseru dunia pekerjaan.



Itulah antara sebab utama, pada pandangan saya, mengapa ramai pelajar, termasuk diri ini, takut gagal dalam peperiksaan peringkat 'A' kerana melihat kelayakan yang diraih di peringkat universiti sebagai 'tiket' untuk menjamin pekerjaan.



Kegagalan melakukan demikian bermakna masa depan suram, tanpa kemahiran yang dapat ditawarkan jika dibandingkan dengan rakan seangkatan yang menuntut di politeknik.



Saya dahulu juga sering dimomok-momokkan dengan khabar bahawa jika saya gagal peperiksaan peringkat 'A', ia seolah-olah saya hanya berkelayakan peringkat GCE 'O'. Justeru, tekanannya amat berat dipikul.



Kita boleh lihat secara amnya bahawa sistem pendidikan 'A' dahulunya dipandang sebagai laluan yang lebih 'mudah' untuk ke universiti kerana jumlah pelajar yang melanjutkan pengajian ke universiti lebih besar jika dibandingkan dengan penuntut di politeknik.



Namun, sedang Singapura mengubah pendekatannya agar beralih daripada tumpuan terhadap pencapaian akademik, sistem ini perlu diperbaiki dan diperhalusi.



Ramai yang mungkin mengejar laluan GCE 'A' untuk ke universiti pada suatu ketika dahulu tetapi 'keistimewaan' sistem ini semakin lama semakin pudar sedang lebih ramai penuntut politeknik diberi peluang lebih tinggi untuk ke menara gading sambil dilengkapi kemahiran praktikal.



Memang tidak dapat dinafikan, sistem pendidikan peringkat 'A' masih ada manfaatnya tetapi adakah pelajar di bawah sistem ini akan keciciran atau berada dalam keadaan merugikan pada masa akan datang?



Landskap pekerjaan semakin berubah, permintaan bagi kemahiran semakin menggunung.



Harapan saya adalah agar sistem GCE 'A' difikirkan semula agar tidak ditelan masa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >