Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Perlu wujud kesungguhan politik untuk berdamai

Oct 30, 2023 | 07:00 PM



Kumpulan Hamas pada 7 Oktober lalu melancarkan operasi serangan mengejut ke atas Israel dari Gaza melalui udara, laut dan darat. Sekitar 1,400 orang dilaporkan terbunuh. Sebagai tindak balas, Israel mengisytiharkan peperangan dan mengenakan sekatan ke atas Gaza, selain serangan udara yang meragut lebih 7,000 nyawa.

Latar belakang konflik

Terdapat dua buah kumpulan politik utama yang menguasai Palestin. Pertama, Fatah yang merupakan parti terbesar gabungan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Kumpulan ini di ketuai oleh Mahmoud Abbas, yang juga Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Kedua, Hamas yang ditubuhkan semasa kebangkitan Intifada Palestin pada 1987. Pada 2006, Hamas menguasai Semenanjung Gaza selepas berjaya memenangi jumlah kerusi yang terbanyak dalam parlimen dan telah membentuk pemerintah baru. Pembentukan pemerintah baru ini disifatkan sebagai satu rampasan kuasa di sisi Fatah.


Pada 2007, berlaku perang saudara antara Hamas dengan tentera yang setia kepada gerakan Fatah. Ia diakhiri dengan Fatah diusir keluar dari Gaza.

Sejak itu, telah berlaku beberapa konflik dengan Israel. Hamas beberapa kali melancarkan serangan roket dari Gaza ke atas Israel, sementara Israel melancarkan serangan tindak balas udara dan bedilan ke atas Gaza.

Walaupun kedua-dua kumpulan Hamas dan Fatah mempunyai matlamat yang sama dalam menegakkan Palestin sebagai negara yang berdaulat, mereka mempunyai pendekatan yang berbeza.

Hamas enggan mengiktiraf negara Israel dan menentang perjanjian keamanan Oslo yang dimeterai oleh Israel dan PLO pada 1993 serta beberapa perjanjian damai yang lain.

Terdapat beberapa rundingan bersama Hamas dan Fatah namun kebanyakannya gagal.

Di kalangan parti politik Israel pula, terdapat pelbagai pandangan mengenai konflik Israel-Palestin. Bagi parti politik sayap kanan, mereka berpandangan konservatif dan mengambil pendirian yang tegas terhadap Palestin.

Manakala parti politik sayap kiri mengambil kedudukan yang lebih bersimpati atau berdamai terhadap perjuangan Palestin.

Pertempuran naratif

Sentimen dan perasaan kecewa, marah dan simpati terhadap mereka yang menjadi mangsa akibat konflik tersebut adalah wajar dan semula jadi.

Terdapat satu hujah yang berpandangan bahawa apa yang dilakukan oleh pihak Hamas adalah wajar kerana mereka mempunyai hak yang tidak dapat dipertikaikan iaitu penzaliman berterusan yang dilakukan pemerintah Israel terhadap warga Palestin.

Di pihak yang lain, terdapat pandangan bahawa Hamas menggunakan kaedah yang kejam dan ekstrem dalam serangan terhadap Israel. Mereka juga didakwa menggunakan penduduk Gaza sebagai ‘perisai manusia’.

Perbahasan sebeginilah yang sedang berlaku di beberapa wadah media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram.

Namun, terdapat naratif yang saling bertentangan dan penyebaran maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Misalnya, terdapat laporan bahawa Hamas memenggal kepala bayi-bayi ketika pencerobohan berlaku. Namun laporan tersebut ternyata tidak benar kerana tidak ada bukti dan Kementerian Luar Negara dan juga Angkatan Pertahanan Israel mengesahkan ia tidak berlaku.

Terdapat juga seruan dan laungan Jihad oleh kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda untuk mengangkat senjata menentang Yahudi di merata tempat.

Naratif atau propaganda sebegini disebarluaskan setiap hari sedang konflik berlaku dan telah menimbulkan polarisasi pendapat berkenaan konflik ini di kalangan masyarakat dunia.

Konflik politik atau agama?

Bagi sesetengah penganut Muslim dan Yahudi, konflik ini merupakan masalah agama. Ini kerana di Baitulmakdis terletaknya tiga tempat suci bagi tiga agama Ibrahimiah – Masjid Al-Aqsa, Tembok Barat dan Gereja Makam Suci (Church of the Holy Sepulchre).


Disebabkan pentingnya Baitulmakdis di sisi ketiga-tiga agama ini, setiap geseran yang berlaku akan mencetus reaksi emosi yang kuat. Tambahan lagi, ia akan diputarbelitkan oleh berbagai kelompok untuk memajukan agenda politik mereka.

Hal penting yang perlu diakur di sini ialah seseorang penganut agama Yahudi tidak semestinya mendukung kekerasan dan penindasan terhadap orang lain. Terdapat kelompok Yahudi yang memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin dan berupaya mencari jalan keluar bagi mencapai perdamaian untuk konflik ini.

Begitu juga bagi seseorang yang menyokong atau menunjukkan simpati terhadap nasib rakyat Palestin, tidak bererti beliau menyokong keganasan yang digunakan oleh kumpulan militan Hamas.

Ramai pengamat berpendapat bahawa masalah akar konflik bukan atas dasar agama malah ia lebih bersifat kepada isu politik wilayah, penentuan nasib sendiri, dan identiti.

Sepertimana yang diperakui juga baru ini oleh duta Palestin ke United Kingdom di satu temuduga bersama BBC bahawa isu ini adalah isu yang terkait dengan politik.


Perbezaan ini amat penting kerana konflik ini mempunyai kesan terhadap masyarakat Muslim di Singapura. Ini kerana terdapat dua individu yang ditahan di bawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi kesalahan berkaitan pengganasan dek terpengaruh dengan konflik Israel-Palestin.

Seorang remaja pada tahun 2021 telah mengatur rancangan untuk melakukan serangan pisau yang menyasarkan kaum Yahudi di sebuah saumaah di Singapura. Manakala pada awal tahun ini, seorang guru ditahan kerana ingin menyertai sayap tentera Hamas dan mengangkat senjata menentang tentera Israel.

Dua kes ini menunjukkan bahawa mereka terpengaruh dengan retorik bahawa seorang Muslim itu wajib mengangkat senjata bagi membela rakyat Palestin dan mengambil tindakan dengan menggunakan keganasan itu atas dasar agama.

Peranan Singapura – Mendukung huraian ‘dua negara’

Terdapat beberapa pendekatan yang sering diajukan untuk mencari solusi terhadap konflik ini termasuk rundingan secara langsung dan kesepakatan gencatan senjata.

Perkara yang sering dibincangkan secara meluas adalah huraian ‘dua negara’. Ia merupakan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1974 mengenai “penyelesaian secara aman persoalan Palestin” menyeru “dua negara, Israel dan Palestin bersebelahan dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf.”

Singapura secara konsisten telah mengekalkan sokongannya yang berprinsip terhadap huraian ‘dua negara’ ini, dengan harapan bahawa Israel dan Palestin hidup bersama dalam keadaan aman.

Singapura menganggap Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai hubungan yang erat dari segi perdagangan, ketenteraan, pendidikan, dan infrastruktur dari segi sains dan teknologi.

Begitu juga Singapura mengiktiraf kedaulatan Palestin dan terus berusaha menjalin hubungan rapat. Dalam usaha membantu pembangunan keupayaan rakyat Palestin, Singapura meneruskan komitmen untuk melanjutkan Pakej Bantuan Teknikal (ETAP) yang ditubuhkan pada 2013. Pada 2016, bantuan itu digandakan dari $5 juta kepada $10 juta.

Tahun lalu, Singapura juga telah membuka Pejabat Perwakilan di Ramallah. Pejabat ini bermatlamat menyelaras usaha pembinaan keupayaan kepada pihak berkuasa Palestin lantas memperkukuhkan lagi hubungan antara Singapura dengan Palestin.

Mencari noktah – Satu renungan

Untuk menghentikan lingakaran keganasan ini, perlu wujud kesungguhan politik di antara Israel dan Palestin. Ini termasuk merapatkan jurang politik antara Hamas dan Fatah untuk membentuk perpaduan nasional demi kemaslahatan rakyat Palestin. Israel juga perlu menghentikan pendudukan, penindasan dan penempatan haram yang berlaku di Tebing Barat.

Singapura sebagai sebuah masyarakat yang menitikberatkan soal keharmonian dan keamanan, tidak ada yang diharapkan kecuali akal budi yang waras bagi mengatasi keganasan yang melanda dari kedua-dua belah pihak. Sudah tiba masanya pihak berwenang duduk di meja rundingan dan menghentikan segala tindak laku yang melampaui batas.

Konflik Israel dan Palestin adalah isu yang sangat rumit dan dijangkakan terus berkembang, dengan banyak aspek yang perlu dipertimbangkan dalam usaha mencapai perdamaian dan stabiliti di Timur Tengah.

Perkara yang penting adalah menggalakkan usaha-usaha menghidupkan kembali proses perdamaian, pada masa yang sama, menyegerakan bantuan kemanusiaan agar dapat dikurangkan penderitaan yang dilanda oleh penduduk Gaza.

Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan adalah Zamil Penyelidik Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S.Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura. Beliau memperoleh Sarjana Muda dari Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah dan Sarjana Sains dari RSIS dalam bidang Perhubungan Antarabangsa. Beliau juga adalah kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagaman (RRG).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >