Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perut, Raya, pilihan raya dan...

Merungkai hubung kait perut dari sudut bahasa
Apr 27, 2025 | 5:30 AM
Pasar dan Pusat Makanan Geylang Serai
Tempat makan seperti di Pasar dan Pusat Makanan Geylang Serai yang menawarkan pelbagai pilihan makanan sering menjadi tumpuan untuk mengalas atau mengisi perut. - Foto fail

Soal perut ada antara perkara yang paling berkait dengan dua ‘Raya’ – Hari Raya dan Pilihan Raya.

Selepas sebulan berpuasa Ramadan, menahan lapar dan dahaga, bagi sebahagian orang ketibaan Hari Raya bak menjadi bulan pesta perut.

Sepanjang Syawal, dengan amalan ziarah-menziarahi, pasti ada jamuan, jika tidak jamuan berat, sekurang-kurangnya dihidang dengan jamuan ringan.

Ramai kembali kepada fitrah... makan dan makan, hinggakan perut yang berehat selama sebulan kembali giat bekerja memproses makanan... dan kembali membesar.

Dan menjelang pilihan raya, antara isu yang sering dibangkitkan ialah cost of living (kos kehidupan atau kos sara hidup), atau sering diungkapkan sebagai bread and butter issue.

Kalau diterjemah secara langsung, ia adalah isu ‘roti dan mentega’, namun ungkapan itu sebenarnya menggambarkan soal makanan asas – soal cari makan, soal periuk nasi, soal mengisi perut.

Natijahnya: gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Sebaliknya, perut kosong, sakit hati, merana diri.

Beberapa parti politik sudah pun menyatakan bahawa mereka akan mengetengahkan isu berkaitan perut dalam kempen pilihan raya mereka.

Berhubung kesihatan, bermacam penyakit dikatakan berpunca daripada perut – tidak jaga makan dan terlalu banyak makan.

Maka itu, antara langkah paling baik dalam menjaga kesihatan ialah dengan menjaga perut – tidak terlalu banyak makan, makan secara sederhana, secara bijak dan kerap merehatkan perut dengan amalan puasa.

Selain hubung kait perut dengan Hari Raya, pilihan raya dan kesihatan badan, perut juga ada tempat dari segi sudut bahasa.

KHUSUS PERUT

Dari segi definisi yang diketahui umum, perut adalah organ dalam tubuh, di bawah dada, tempat penghadaman ma­kanan.

Perut juga dilihat sebagai tempat mengandungkan bayi semasa seseorang wanita hamil, atau rahim.

Istilah sembilan bulan dalam perut ibu bermakna sembilan bulan dalam kandungan rahim ibu.

Isi perut ialah kandungan perut termasuk usus. Misalnya, kemalangan ngeri memperlihatkan isi perut terburai.

Isi perut juga bermakna segala perasaan yang terkandung dalam diri atau isi hati. Misalnya, ‘Ahmad memahami isi perut isterinya’ bermakna Ahmad memahami perasaan dan isi hati isterinya.

Tali perut ialah usus.

Perut buncit adalah perut besar dan gendut. Istilah menggambarkan keadaan serupa ialah ‘ada perut’.

Bagi sesetengah orang, perut buncit menggambarkan kemakmuran, tetapi bagi sebahagian lain, ia adalah penyakit.

Perut busung adalah kembung perut kerana penyakit.

Lawas perut ialah melegakan perut.

Perut masuk angin bermakna tidak berasa sedap pada perut kerana lapar atau lewat makan.

Tak sedap perut bermakna tidak berasa selesa di bahagian perut.

Gastrik adalah radang pada perut.

Cika adalah sakit perut yang disertai muntah-muntah dan buang-buang air.

Kerawit adalah cacing halus dalam perut.

Cuci perut adalah pengambilan ubat untuk membersihkan perut, seperti dengan memakan julap.

Lenggang perut adalah perbuatan, atau istiadat membetulkan kedudukan anak dalam perut.

Perut laut bermakna bahagian dasar laut.

Perut kapal ialah bahagian tengah kapal.

Perut bumi adalah bahagian bumi sebelah dalam.

Perut padi adalah bahagian batang padi yang besar

Sate perut adalah sinonim dengan sate babat.

Bengkung perbuatan melilit perut dengan kain, atau kain bengkung selepas bersalin, untuk mengempiskan semula perut.

BEBERAPA GAMBARAN

Ungkapan berhati perut bermakna mempunyai perasaan yang halus dan bertimbang rasa.

Sebaliknya, ungkapan tidak berhati perut menggambarkan seseorang yang tidak ada perasaan atau belas kasihan. Misalnya, majikan yang memberi tugas berlebihan kepada kakitangannya, dan tidak mengambil berat masalah yang dihadapi pekerja disifatkan sebagai majikan yang tidak berhati perut.

Ungkapan kaki tangan dalam perut pula menggambarkan orang yang nampak baik tetapi sebenarnya berkelakuan tidak baik atau jahat – sifat jahatnya tersembunyi. Misalnya, ayat menyatakan pemuda itu kelihatan baik tetapi kaki tangan dalam perut.

Kecut perut menggambarkan dalam keadaan sangat takut atau gerun.

Istilah perut ibu merujuk kepada rahim ibu, tempat bayi hamil, bukan sebenarnya perut tempat mengisi makanan.

Kembung perut menggambarkan perut kembung atau sakit perut dek masuk angin, terutama di kalangan bayi.

Sakit perut adalah sakit yang langsung berkaitan perut, umumnya kerana salah makan atau terlalu banyak makan sehingga perut senak.

Perut memulas adalah ungkapan mengenai sakit perut, seorang-olah perut dipulas, kerana sebab seperti salah makan dan mahu kerap/segera ke tandas.

Alas perut adalah memakan sedikit, biasanya pada pagi hari, supaya perut tidak kosong atau supaya tidak lapar atau tidak masuk angin.

Lapar adalah keadaan perut kosong dan mahu makan.

Perut keroncong adalah bunyi dalam perut kerana lapar.

Ikat perut adalah menahan diri daripada makan (atas sebab tertentu seperti kerana hendak berjimat atau hendak menguruskan badan, mengempiskan perut).

Membawa perut menggambarkan perbuatan berkunjung ke rumah orang, tanpa membawa sesuatu pun, untuk makan atau berlenggang ke majlis untuk makan.

Senak atau perut senak kerana terlalu kenyang, sakit terkena tendangan bola atau kena tumbuk.

PERIBAHASA

Terdapat beberapa peribahasa berkaitan perut. Antaranya:

Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut bermakna menyimpan rahsia.

Tak berkelipat perut pula bermakna tidak tahu menyimpan rahsia.

Biar pecah perut, bumi merekah bermakna keputusan yang tegas.

Malu makan, perut lapar bermakna kalau segan berusaha, tidak akan mendapat kemajuan.

Membawa perut ke rumah orang bermakna selalu bertandang makan ke rumah orang.

Ringan tulang berat perut bermakna orang yang rajin bekerja banyak mendapat rezeki.

Bagai perempuan membawa perut bermakna orang yang buncit perut.

Hempas tulang berisi perut bermakna rajin bekerja (berusaha) mudah mendapat rezeki.

Kalau sumpit tak berisi, mana boleh ditegakkan bermakna kalau perut tidak diisi tentu tidak dapat melakukan pekerjaan.

Mencarikan perut tak berisi, mencarikan kepala tak bertutup bermakna pergi berdagang ke negara lain untuk mencari peng­hidupan.

Tiba di perut dikempiskan, tiba di mata dipincangkan, tiba di dada dibusungkan adalah perihal orang yang tidak adil dalam menjatuhkan hukuman (misalnya, kaum kerabat dilepaskan daripada hukuman).

Perut tiada bertelinga bermakna sia-sia memberi nasihat kepada orang yang lapar.

Perut kosong penggilap otak bermakna lapar menyebabkan orang berfikir.

Perut kosong, dibuat gulai bermakna keinginan timbul bila dalam kekurangan.

Perut kenyang lapar tak hilang, minum sejuk haus tak lepas adalah gambaran hidup amat susah dalam kemiskinan.

Perut buncit lama-kelamaan menjadi busung bermakna alamat bahawa sesuatu perkara akan terjadi.

Malas bergarit (gerak), perut perit bermakna malas berusaha tentulah kelaparan.

Laksana buntal kembung, perut buncit di dalamnya kosong bermakna orang yang tiada berpengetahuan, hanya cakap besar sahaja.

Pangku tangan cerut perut bermakna malas bekerja tidak dapat makan.

Air mata jatuh ke perut menggambarkan keadaan berduka dengan diam-diam.

Ular telan babi, cacing yang bengkak perut bermakna iri hati melihat keberuntungan orang lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg