Membantu penduduk menangani peningkatan kos sara hidup merupakan tumpuan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Saktiandi Supaat, yang akan bertanding semula di GRC Bishan-Toa Payoh dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) mendatang.
Bagi menyokong penduduk dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat, Encik Saktiandi, 51 tahun, merujuk mereka pada program ‘Mango’ yang dibentuk daripada program bantuan sosial dalam lima teras termasuk Makanan, Bantuan, Keperluan, Barang Dapur dan Peluang.
‘Mango’, yang dilancarkan pada 2020, menggabungkan pelbagai skim bantuan sosial dalam lima bidang utama ini, menjadikannya lebih mudah diakses penduduk melalui portal dalam talian dan aplikasi telefon bimbit.
Beliau menyatakan program itu dikembangkan untuk merangkumi perkhidmatan penjagaan gigi, di mana bas pergigian bergerak dengan khidmat penjagaan pergigian dan pencegahan percuma dibawa meronda ke kawasan Toa Payoh East, khusus buat warga emas.
Encik Saktiandi berkongsi tentang perkembangan terkini program ini yang diharap dapat diperkasa lagi, ketika ditemui Berita Harian (BH) pada sesi pengenalan calon PAP yang bakal bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh dalam GE2025 ini nanti.
Sesi pengenalan itu berlangsung di Cawangan PAP Toa Payoh West-Thomson pada 18 April.
Menurutnya, sepanjang lima tahun sejak ‘Mango’ dilancarkan, lebih $1.1 juta telah disalurkan bagi membantu hampir 6,000 penduduk.
Dalam pada itu, hampir $20,000 disalurkan menerusi program sampingan di dalam ‘Mango’, iaitu Program Bantuan Kos Sara Hidup (Clap) di kejiranan untuk dimanfaatkan 200 penduduk.
“Jika diberi peluang, saya ingin terus memperkukuh usaha membantu penduduk, termasuk masyarakat Melayu/Islam serta masyarakat umum secara keseluruhan,” kata Encik Saktiandi, yang telah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh untuk penggal 2015 dan 2020.
Selain bantuan kewangan dan kebajikan, Encik Saktiandi turut memberi penekanan kepada pemerkasaan masyarakat dan pembangunan belia.
Beliau juga menyentuh tentang Program Duta Blok yang melibatkan 170 belia yang diusahakan kejiranannya bagi menggalak golongan muda menyumbang semula kepada masyarakat.
“Sekarang di hampir setiap blok, kami ada satu atau dua ‘ketua kampung’ yang membantu menyebarkan maklumat dan mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan dengan segera,” tambah beliau.
Ini adalah contoh inisiatif yang akan dipertingkatkan dan disegarkan semula jika beliau dipilih semula sebagai AP GRC Bishan-Toa Payoh.
Ditanya mengenai program M Kuasa Tiga (M³) di Toa Payoh, beliau menjelaskan ia bertujuan memperkukuh kemahiran asas seperti membaca, serta menanam minat dalam matematik dan sains bagi mempersiapkan generasi akan datang menghadapi keperluan masa depan.
Ia juga berhasrat meningkatkan kemahiran celik kewangan dalam kalangan belia, sambil menangani isu semasa dan cabaran pasaran kerja yang kian berubah.
“Bagi saya, adalah penting untuk memahami dan menyokong generasi muda dalam membentuk harapan mereka serta memberi inspirasi agar mereka dapat melihat masa depan Singapura dengan lebih positif,” kata Encik Saktiandi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg