Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

WAWANCARA PM LEE DENGAN CNN

PM Lee: Koronavirus mungkin berlarutan buat bertahun

Dunia perlu bersedia hadapi pertarungan berpanjangan
Mar 31, 2020 | 05:30 AM



COVID-19 boleh mengambil masa beberapa tahun untuk menular di seluruh dunia kecuali sesuatu dilakukan untuk menghentikan proses itu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.



Dalam hal ini, dunia harus bersiap sedia bagi satu perjuangan yang panjang, tambah Encik Lee.



Dalam satu wawancara dengan wartawan Fareed Zakaria di CNN kelmarin mengenai respons Singapura yang dipuji, Encik Lee berkata beliau keberatan menyebut negara ini sebagai satu "kisah kejayaan".



Mengulas pendapat bahawa Singapura telah berjaya membendung virus itu, beliau berkata:



"Saya keberatan bercakap mengenai kejayaan kerana kami betul-betul di tengah-tengah pertempuran, yang semakin hebat."



Encik Lee tidak membayangkan pandemik itu akan hilang dalam beberapa bulan dan menjangka ia akan tersebar ke bahagian lain di dunia seperti India, Afrika, Asia Tenggara dan Amerika Latin.



"Apabila ia (koronavirus) menular ke seluruh dunia, dan akhirnya terhapus sendiri, saya fikir ia mengambil beberapa tahun, kecuali sesuatu berlaku untuk menghentikan proses itu," kata Encik Lee.



Manfaat Kepimpinan Amerika Syarikat



Encik Fareed juga bertanya tentang peranan Amerika Syarikat dalam pandemik, sambil memerhatikan bahawa Presiden Donald Trump tidak berminat untuk memimpin usaha dunia menangani wabak itu.



Memberikan respons, Encik Lee berkata dunia telah mendapat manfaat daripada kepimpinan Amerika dalam krisis seperti itu sepanjang beberapa dekad lalu.



"Jika Amerika berada dalam mod yang berbeza, kita akan meneruskan sahaja usaha kita dan saya fikir konfigurasi yang lain akhirnya mungkin terhasil, tetapi ia sesuatu yang merugikan."



Amerika, katanya, mempunyai sumber daya, sains, pengaruh, kekuatan lembut, dan rekod menangani masalah-masalah ini secara meyakinkan dan berjaya.



"Sayang sekali sumber-sumber tersebut tidak dikerah untuk menangani cabaran getir bagi umat manusia," ujar Encik Lee



Kerjasama Dunia



Dalam wawancara itu, Encik Fareed juga telah bertanya mengenai peranan Amerika Syarikat dalam pandemik itu serta cara China mengendali wabak tersebut di awal penularannya.



Encik Lee menggesa Amerika dan China - yang telah saling menuduh satu sama lain bagi wabak itu - supaya bekerjasama memerangi pandemik.



"Ia adalah keadaan yang malang. Maksud saya, hubungan Amerika-China memang rumit sebelum ini.



"Tetapi jika kita mahu menangani virus ini, anda perlu mendapatkan semua negara untuk bekerjasama, terutamanya, Amerika dan China.



"Di bawah keadaan yang terbaik, ia akan menjadi satu cabaran yang sangat sukar bagi manusia. Tetapi jika Amerika Syarikat dan China saling mengutuk dan menyalahkan satu sama lain kerana mencipta virus itu dan membiarkannya merebak di dunia, saya tidak fikir ia akan membantu kita menyelesaikan masalah ini dengan lebih cepat," ujar Encik Lee.



China, di mana virus berasal, telah dikritik kerana tidak cukup telus mengenai krisis semasa hari-hari awalnya.



Ditanya sama ada perkara itu - seperti yang didakwa beberapa pihak - telah memburukkan keadaan, Encik Lee berkata:



"Saya yakin bahawa terdapat banyak aspek respon Cina terhadap wabak ini yang membuat mereka renung semula dan menyedari bahawa mereka sepatutnya melakukan yang lebih baik.



"Tetapi saya tidak fikir secara keseluruhan bahawa ini tidak akan berlaku jika China melakukan perkara yang betul kerana anda melihat cara wabak itu terus berkembang dan tersebar di banyak negara, mereka tidak mempunyai pemerintah seperti China namun adalah tidak mudah bagi mereka mengawal wabak di negara mereka.



"Saya fikir kita berada dalam keadaan yang sangat sukar dan cara paling membina untuk kita sekarang ialah memandang ke hadapan dan mencari jalan terbaik untuk maju dan menangani masalah yang kita ada sekarang."



Usaha Singapura



Menyentuh usaha di Singapura, Encik Lee berkata virus itu telah dipandang serius sejak dari awal lagi.



"Kami melihat apa yang berlaku di Wuhan, di China. Kami mempersiapkan rakyat kami. Malah, kami telah bersedia sejak Sars, yang berlaku 17 tahun lalu," kata Encik Lee.



Bagi mengatasi virus itu melalui imuniti masyarakat, strategi kontroversial yang membiarkan masyarakat dijangkiti dan membina imuniti terhadap virus itu, adalah amat sukar, katanya, sedang sebahagian besar penduduk perlu dijangkiti.



Satu lagi cara ialah berusaha mengurangkan jumlah yang dijangkiti dan mengharapkan ada jalan keluar, dan menurut Encik Lee jalan keluar yang boleh dilihat hanyalah menawarkan rawatan atau vaksin yang berkesan.



"Perkembangan sedemikian masih jauh di masa depan, namun ramai golongan bijak sedang berusaha ke arah perkembangan itu. Saya hanya boleh berharap dan berdoa mereka boleh mencapai kejayaan tidak lama lagi," kata Encik Lee.



Ditanya jika Singapura mampu membendung virus itu kerana 'sistem paternalistik', Encik Lee berkata pemerintah tidak melaksanakan "kuasa luar biasa".



Bersikap Telus



Sebaliknya, dalam usaha melawan virus, kepercayaan dan ketelusan adalah kunci, kata Encik Lee.



"Kami melakukan banyak usaha untuk menjelaskan kepada orang ramai apa yang sedang berlaku, bercakap dengan mereka dan saya telah melakukannya beberapa kali secara langsung di televisyen, jadi orang ramai tahu kami jujur dan terbuka.



"Kami telus - jika ada berita buruk, kami memberitahu anda. Jika ada perkara yang perlu dilakukan, kami juga memberitahu anda. Saya fikir anda perlu mengekalkan kepercayaan itu kerana jika orang tidak mempercayai anda, walaupun anda mempunyai langkah yang tepat, ia akan menjadi sangat sukar untuk melaksanakannya," kata Encik Lee.



Cabaran Menjejak Kontak



Beliau menambah bahawa pemerintah Singapura tidak menggunakan data telefon untuk melakukan penjejakan kontak, tetapi "usaha detektif secara tradisional".



"Kami telah menemu ramah warga, bertanya mereka, mewawancara mereka, menjejaki hubungan mereka, menemu duga kenalan mereka.



"Kami berharap mendapatkan jawapan cepat dalam beberapa jam, tetapi sebenarnya kami terpaksa menjejak kes selama beberapa hari untuk menyiasat siapa yang bercakap dengan siapa, dan siapa yang mungkin telah memberikan virus kepada siapa," ujar Encik Lee.



Dalam wawancara itu, beliau turut menggambarkan bagaimana Covid-19 telah melumpuhkan industri penerbangan dan pelancongan, serta mengganggu rantaian bekalan dan ekonomi gig.



Pekerjaan juga akan mengambil masa untuk kembali.



"Saya tidak melihatnya kembali sehingga orang ramai yakin mereka boleh mengatasi virus, boleh meneruskan pergaulan biasa, perjalanan biasa, hubungan manusia biasa. Saya fikir ia agak lama lagi," kata Encik Lee.



Ditanya adakah pandemik itu mungkin menyebabkan Encik Lee menangguhkan keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Encik Lee berkata:



"Saya fikir krisis ini membuat saya sibuk. Mari kita beri tumpuan kepada itu buat masa ini."




"Kami melakukan banyak usaha untuk menjelaskan kepada orang ramai apa yang sedang berlaku, bercakap dengan mereka dan saya telah melakukannya beberapa kali secara langsung di televisyen, jadi orang ramai tahu kami jujur dan terbuka. Kami telus - jika ada berita buruk, kami memberitahu anda. Jika ada perkara yang perlu dilakukan, kami juga memberitahu anda. Saya fikir anda perlu mengekalkan kepercayaan itu kerana jika orang tidak mempercayai anda, walaupun anda mempunyai langkah yang tepat, ia akan menjadi sangat sukar untuk melaksanakannya,"
- Perdana Menteri Lee Hsien Loong tentang peri penting bersikap telus dengan warga



"Ia (wabak) adalah keadaan yang malang. Maksud saya, hubungan Amerika-China memang rumit sebelum ini. Tetapi jika kita mahu menangani virus ini, anda perlu mendapatkan semua negara untuk bekerjasama, terutamanya, Amerika dan China.

"Di bawah keadaan yang terbaik, ia akan menjadi satu cabaran yang sangat sukar bagi manusia. Tetapi jika Amerika Syarikat dan China saling mengutuk dan menyalahkan satu sama lain kerana mencipta virus itu dan membiarkannya merebak di dunia, saya tidak fikir ia akan membantu kita menyelesaikan masalah itu dengan lebih cepat,"

- Perdana Menteri Lee Hsien Loong tentang perlunya kerjasama menangani wabak Covid-19




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >