Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Lee penuh emosi, kasih pada rakyat, negara jelas dalam temu ramah

May 11, 2024 | 5:30 AM
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sebak menyentuh mengenai Generasi Perintis Singapura dan legasinya dalam wawancara dengan media setempat sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sebak menyentuh mengenai Generasi Perintis Singapura dan legasinya dalam wawancara dengan media setempat sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. - Foto ST

Dewan di Istana, lokasi di mana wawancara bersama Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong diadakan, sunyi seketika.

Encik Lee, yang susuknya menyerlah di tengah-tengah ruang gah itu – persis seorang negarawan tersohor – sedang penuh emosi, bergenang air mata.

Wartawan sabar menanti, memberi beliau ruang dan peluang melayan gelora jiwanya.

Perasaan sebak yang menyelubungi Encik Lee itu menyusuli soalan yang ditanya wartawan mengenai bagaimana beliau mahu diingati selepas melepaskan jawatan yang telah disandangnya selama dua dekad.

Melalui soalan itu, beliau dibawa kembali kepada wawancara wartawan Amerika Syarikat, Encik William Safire, dengan Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, yang juga bapanya, pada 1999.

Dalam wawancara bersama Encik Safire itu, mendiang Encik Lee telah ditanya mengenai peranan anaknya sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, dan sama ada anaknya itu menyandang jawatan tersebut semata-mata kerana beliau “anak kepada Lee Kuan Yew”.

Encik Lee, yang meninggal dunia pada 2015, menjawab sekiranya anaknya itu bukan darah dagingnya, beliau sudah pun menyandang jawatan Perdana Menteri.

“Saya beritahu anda secara jujur, saya yang menjadi penghalang (beliau menjadi Perdana Menteri) kerana Hsien Loong mampu berlari lebih pantas daripada sesiapa pun,” kata mendiang Encik Lee ketika itu.

Kata-kata bapanya itu membawa jiwa Encik Lee menyusuri masa lalu ke satu tempat penuh nostalgia – sedih, terharu atau gembira dengan keyakinan mendiang bapanya itu terhadap dirinya, hanya beliau sahaja yang tahu.

Encik Lee menjawab: “Saya tidak cuba berlari lebih pantas daripada orang lain. Saya cuba membawa mereka berlari bersama-sama dengan saya. Dan saya percaya kami telah mencapai beberapa kejayaan.”

Jawapan Encik Lee dalam wawancara dengan media setempat pada 26 April itu mencerminkan pendekatan beliau sebagai Perdana Menteri, jawatan yang disandangnya sejak 12 Ogos 2004.

Di bawah kepimpinan Encik Lee, pemerintah telah memperkenalkan pelbagai dasar dalam negara yang menjurus kepada membangunkan sebuah masyarakat yang lebih inklusif selain memberi tumpuan kepada menyediakan jaringan keselamatan bagi hampir semua lapisan masyarakat.

Ini termasuk daya usaha yang menyediakan jaringan keselamatan antara generasi seperti Pakej Perintis, Merdeka dan Majulah.

Malah, Encik Lee sekali lagi diselubungi emosi semasa menjawab pertanyaan mengenai mengapa pemerintah di bawah kepimpinan beliau memberi penekanan yang mendalam kepada usaha memberi sokongan dan memperkasa generasi demi generasi warga Singapura.

“Mereka membawa kami ke detik ini. Jika mereka tidak berjuang pada saat genting, dan kemudian bergelut dan membina seluruh kehidupan mereka untuk memacu Singapura ke hadapan, dan membolehkan generasi akan datang untuk bergerak lebih tinggi dan lebih jauh daripada mereka, kita tidak akan berada di sini hari ini.

“Setiap generasi melakukan demikian untuk generasi akan datang, tetapi saya rasa untuk Generasi Perintis dan Generasi Merdeka, ia adalah luar biasa,” ujar Encik Lee.

Meskipun detik menjawab pertanyaan mengenai legasinya dan berkenaan Generasi Perintis serta Generasi Merdeka ini telah meruntun jiwanya, namun umumnya Encik Lee ceria dan ramah sepanjang wawancara lebih dua jam itu.

Seperti biasa, beliau memaparkan keperibadian yang telah menjadikan beliau seorang perdana menteri yang popular.

Dalam wawancara yang meliputi pelbagai topik termasuk ehwal luar, ekonomi, jaringan keselamatan, membangunkan Singapura yang bersatu padu termasuk menyentuh tentang kemajuan dan sumbangan masyarakat Melayu/Islam serta politik yang baik, Encik Lee menjawab pertanyaan wartawan secara terus terang tetapi meyakinkan, ada kalanya secara berseloroh dan bersahaja, namun penuh dengan mesej yang memberi inspirasi.

Ciri-ciri ini yang menjadikan Encik Lee seorang pemimpin yang bukan sahaja dihormati, bahkan dikasihi warga.

Beliau berjaya memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan mendapatkan mandat kukuh dalam empat pilihan raya umum di tengah-tengah tuntutan bagi suara alternatif di Parlimen yang semakin mendapat momentum.

Sedang beliau akur kehadiran lebih ramai pembangkang di Parlimen telah meningkatkan mutu perbahasan dan menjadikannya lebih sengit, namun beliau berpendapat keadaan itu tidak semestinya membantu rakyat memahami dasar dengan lebih baik.

Encik Lee turut mengambil kesempatan menerangkan, daripada perspektif pemerintah, mengenai sikap sesetengah pengundi yang memilih untuk mengundi pembangkang kerana mahukan lebih banyak suara alternatif di Parlimen, meskipun mereka mahu PAP kekal memerintah kerana menganggap kemenangan PAP sebagai sesuatu yang pasti.

“Jika trendnya adalah saya mahu lebih banyak semak dan imbang, serta lebih banyak suara alternatif, dan saya masih mahukan pemerintah PAP, anda sudah pasti akan melemahkan pemerintah daripada segi tenaga yang diperlukan untuk menggubal dasar yang menguntungkan rakyat Singapura, keupayaannya untuk menubuhkan pasukan yang bekerja keras untuk mewujudkan pemerintah bermutu tinggi kepada rakyat Singapura.

“Dan saya kira mutu pemerintah akan merosot, dasar kita akan menjadi kurang kreatif. Hasilnya akan memberi kurang manfaat kepada rakyat Singapura dan pada satu ketika, sistem politik akan tidak berfungsi. Ia adalah satu risiko,” kata Encik Lee, memberikan pandangannya.

Dengan beliau kini di ambang menyerahkan teraju pemerintahan negara kepada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang dijadual mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei, Encik Lee turut menyentuh harapannya bagi generasi muda Singapura.

Berdasarkan jumlah pengikut atau followers, Encik Lee merupakan tokoh politik setempat yang amat popular di media sosial terutama dengan hashtag atau tanda pagar #jalanjalan, yang mengetengahkan rakaman foto-foto menarik semasa bersiar-siar sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Malah, setelah 12 tahun sejak membuka akaun media sosial pertamanya, Encik Lee boleh dianggap sebagai antara pempengaruh media sosial pertama di sini.

Sedang beliau akur media sosial adalah penting termasuk menggalak golongan muda menunjukkan minat lebih mendalam kepada politik, Encik Lee melahirkan harapan bahawa golongan muda tidak hanya menganggap kandungannya sebagai hiburan.

“Harap-harap orang ramai tidak menganggapnya sebagai hiburan semata-mata. Apabila saya selesai menonton, klik, apabila selesai menonton, klik, dan esoknya saya klik perkara baru. 

“Tetapi beberapa perkara itu mempunyai kesan kepada kita, dan anda memikirkannya, merenungnya dan menyimpulkan apa maknanya bagi kita sebagai warga Singapura,” ujar beliau.

Mungkin dalam pelbagai isu yang dibincangkan dan mesej yang disampaikan, antara yang paling penting ialah mesej Encik Lee kepada generasi muda.

Beliau akur dengan sentimen yang wujud dalam kalangan sebahagian generasi muda yang kurang yakin sama ada mereka boleh memperbaiki kehidupan mereka seperti generasi-generasi sebelum ini.

Menurutnya, sebagai seorang yang sudah berusia, beliau ‘cemburui’ generasi muda sekarang.

“Anda menikmati kelebihan dan peluang yang tidak pernah wujud dalam generasi saya. Kami telah membangunkan Singapura, kami telah membangunkan sistem pendidikan, kami telah mendidik anda...

“(Tapi) bolehkah anda mencapai lebih tinggi? Jawapannya ialah iya. Ia mungkin tidak secepat sebelum ini, tetapi anda capai dengan sangat pantas dari satu peringkat ke peringkat yang lebih tinggi dan keadaan anda tidak akan merosot.

“Keadaan hidup anda hanya akan meningkat walau lebih perlahan, tetapi jika anda berusaha, anda boleh terus maju,” pesan Encik Lee.

Sepanjang dua dekad sebagai Perdana Menteri, Encik Lee telah memberi sumbangan besar bagi membangunkan ekonomi negara, menyediakan lebih banyak jaringan keselamatan sosial, mengemudi negara mengatasi krisis termasuk pandemik Covid-19 selain menjadi penggerak utama dalam mencipta sebuah masyarakat Singapura yang inklusif.

Beliau telah berlari bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuangannya dan rakyat Singapura untuk meninggalkan negara yang lebih baik untuk diwarisi generasi hari ini.

Kini giliran generasi muda untuk sama-sama meneruskan larian tersebut, membawa titik merah di khatulistiwa ini ke destinasi selanjutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg