Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Projek HIP: Indah walau penuh berdebu...

Nov 06, 2022 | 10:26 AM



PASTI ramai yang mengeluh apabila Program Peningkatan Rumah (HIP) berlangsung dalam kediaman masing-masing, namun akhirnya mereka berpuas hati dengan hasil kerja projek peningkatan itu.



Apakan tidak, selepas 10 hari melaluinya sendiri - berhadapan dengan rumah berhabuk dan berdebu - akhirnya saya boleh menarik nafas lega melihatkan keadaan tandas yang dinaik taraf sebagai sebahagian daripada projek peningkatan itu.



Sudah sekitar 22 tahun saya menetap di flat saya di kawasan timur dan merupakan pemilik kedua bagi flat itu.



Difahamkan estet saya sudah pun mencecah lebih 30 tahun dan sudah tiba masanya untuk menjalani peningkatan.



Jadi apabila mendapat tahu bahawa HIP layak diadakan di estet kejiranan saya, kami sekeluarga melahirkan rasa syukur.



Sebabnya saya difahamkan di bawah HIP, flat jenis lima bilik yang saya huni hanya perlu membayar 10 peratus daripada kos keseluruhannya selepas mendapat subsidi Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).



Secara keseluruhannya saya hanya membayar sekitar $1,850 - termasuk potongan daripada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sebanyak $1,340 dan bakinya menggunakan wang tunai bagi beberapa keperluan tambahan lain.



Bayangkan sekiranya tiada subsidi daripada pihak HDB bagi kerja peningkatan itu, pastinya melambung juga kos yang perlu dibiayai penghuni flat lama seperti saya.



Menurut laman HDB, HIP mula diperkenalkan pada 2007.



Pada masa itu, flat-flat yang dibina sehingga 1986, dan belum menjalani Program Peningkatan Utama (MUP) layak menjalani HIP.



Pada Ogos 2018, HIP diluaskan untuk melibatkan flat-flat yang dibina antara 1987 dengan 1997.



Kebetulan baru-baru ini, saya berpeluang menghadiri taklimat media bagi Laporan Tahunan HDB untuk tahun kewangan yang lalu.



Media diberitahu bahawa subsidi yang banyak bagi flat-flat baru, pengagihan geran perumahan, dan kerugian besar yang dialami dalam pembangunan dan penjualan flat, kebanyakannya akibat faktor berkaitan Covid-19 menyebabkan HDB mengalami defisit mencecah $4.367 bilion pada tahun kewangan 2021 (FY2021) yang berakhir 31 March lalu.



Tahun lalu sahaja, HDB mengalami defisit sebanyak $392 juta bagi program peningkatan seperti HIP dan Program Peningkatan Lif (LUP).



Lagi $352 juta dibelanjakan bagi kerja-kerja pembaikan tempat letak kereta dan membina semula longkang.



Namun untuk mendapatkan hasil yang diinginkan, pemilik flat perlu melalui banyak cabaran.



Bayangkan selama tempoh 10 hari, flat saya bak 'tongkang pecah'.



Pekerja kontraktor yang berkasut keluar masuk setiap hari seawal 8 pagi hingga 6 petang - kadangkala lebih lama.



Akibatnya rumah menjadi kotor, berhabuk, berdebu - meskipun lantai dialas, selain kabinet dan perabot saya dibaluti plastik.



Semua ini perlu saya tempuhi memandangkan pihak kontraktor juga perlu menjalankan kerja dengan pantas.



Sebabnya bukan rumah saya sahaja yang terjejas, jiran-jiran dan penduduk di flat-flat lain dalam estet perumahan tempat saya tinggal turut terjejas sama.



Pada awalnya saya rasa agak sangsi apabila melihatkan begitu ramai pekerja yang keluar masuk ke rumah saya.



Namun masuk hari ketiga dan selanjutnya, saya sudah dapat sesuaikan diri dengan kehadiran mereka.



Malah ada kontraktor dan pekerja yang menjadi kawan saya sehingga ke hari ini.



Penghuni seperti saya sebenarnya tidak perlu bimbang akan keselamatan rumah masing-masing.



Malah ada sesetengah penghuni yang sanggup menyewa bilik hotel atau chalet sepanjang tempoh HIP berlangsung.



Tup... tup...



Tempoh 10 hari berlalu begitu pantas.



Tahu-tahu sahaja saya mendapat dua tandas termasuk pemegang dan lantai antigelincir serta saluran paip air dan wayar eletrik baru, pintu utama dan jeriji baru, tanjakan bagi kerusi roda, tempat menjemur pakaian luar rumah dan kotak elektrik baru.



Bila dibandingkan dengan HIP masa lalu yang pernah saya lihat dan dengar di estet-estet lain saya diberitahu hasil kerjanya kini lebih baik.



Jadi kepada mereka yang sedang atau bakal menjalani HIP dalam flat masing-masing, di sebalik keluhan yang dilalui, pasti senyuman menanti di akhir projek tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >