Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, telah menjadi tetamu terhormat dalam acara, ‘Bisikan Pena’, anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS). Beliau turut melancarkan antologi, ‘Kalam Pendeta’. Dalam ucapan beliau, Puan Halimah menggalak dan menggesa generasi muda Melayu hari ini agar menyahut cabaran – kembali meningkatkan penguasaan bahasa Ibunda. Berikut teks penuh ucapan beliau.
“
“... saya menggalak dan menggesa generasi muda Melayu hari ini untuk menyahut cabaran – kembali meningkatkan penguasaan bahasa Ibunda. Jangan malu untuk bercakap dan berbual dalam bahasa Melayu. Kita perlu ada kemahuan, tekad dan kesungguhan untuk fasih bertutur dan berupaya menulis dalam bahasa Ibunda dengan baik.”Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) atas kesudian anda semua mengundang saya merasmikan acara hari ini.
Acara, ‘Bisikan Pena’, ini adalah satu usaha yang baik, sebagai wadah dalam menggalak anak-anak muda kita untuk mempertingkat penggunaan bahasa ibunda dan mempertajam minda serta menjadi mangkin dalam mendorong penulis muda menghasilkan karya kreatif yang baik, sama ada dalam bentuk cerpen mahupun sajak atau puisi.
Saya juga gembira PBMUKS mahu melancarkan antologi, Kalam Pendeta, yang tentunya akan merancakkan lagi usaha kita dalam menghargai karya-karya kreatif Melayu di sini serta meningkatkan bahan bacaan dalam bahasa ibunda yang baik lagi bermutu.
Apa yang ingin saya tekankan ialah usaha penting badan-badan persuratan dan kesenian Melayu, seperti PBMUKS, dalam merancakkan acara kebahasaan dan persuratan di sini. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa mencerminkan ketamadunan dan keperibadian kita sebagai anak bangsa yang berakal, berilmu, berakhlak, santun lagi berpekerti. Ungkapan, ‘Bisikan Pena’ dan ‘Kalam Pendeta’ sahaja menunjukkan betapa bahasa Melayu itu kaya dan sarat dalam segala permaknaannya.
Singapura berdepan cabaran besar dalam mengekalkan kedwibahasaan rakyatnya. Dalam hal ini, masyarakat Melayu tidak terkecuali. Peratusan murid-murid Melayu di Darjah 6 yang bertutur dalam bahasa Melayu dengan rakan sebaya didapati merosot dengan ketara – mencatat 40 peratus sahaja pada 2021 – separuh dari yang direkodkan pada 2011.
Hakikatnya, keadaan hari ini lebih mencabar, dengan sebahagian besar rakyat Singapura merentasi usia dan kaum, lebih senang berbahasa Inggeris – daripada si comel di prasekolah sehinggalah mereka yang dewasa.
Ini tidak harus dibiasakan. Atas kesedaran itu, saya menggalak dan menggesa generasi muda Melayu hari ini untuk menyahut cabaran – kembali meningkatkan penguasaan bahasa ibunda. Jangan malu untuk bercakap dan berbual dalam bahasa Melayu. Kita perlu ada kemahuan, tekad dan kesungguhan untuk fasih bertutur dan berupaya menulis dalam bahasa ibunda dengan baik.
Saya mengesyorkan agar badan persuratan, kesenian dan budaya Melayu lebih giat dalam menganjurkan kegiatan kebahasaan dan persuratan di peringkat tadika hingga ke institusi pengajian tinggi.
Program yang dijalankan harus bersifat pengayaan yang memberi nilai tambah dan membantu generasi muda lebih menghargai, lebih menyantuni dan selesa menggunakan bahasa ibunda dan senang mendukung budaya Melayu.
Sempena meraikan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura pada 2025, badan-badan kebahasaan, persuratan dan kesenian Melayu sebaiknya memulakan langkah membentuk Majlis Kerja Tetap berpandukan matlamat yang digariskan setiap lima tahun – sebagai titik mula usaha bermakna dalam memberi tumpuan penuh kepada usaha pembangunan dan pengembangan bahasa, persuratan dan kesenian Melayu secara lebih tersusun, dinamis, profesional lagi membina untuk manfaat generasi muda hari ini dan seterusnya.
Badan berwenang seperti Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS); Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC); Jawatankuasa Bulan Bahasa; Jabatan Pengajian Melayu NUS; Jabatan Kumpulan Akademik Bahasa Melayu NTU; Yayasan Mendaki; Lembaga Perpustakaan Negara (NLB); Angkatan Sasterawan ’50 (Asas’50); Perkumpulan Seni (PS); Kumpulan Angkatan Muda Sastera (Kamus); AMP Singapura; Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM); Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS); Taman Bacaan, Sriwana; Kemuning; Teater Kami; Teater Ekamatra; Anggerik Temasek Bangsawan; Pantunism; Ungu Pen; Pustaka Nasional; Unggun Creative; Mediacorp Suria; dan, Berita Harian, perlu gembleng tenaga.
Majlis Kerja Tetap yang disarankan ini merangkumi badan-badan yang kaya sumber daya selain sumber tenaga dan kepakaran merangkumi golongan kreatif, guru, sarjana bahasa, sasterawan, pustakawan, usahawan sektor penerbitan, usahatekwan dan karyawan media.
Menerusi penubuhan Majlis Kerja Tetap ini, tumpuan penuh dalam merangka kegiatan kebahasaan untuk setiap lapisan umur dapat diperhalusi, ditawarkan dan dilaksanakan di pelbagai saluran – sama ada di balai rakyat, sekolah, perpustakaan, wadah media digital, media cetak, saluran televisyen dan radio ataupun media sosial.
Kejayaan Majlis Kerja Tetap ini bersandarkan kepada penyertaan aktif setiap badan persuratan dan kesenian Melayu dalam melakar rapi agenda kegiatan bahasa dan kesenian Melayu dengan pendekatan yang segar, baharu lagi menarik di samping mengekalkan program tradisional bagi memenuhi kehendak semasa dari peringkat prasekolah hingga universiti; golongan remaja dan golongan ibu bapa yang dahagakan sumber pengajaran bahasa Melayu untuk anak-anak mereka, pencinta bahasa dan sastera serta penulis mapan dan muda.
Yang jelas, Majlis Kerja Tetap perlu meningkatkan penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan generasi muda, dan menerusinya melahirkan barisan yang arif bahasa, sastera dan budaya serta resam hidup Melayu di Singapura selain membangunkan golongan pelapis yang berkeupayaan dan berwibawa. Kita kini melihat satu per satu tokoh kita berpulang, daripada Pendeta Ariff Ahmad, Masuri SN, Abdul Ghani Hamid, Hamid Ahmad, Aliman Hassan, Suratman Markasan; dan ramai lagi.
Di antara mereka ada ‘Kamus Bergerak’, ada ‘Bahasawan’, ‘Budayawan’ dan ‘Tokoh Bangsawan’. Bak pepatah, patah tumbuh hilang berganti, dan usaha harus ditumpukan dalam melahirkan pengganti sebagai manfaat generasi muda Melayu mendatang yang sebahagiannya mulai rasa terasing dan kekok berbahasa Melayu dan canggung pada budaya sendiri.
Ibarat pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, saya yakin usaha bersama berasaskan iltizam, semangat kekitaan dalam penubuhan Majlis Kerja Tetap ini baik untuk jangka panjang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg