Di tengah-tengah kemajuan pesat teknologi, masyarakat Singapura turut semakin menua.
Percanggahan antara masyarakat menua dengan kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) akan menentukan masa depan kita, dan bagi masyarakat Melayu/Islam, kesannya mungkin lebih ketara jika tiada sebarang persediaan dilakukan.
Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan 2025, pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menekankan bahawa kedua-dua perubahan ini akan membentuk masa depan Singapura dalam jangka masa terdekat.
Kedua-dua trend ini akan menjejas setiap rakyat Singapura, namun kesannya akan lebih dirasai oleh masyarakat Melayu/Islam jika kita tidak membuat persediaan.
Menjelang 2035, seorang daripada empat rakyat Singapura dijangka berusia 65 tahun dan ke atas.
Ini bermakna saiz tenaga kerja akan semakin mengecil, golongan bekerja akan menghadapi tekanan kewangan lebih berat, manakala penjagaan kesihatan dan sokongan sosial pula akan menyaksikan permintaan yang meningkat.
Bagi keluarga Melayu/Islam, ramai yang terhimpit antara menanggung anak-anak dengan ibu bapa yang semakin lanjut usia, dan tekanan ini sudah jelas kelihatan.
Masyarakat menua akan menambah beban ini, baik dari segi kewangan mahupun emosi, menjadikan daya tahan dalam sesebuah rumah tangga lebih sukar untuk dipertahankan.
Pada masa yang sama, AI sedang membentuk semula industri dengan pantas dan syarikat besar sudah mula mengautomasikan proses dan menggantikan pekerja dengan AI.
Meskipun langkah ini meningkatkan produktiviti, ia turut mengurangkan peluang pekerjaan bagi pekerja pertengahan kerjaya yang kurang mahir dalam bidang digital.
Sekiranya para pekerja ini terjejas oleh langkah tersebut pada saat mereka terbeban dengan tanggungjawab rumah tangga, mereka berisiko menghadapi ketidakstabilan ekonomi jangka panjang.
Kehilangan pekerjaan tetap secara tiba-tiba boleh membawa kesan berantai.
Pendapatan yang berkurangan akan lebih menjejas keluarga yang sudah sedia bergelut dengan masalah kewangan.
Keadaan ini juga boleh mengekang peluang pendidikan anak-anak serta menyukarkan penjagaan warga emas yang menghidap penyakit kronik.
Namun, para pekerja bukan satu-satunya golongan yang perlu menyesuaikan diri dengan teknologi AI.
Syarikat kecil dan sederhana (SME) dan perniagaan dari rumah (HBB) – yang menjadi antara teras keusahawanan masyarakat Melayu/Islam – berisiko ketinggalan jika gagal mengaplikasikan AI, sekali gus berdepan kemungkinan penutupan atau kehilangan mata pencarian.
Natijahnya bukan sekadar tekanan ekonomi, malah jurang ketidaksamaan sosial yang semakin membesar.
Kepentingan isu ini turut didorong faktor demografi.
Apabila semakin ramai pekerja bersara, bilangan pekerja muda yang mampu memikul beban ekonomi dan penjagaan pula semakin berkurangan.
Masyarakat kita, termasuk keluarga dan pertubuhan Melayu/Islam, perlu berganding bahu menangani cabaran ini sebelum perubahan tersebut menjejas kemajuan yang telah dicapai selama ini dalam meningkatkan mobiliti sosial.
Pemerintah juga telah menyediakan pelbagai program untuk menangani cabaran ini.
Strategi AI Nasional 2.0 yang dilancarkan pada akhir 2023 menyasarkan peningkatan jumlah pekerja yang mahir dalam AI daripada 4,500 kepada 15,000 orang, memperluas penggunaan AI dalam pelbagai industri, serta memperkukuh prasarana seperti pengkomputeran berprestasi tinggi agar teknologi itu lebih mudah diakses.
Bagi pekerja, pemerintah telah memperluas program SkillsFuture, termasuk kredit tambah nilai dan elaun latihan untuk mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas, bagi memudahkan peralihan ke dalam industri berteraskan AI.
Pertubuhan masyarakat pula boleh memainkan peranan dengan meningkatkan kesedaran tentang skim latihan serta menyediakan sokongan penjagaan anak dan warga emas, agar golongan yang terhimpit ini dapat menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan kemahiran.
Bagi SME dan HBB, AI sudah boleh digunakan dalam bidang seperti perakaunan automatik, pengoptimuman e-dagang dan ‘chatbot’ khidmat pelanggan, untuk mengurangkan beban pentadbiran serta meningkatkan daya saing tanpa memerlukan pelaburan besar di peringkat awal.
Badan masyarakat yang menyokong usahawan boleh memimpin dan membimbing pemilik perniagaan kecil dalam mengautomasikan proses serta memanfaatkan AI untuk meningkatkan produktiviti.
AI juga boleh menyokong aspek penjagaan, daripada pemantauan kesihatan hingga penggunaan alat pendidikan peribadi, sekali gus meringankan sebahagian tekanan keluarga yang menanggung keperluan anak kecil dan warga emas.
Selain itu, prasarana AI sendiri membuka peluang pekerjaan.
Dengan peningkatan permintaan terhadap pusat data, sistem tenaga dan perkhidmatan awan, pekerjaan baru akan diwujudkan dalam sektor pembinaan, pengurusan kemudahan dan kejuruteraan.
Kajian bank pelaburan berbilang negara, Goldman Sachs, menganggarkan bahawa permintaan tenaga sejagat daripada pusat data boleh meningkat 50 peratus menjelang 2027, dan sehingga 165 peratus menjelang 2030 berbanding 2023.
Tiada sebab mengapa pekerja Melayu/Islam tidak boleh merebut peluang kerjaya serta mencapai kemajuan dalam industri ini.
Justeru, keluarga perlu menggalak setiap anggota, baik muda mahupun tua, agar menguasai kemahiran asas AI.
Penyepaduan AI dalam pendidikan merentasi disiplin memastikan kita bukan sekadar pengguna teknologi, malah anggota masyarakat yang yakin dalam ekonomi berteraskan AI.
Cabaran kini bukan sama ada AI dan penuaan masyarakat akan membentuk masa depan kita, tetapi bagaimana masyarakat kita bersedia menghadapi cabaran ini secara proaktif.
Berdiam diri tanpa bertindak bukan satu pilihan. Peningkatan kemahiran, penyesuaian dan penerimaan awal boleh memastikan penuaan dan AI tidak menjadikan masyarakat kita lebih terdedah dengan cabaran masa depan.
Jika kita bertindak segera, kedua-dua cabaran penuaan dan AI bukan sahaja tidak akan menjadi ancaman, malah boleh menjadi asas kepada kemajuan seterusnya bagi masyarakat kita.
Penulis seorang peguam dan pemimpin masyarakat, dan bekerjasama dengan Roses of Peace untuk memperjuangkan keamanan dan keharmonian sosial.
“
“Tiada sebab mengapa pekerja Melayu/Islam tidak boleh merebut peluang kerjaya serta mencapai kemajuan dalam industri ini. Justeru, keluarga perlu menggalak setiap anggota, baik muda mahupun tua, agar menguasai kemahiran asas AI (kecerdasan buatan). Penyepaduan AI dalam pendidikan merentasi disiplin memastikan kita bukan sekadar pengguna teknologi, malah anggota masyarakat yang yakin dalam ekonomi berteraskan AI. Cabaran kini bukan sama ada AI dan penuaan masyarakat akan membentuk masa depan kita, tetapi bagaimana masyarakat kita bersedia menghadapi cabaran ini secara proaktif.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg