Pilihan Kaki Makan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masakan lauk Melayu daripada hati, umpan selera pelanggan berbilang bangsa

Pondok by June Zack kongsi hidangan resipi arwah ibu, hidupkan suasana rumah kampung
Jan 2, 2026 | 2:14 PM
june zack, pondok by june zack, sembawang, juniza zakaria
Pemilik Pondok by June Zack, Cik Juniza Zakaria, mengetengahkan lauk tradisional Melayu yang jarang ditemui di tempat makan yang terletak di Sembawang Road. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Melangkah masuk ke Pondok by June Zack di Sembawang Road, suasananya segera mengingatkan pengunjung kepada rumah kampung.

Televisyen kecil di sudut kedai menayangkan filem klasik hitam putih Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sementara deretan lauk-pauk Melayu tersusun rapi di rak-rak berkaca.

Kelihatan sesetengah pelanggan yang selesa makan menggunakan tangan, ada yang asyik menghirup teh tarik sambil menikmati epok-epok.

Itulah suasana yang sengaja diwujudkan oleh pemilik kedai itu, Cik Juniza Zakaria, 43 tahun, atau lebih dikenali sebagai June Zack di Instagram.

“Saya memang ingin pelanggan datang dan rasa selesa semasa makan. Seolah-olah mereka berada di rumah, boleh melepak lepas makan, borak-borak sambil makan,” katanya.

Perjalanan Cik Juniza dalam sektor makanan dan minuman (F&B) bermula sejak kecil.

Beliau dibesarkan dalam keluarga yang berniaga nasi ayam di pusat penjaja Adam Road bersama arwah ibunya.

Walaupun tidak pernah mengikuti sekolah kulinari, Cik Juniza belajar memasak secara sendiri di rumah.

“Saya tidak pergi sekolah kulinari. Saya belajar sendiri. Saya memang suka lauk kampung sebab mak saya orang Bawean, ayah pula orang Melaka,” katanya.

Pengalaman Cik Juniza bertambah apabila beliau bekerja sebagai cef Melayu di dapur Hotel The Fullerton, mengendalikan hidangan Melayu kepada tetamu penting dan majlis besar.

Namun, minatnya kekal kepada masakan tradisional Melayu yang jarang ditemui di luar.

“Keutamaan saya memang kualiti. Saya ingin hidangkan lauk yang sukar ditemui di Singapura,” katanya.

Ketika pandemik Covid-19 melanda, Cik Juniza memulakan perniagaan dari rumah melalui Instagram.

Sambutan yang diterima menggalakkan, mendorong beliau membuka sebuah dapur pusat di Woodlands sebelum akhirnya merealisasikan impian membuka kedai fizikal sendiri pada Oktober lalu.

Di Pondok June Zack itu, konsep yang diterapkannya bukan nasi Padang, sebaliknya ia merupakan nasi campur Melayu.

“Kami lebih kepada lauk Melayu seperti asam pedas, lemak cili padi, rendang Melayu. Selain itu kami juga ada pelbagai pilihan lauk gulai untuk dinikmati bersama nasi.

“Justeru, saya lebih suka kita dikenali sebagai kedai nasi campur yang jual masakan Melayu,” jelasnya.

Antara hidangan yang sering menjadi tumpuan ialah tempoyak petai, gulai kikil, jengkol, lemak siput sedut, sotong hitam serta dal telur, hidangan ringkas yang dekat di hati Cik Juniza.

Harga bagi setiap lauk ialah antara $3 dengan $10 bagi satu hidangan manakala harga sepinggan nasi bersama lauk antara $8 dengan $15.

“Dal telur ini serupa dengan yang pernah dimasak arwah mak saya. Saya sediakannya sebab saya sendiri nak makan.

“Selepas saya masak, pelanggan datang semata-mata ingin makan dal telur. Mereka kata rasa macam masakan nenek atau mak mereka juga,” katanya.

Antara hidangan yang boleh didapati di Pondok by June Zack termasuk asam pedas ikan duri, sotong hitam, rendang daging, cencaru sumbat, itik salai lemak cili padi, sambal goreng, dal telur, siput sedut, sambal udang petai, lemak pucuk ubi serta gulai nangka.

Menceritakan rutin hariannya, Cik Juniza berkata ia bermula seawal 3 pagi. Semua lauk dimasak pada hari yang sama tanpa persiapan awal.

“Daripada mengisar rempah, tumis sampai masak, semua saya buat sendiri. Sekitar 8.30 pagi, semuanya dah siap,” katanya.

Setiap hari, sekitar tujuh jenis sayur dan lebih 12 hingga 15 lauk daging, ayam dan ikan disediakan, termasuk hidangan wajib seperti rendang, asam pedas dan lemak cili padi.

Cik Juniza juga akan memuat naik hidangan yang disajikan pada hari tersebut di Instagram beliau.

Sambutan pelanggan amat menggalakkan, katanya, dengan pengunjung datang dari pelbagai kawasan Singapura.

“Saya gembira sebab pelanggan datang daripada semua peringkat umur. Masyarakat Cina, India pun tahu hargai lauk Melayu kita,” katanya.

Baginya Pondok by June Zack bukan sekadar tempat makan, malah ruang untuk memperkenalkan dan mendidik pelanggan tentang masakan Melayu tradisional yang semakin dilupakan.

Setiap hidangan membawa latar belakang tersendiri, daripada asal usul resipi hinggalah perbezaan gaya masakan mengikut daerah.

“Sebenarnya saya ingin mengajar pelanggan tentang pelbagai jenis masakan Melayu.

“Asam pedas pun ada banyak jenis, asam pedas Melaka, Johor dan sebagainya. Rendang saya pun bukan rendang Padang, tapi rendang dari tempat asal saya,” katanya.

“Orang bangsa lain boleh hargai lauk Melayu kita. Jadi kenapa bangsa kita sendiri tidak boleh luangkan masa dan datang cuba makanan kita sendiri?” tambahnya yang percaya makanan Melayu wajar dihargai oleh semua lapisan masyarakat.

Bagi Cik Juniza, selagi beliau mampu memasak dengan tangannya sendiri, itulah cara terbaik untuk mengekalkan mutu pada setiap hidangan yang disediakan.

“Saya lebih rela jaga satu kedai dan masak sendiri. Kalau saya sakit, pelanggan kena tunggu. Sebabnya, bila saya masak, itu memang daripada hati.

“Dan kalau makanan saya boleh buat pelanggan teringat mak atau nenek mereka, saya rasa itu cukup membahagiakan saya,” tambahnya.

“Daripada mengisar rempah, tumis sampai masak, semua saya buat sendiri. Sekitar 8.30 pagi, semuanya dah siap... Saya lebih rela jaga satu kedai dan masak sendiri. Kalau saya sakit, pelanggan kena tunggu. Sebabnya, bila saya masak, itu memang daripada hati. Dan kalau makanan saya boleh buat pelanggan teringat mak atau nenek mereka, saya rasa itu cukup membahagiakan saya.”
Cik Juniza Zakaria, pemilik Pondok by June Zack, di Sembawang Road.
Pondok by June Zack
Alamat: 29 Sembawang Road, Singapura 779081
Waktu Operasi:
  • Selasa hingga Ahad, 9 pagi hingga 5 petang

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg