Renungan AI-dilfitri: Tangani cabaran, rebut peluang ekonomi baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Renungan AI-dilfitri: Tangani cabaran, rebut peluang ekonomi baru

AI turut tinggalkan kesan pada Berita Harian, teknologi giat diterapkan dalam usaha dekati pembaca
Mar 21, 2026 | 5:00 AM

Renungan AI-dilfitri: Tangani cabaran, rebut peluang ekonomi baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
AI, Berita Harian, Masyarakat Melayu/Islam, Nazry Mokhtar
Menurut penulis, kekuatan sebenar BH ialah liputan mendalam tentang masyarakat Melayu/Islam – kisah yang mencerminkan kehidupan, keprihatinan dan aspirasi masyarakat yang tidak mudah ditiru oleh media lain. - Foto BH oleh KHALID BABA

Biarlah saya berterus terang.

Saya akui saya telah menggunakan ChatGPT untuk cuba mengarang wacana ini.

Niat saya bukanlah melakukan sesuatu yang tidak beretika, dengan mengakui tulisan yang dijana kecerdasan buatan (AI) sebagai tulisan sendiri, tetapi sekadar ingin melihat sejauh mana kemampuan teknologi AI ini.

Saya menaip arahan atau prompt berikut dalam program tersebut: Tuliskan sebuah komentari sepanjang 700 perkataan sempena Hari Raya Aidilfitri, yang menyentuh refleksi saya sebagai Editor Berita Harian (BH) tentang kesan teknologi AI kepada BH dan masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Amboi, wacana itu siap dalam sekelip mata sahaja.

Terus terang, mutu karangannya memang baik.

Namun, akhirnya saya ketepikan sahaja kerana hasilnya tidak begitu memuaskan hati.

Ada sesuatu yang terasa tidak kena.

Meskipun esei yang dihasilkan nampak kemas dari segi fakta dan susunan idea, ia tidak mencerminkan suara dan gaya bahasa saya sendiri.

Rasanya terlalu formal dan kurang unsur peribadi dan sentuhan manusia.

Pengalaman ini sebenarnya mencerminkan persoalan lebih besar tentang peranan AI dalam kehidupan kita hari ini.

Memang tidak dapat dinafikan, AI sudah mula meninggalkan kesan besar terhadap kehidupan seharian.

Cara kita bekerja, belajar dan mendapatkan maklumat sudah banyak berubah.

Kesan AI pada Berita Harian

Arus perubahan ini turut menjejas BH.

Laman web dan aplikasi BH kini dilengkapi dengan beberapa ciri AI untuk menjadikan pengalaman membaca lebih mudah dan menarik.

Antaranya termasuk terjemahan ke bahasa Inggeris, rumusan berita dan kemudahan menukar teks kepada audio.

AI juga digunakan untuk menghasilkan grafik dan mengkaji trend pembacaan.

Malah, wartawan kini semakin giat menggunakan AI dalam tugas seharian mereka.

Aplikasi media seperti menukar rakaman temu bual kepada teks, terjemahan bahasa, menyusun nota liputan dan menyelidik bahan berita sudah menjadi sebahagian daripada toolkit kewartawanan modern.

Apa yang jelas, AI membantu wartawan menghasilkan laporan dengan lebih mudah, pantas dan berkesan.

Namun, dalam keghairahan memanfaatkan teknologi baru, wartawan juga diingatkan agar tidak mengabaikan nilai dan etika kewartawanan seperti integriti, objektiviti dan tanggungjawab.

Tanpa nilai-nilai ini, keyakinan dan kepercayaan pembaca akan mudah terhakis.

Pada masa sama, kemunculan AI juga membawa cabaran tersendiri kepada BH.

Dengan kemajuan teknologi terjemahan, tidak mustahil media berbahasa lain juga boleh menawarkan berita dalam bahasa Melayu.

Jika itu berlaku, apakah nasib yang akan menimpa BH? Mampukah kami terus bertahan?

Jawapannya bergantung kepada keupayaan menghasilkan liputan yang tidak ditawarkan media lain.

Tentunya, kami tidak boleh bersaing hanya melalui bahasa.

Kekuatan sebenar BH ialah liputan mendalam tentang masyarakat Melayu/Islam – kisah yang mencerminkan kehidupan, keprihatinan dan aspirasi masyarakat yang tidak mudah ditiru oleh media lain.

Ini sudah pun kami lakukan.

Hanyalah dengan cara ini BH dapat terus memberi nilai tambahan kepada pembaca dan kekal bertahan dan relevan dalam dunia media yang pantas berubah.

Cabaran masyarakat meniti perubahan AI

Mungkin di sinilah kita dapat melihat kaitan antara semangat pembaharuan Aidilfitri dengan perubahan dunia yang semakin dipengaruhi teknologi AI.

Ramadan mengajar kita untuk bermuhasabah, membaiki diri dan membaharui azam.

Dalam dunia yang semakin berubah, semangat pembaharuan ini menjadi semakin penting.

Dalam hal ini, cabaran yang dihadapi BH sebenarnya tidak jauh berbeza daripada apa yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Pembangunan teknologi AI menyajikan banyak peluang baru dalam bidang pendidikan, pekerjaan, ekonomi dan sosial.

Namun, pekerja juga bimbang akan risiko kehilangan pekerjaan akibat automasi yang dijana AI.

Keprihatinan ini dirasakan bukan sahaja di sini tetapi oleh pekerja di serata dunia.

Namun, kebimbangan ini akan dapat diatasi sekiranya pekerja bersedia mengharungi pembaharuan dengan menjalani latihan dan latihan semula untuk kekal relevan.

Mereka perlu benar-benar menghayati bahawa pendidikan tidak berakhir apabila meninggalkan bangku sekolah, tetapi berterusan sepanjang hayat.

Dalam debat belanjawan yang lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong memberi jaminan bahawa pekerjaan tidak akan diabaikan sedang negara ini menggalak penggunaan AI untuk mendorong pertumbuhan ekonomi Singapura.

Bahkan, pemerintah akan memastikan bahawa AI, yang dianggap oleh PM Wong sebagai “kuasa hebat” yang bakal membentuk semula ekonomi Singapura, akan mewujudkan pertumbuhan yang menyediakan pekerjaan serta gaji lebih baik bagi warga Singapura. 

Justeru kita tidak mempunyai banyak pilihan selain menguatkan iltizam untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi.

Diharapkan agar kesediaan untuk terus belajar dan melengkapkan kemahiran akan menjadi batu loncatan kepada kemajuan lebih besar.

Akhir kalam, menjelang Syawal ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada para pembaca yang setia bersama kami, dalam apa jua platform.

Semoga Syawal ini membawa bukan sahaja harapan baru tetapi juga kejayaan untuk diri kita, keluarga, masyarakat dan negara.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg