Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Merenung erti syukur dan kejayaan di awal Syawal

BH semat iltizam penuhi cita rasa pembaca dalam berbilang media, sambil kekal pada prinsip kewartawanan
Mar 31, 2025 | 5:30 AM
Di sebalik tabir sajian berita berbilang media, Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar (dua dari kanan) bersama kakitangan bilik berita. (Barisan depan, dari kiri) wartawan visual, Cik Iffah Qistina Irwan; Timbalan Editor Cetak, Cik Hasleen Bachik; dan Timbalan Editor Berita, Encik Norman Sawi. (Barisan belakang, dari kiri) wartawan video, Cik Ameerah Sallehuddin; penerbit media sosial OMGxBH, Cik Nur Sabrina Masri; wartawan video OMGxBH, Encik Putra Nur Haiqal Sallehuddin; wartawan, Cik Batrisyia Baharim; penerbit podcast, Cik Natasha Mustafa; wartawan, Encik Izwandi Azman; wartawan, Cik Ainin Alfiyani Jailani; dan penyunting, Cik Nurfahruriza Ismail.
Di sebalik tabir sajian berita berbilang media, Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar (dua dari kanan) bersama kakitangan bilik berita. (Barisan depan, dari kiri) wartawan visual, Cik Iffah Qistina Irwan; Timbalan Editor Cetak, Cik Hasleen Bachik; dan Timbalan Editor Berita, Encik Norman Sawi. (Barisan belakang, dari kiri) wartawan video, Cik Ameerah Sallehuddin; penerbit media sosial OMGxBH, Cik Nur Sabrina Masri; wartawan video OMGxBH, Encik Putra Nur Haiqal Sallehuddin; wartawan, Cik Batrisyia Baharim; penerbit podcast, Cik Natasha Mustafa; wartawan, Encik Izwandi Azman; wartawan, Cik Ainin Alfiyani Jailani; dan penyunting, Cik Nurfahruriza Ismail. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Tahun ini, saya diminta sekali lagi untuk berlakon dalam filem sambutan Hari Raya yang diterbitkan oleh Berita Harian (BH).

Saya menerima pelawaan daripada pengarah video kami, Syaheera, dengan tangan terbuka, walaupun dalam hati kecil ini terdetik harapan agar penyertaan ini tidak menjadi satu kelaziman saban tahun.

Mujurlah kali ini, rakaman adegan saya tidak memerlukan banyak ‘take’ atau rakaman berulang kali seperti dalam video Hari Raya BH pada 2024.

Hanya satu ‘take’ sahaja, terus siap, persis pelakon bergelar, ‘one take wonder’, atau yang memerlukan satu rakaman sahaja.

Perjalanan Rumah Makan Minang

Walaupun filem Hari Raya BH kali ini pendek, tetapi ia tetap penuh bermakna.

Ia memaparkan transformasi restoran, Rumah Makan Minang, daripada sebuah gerai kecil menjual hidangan Minangkabau, ia kini menjadi sebuah restoran yang dikenali ramai di Singapura.

Laluan perjalanan sepanjang 70 tahun ini menyaksikan peralihan perniagaan dari satu generasi ke generasi seterusnya, daripada ayah kepada anak, dan kini kepada cucu.

Sajian nasi padang ini kini disiapkan dengan menggunakan teknologi masakan moden seperti dapur pusat.

Namun, warisan keluarga tetap dipelihara dengan mengekalkan resipi keramat mereka.

Adegan video tersebut seterusnya beralih kepada perjalanan BH yang sebaya dengan restoran tersebut.

Selepas hampir tujuh dekad, BH masih kekal setia kepada ‘resipi kewartawanan’, dengan memegang teguh pada prinsip ketepatan, kebenaran dan keadilan.

Namun demikian, kandungan berita disajikan dengan cara yang berbeza-beza bagi memenuhi selera pembaca yang kian berubah.

Perubahan inilah yang menjadi tumpuan transformasi BH sepanjang dua tahun lalu.

Pada awal 2025, lembaran baru dalam lipatan sejarah akhbar ini dibuka apabila kami menerbitkan sebuah dokumentari video buat julung-julung kali.

Video BH sepanjang 20 minit berjudul, ‘Gelombang perubahan: Aceh 20 tahun selepas dibadai tsunami’, menyingkap pembangunan semula bandar raya itu sambil merenung kembali tragedi yang mengorbankan ratusan ribu jiwa di rantau Asia-Pasifik.

Penerbitan video ini mencerminkan keupayaan baru BH, dalam usahanya membangunkan bakat dan kepakaran khususnya dalam penggunaan teknologi.

Perkembangan ini selaras dengan denyut nadi pembaca yang kian beralih ke arah penceritaan berbilang media.

Syukurlah, usaha ini sudah mula mendapat sambutan daripada pembaca dan penonton bukan sahaja di Singapura, malah, di seberang Tambak.

Sebagai contoh, video tsunami BH mencapai lebih 800,000 tontonan menerusi pelbagai platform media sosial kami. 

Bilangan pengikut atau ‘followers’ dalam wadah media sosial kami pula turut meningkat lebih seganda berbanding setahun lalu.

Pastinya, pencapaian ini akan mendorong kami untuk terus melakar inisiatif dan kandungan baru dalam usaha memikat pembaca dan penonton daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang.

Diharapkan, tunas-tunas pencapaian ini tidak membuat kami leka kerana cabaran yang dihadapi industri media tidak boleh dipandang ringan.

Cabaran Media

Industri media terus bergolak ekoran persaingan sengit daripada sumber berita alternatif yang boleh diakses secara percuma, dan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Kepercayaan terhadap berita juga kerap diuji oleh penyebaran maklumat palsu.

Sedang kami boleh berlapang dada dengan pencapaian di rangkaian media sosial sejauh ini, kami juga perlu bersifat realistik kerana jentera algoritma yang dikuasai gergasi media sosial seperti, Facebook dan Google, boleh menghakis jangkauan ini.

Algoritma ini menentukan kandungan yang muncul dalam ‘news feed’ atau suapan berita pengguna, sekali gus mempengaruhi keterlihatan dan jangkauan.

Biarpun jangkauan di rangkaian media sosial sudah meningkat, ia tidak bermakna terbuka laluan pintas ke arah meraih keuntungan.

Ini kerana syarikat media sosial mempunyai kawalan ketara ke atas pendapatan yang dijana menerusi platform mereka.

Di samping itu juga, kemajuan kecerdasan buatan (AI) berpotensi mengubah landskap bidang kewartawanan dan operasi bilik berita secara besar-besaran. 

Teknologi AI ibarat pedang bermata dua. 

Yang baiknya, ia boleh mempermudah, mempercepat dan memperkaya proses penghasilan berita. 

Namun, ia juga boleh memudahkan penyebaran berita palsu.

Periuk nasi wartawan juga boleh terjejas jika pekerjaan mereka digantikan oleh wartawan AI.

Oleh itu, BH perlu memperkukuh iltizam untuk terus menjadi sumber berita yang boleh dipercayai, dengan memperjuangkan nilai kewartawanan bermutu, menerusi sajian kandungan yang tepat, seimbang dan beretika.

Dalam usaha ini, kami mengalu-alukan komen dan maklum balas daripada pembaca dan penonton.

Sokongan padu anda menjadi tunjang kejayaan kami dan langganan anda amatlah kami hargai.

Renungi nikmat Syawal

Sempena Syawal yang tiba kini, kami merenung pencapaian sepanjang tahun lalu dengan penuh kesyukuran dan keikhlasan hati atas segala nikmat dan pemberian yang dikurniakan.

Berbanding dengan ratusan bilik berita yang terpaksa gulung tikar akibat masalah kewangan di serata dunia, kami masih mampu bertahan.

Sememangnya, banyak yang boleh kita syukuri daripada nikmat kemakmuran dan keamanan yang dikecapi di Singapura, khususnya bagi masyarakat Islam di negara ini.

Walaupun cabaran kos sara hidup semakin dirasai, kehidupan di Singapura tetap penuh dengan nikmat yang tidak ternilai. 

Hakikatnya, tidak banyak negara yang dilimpahi dengan keberkatan seperti kestabilan ekonomi, perumahan awam yang bermutu, kemudahan prasarana, serta keamanan dan keselamatan. 

Keamanan inilah yang membolehkan kita pulang lewat malam tanpa perlu risau tentang keselamatan diri. 

Yang nyata, kejayaan ini tidak datang bergolek begitu sahaja.

Resipi kejayaan pula bukan lagi satu rahsia.

Antara ramuan utama ialah pemerintahan yang berwibawa, sistem kehakiman yang adil, dasar meritokrasi dan berbilang bangsa, sistem pendidikan bertaraf dunia dan penguatkuasaan undang-undang yang ketat.

Sayangnya, nikmat seperti ini mudah membuat kita alpa. 

Pastinya, kehidupan di sini bukanlah sempurna. Masih ada kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki. 

Tetapi, dalam setiap kesulitan, pasti ada jalan keluar dan keberkatan yang boleh dihargai.

Namun demikian, janganlah sampai marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Sementara itu, sedang kita meraikan Aidilfitri dalam ketenangan dan kegembiraan, usah pula kita lupakan mangsa yang sedang berdepan penderitaan akibat peperangan dan pergolakan politik di serata dunia. 

Usah lupakan mangsa dari Gaza, Syria hingga ke Ukraine, yang menjadi sasaran kehancuran yang seakan tiada kesudahan, pembunuhan yang menyayat hati dan kemusnahan yang meranapkan impian. 

Pada masa sama, kesenangan tidak seharusnya melalaikan kita daripada kemungkinan adanya ribut di kaki langit.

Kesejahteraan dan kestabilan dunia belum tentu akan kekal mantap dek ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing ekoran persaingan antara Amerika Syarikat dengan China, serta perubahan kepimpinan kuasa besar seperti Amerika yang mahu memperjuangkan kepentingan diri tanpa menghiraukan kawan atau lawan.

Justeru, setelah sebulan berpuasa, pembukaan tirai Aidilfitri wajar disambut dengan penuh kesyukuran, kesedaran dan tawaduk.

Semoga naungan Syawal yang membawa sinar kebahagiaan boleh merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan persahabatan serta memperkukuh ikatan kemasyarakatan demi masa depan lebih cerah. 

Semoga sinar Syawal dapat membantu kita merenung makna yang lebih mendalam di sebalik kemakmuran dan keamanan yang kita nikmati di Singapura.

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg