Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Ringgit M’sia jatuh selindung masalah lebih besar penghijrahan cendekiawan

M’sia mungkin kehilangan pekerja berkemahiran jika lebih ramai
keluar manfaatkan kadar pertukaran lebih kukuh
Mar 24, 2024 | 05:30 AM



Cuba teka berapa ramai rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara berada di Singapura?

Sekitar 1.13 juta rakyat Malaysia telah berhijrah ke luar negara – hampir enam dalam 10 – menetap di Singapura pada 2022, menurut mantan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Encik V. Sivakumar – naik daripada 952,000 pada 2019.

Ini sebahagian yang agak besar daripada 33 juta penduduk, memandangkan ia tidak termasuk sebilangan besar rakyat Malaysia yang menyeberangi Koswe dan Linkedua setiap hari untuk bekerja di Singapura.

Seperti kebanyakan negara membangun, Malaysia bergelut dengan cabaran penghijrahan cendekiawan atau ‘brain drain’, yang mana sesebuah negara kehilangan karyawannya yang berkelayakan tinggi kepada negara lain.

Kejatuhan ringgit baru-baru ini ke paras terendah dalam sejarah mungkin mempercepatkan lagi aliran cendekiawan Malaysia ke Singapura.

Mata wang itu mencecah paras terendah baru RM3.57 berbanding sedolar Singapura pada 22 Februari.

Walaupun keadaan itu telah bertambah baik, penganalisis berkata masalahnya baru-baru ini mungkin mendorong rakyat Malaysia mencari peluang pekerjaan di tempat lain bagi meraih wang di negara yang mempunyai mata wang yang lebih kukuh.

Penghijrahan bakat berlaku pada 1998 apabila pergolakan ekonomi mencetuskan aliran keluar.

Bagaimanapun, krisis itu membuktikan rakyat Malaysia fleksibel dan berdaya tahan.

Ramai yang berpindah ke luar negara akhirnya pulang dengan kemahiran dan pengalaman berharga.

Ringgit pernah stabil pada RM3 hingga RM3.5 berbanding sedolar Amerika Syarikat selama sembilan tahun selepas kembali kepada sistem apungan terurus pada Julai 2005.

Perkembangan luaran telah mempercepatkan penyusutannya sejak 2014.

Kejatuhan harga minyak mentah, ditambah dengan perubahan dalam pelonggaran kuantitatif Amerika, membawa kepada aliran keluar modal bersih dan menyebabkan nilai ringgit merosot.

Pada tahun itu, akaun kewangan Malaysia mengalami defisit selama tujuh suku berturut-turut, mencetuskan penyusutan pesat mata wang negara itu sebanyak 42 peratus.

Skandal 1MDB pada pertengahan 2015 semakin menghakis keyakinan terhadap mata wang itu.

Mencari peluang kerjaya
di Singapura

Faktor tarikan hari ini, ditambah pula dengan aliran bebas maklumat, boleh menggalak penghijrahan lebih daripada faktor pendorong.

Pada 1998, orang ramai mendapati lebih sukar mencari pekerjaan di luar negara kerana Internet dan komunikasi digital kurang maju.

Hari ini, peluangnya lebih luas dan lebih mudah diakses.

Lokasi Singapura yang dekat menjadikannya destinasi utama semula jadi bagi rakyat Malaysia merentasi pelbagai industri – daripada pembinaan, perkhidmatan dan perbankan kepada sektor berteknologi tinggi.

Ditambah dengan prasarana Singapura yang mantap, taraf hidup yang tinggi dan pasaran kerja yang berdaya saing, perpindahan boleh kelihatan cukup menarik.

Dengan itu, keadaan turun naik ringgit hanyalah satu faktor pendorong kecil.

Singapura kelihatan seperti pilihan baik untuk pelbagai kumpulan rakyat Malaysia merangkumi banyak industri dan pendapatan.

Kajian terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, mendapati hampir 40 peratus rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura adalah pekerja mahir, kebanyakannya berumur 25 hingga 34 tahun, manakala 35 peratus lagi adalah separuh mahir.

Sekitar 24 peratus berada dalam peranan sokongan perkeranian, dan 20 peratus memegang jawatan profesional.

Kebanyakan mereka – lebih sedikit daripada dua pertiga – mendapat gaji kasar bulanan antara $1,500 dengan $3,599.

Hampir satu dalam lima – 18.5 peratus – mendapat antara $3,600 dengan $9,999. Dan 1.2 peratus mereka menerima $10,000 hingga $17,999. Hampir 0.2 peratus menerima $18,000 dan ke atas.

Pecahan berdasarkan kaum kelihatan agak seimbang dengan sekitar 46 peratus Cina, 40 peratus Melayu, dan 11 peratus India.

Hampir satu dalam dua rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menyatakan kecenderungan yang kuat untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka selama enam tahun lagi.

Mereka berkata pendorong utama terdiri daripada gabungan prospek pekerjaan yang memberi harapan, keadaan kerja yang menggalakkan, gaji yang berdaya saing dan kadar pertukaran dolar Singapura yang menguntungkan.

Laporan itu menimbulkan persoalan tentang keadaan kesihatan ekonomi Malaysia.

Pertumbuhan semakin perlahan dan eksport menguncup dengan mendadak, dengan kesan ke atas tenaga kerja.

Walaupun ringgit terjejas teruk semasa krisis kewangan Asia 1998, konteks semasa, yang berlaku di tengah-tengah dunia yang lebih global dan rakyat Malaysia yang lebih mudah berpindah, memperkenalkan satu set cabaran baru untuk Malaysia.

Mencari mobiliti sosial
di negara maju

Kerancakan ekonomi Singapura adalah tarikan, tetapi kemudahan penempatan semula dan persekitaran politik yang stabil juga menjadi tarikan utama.

Bagi rakyat Malaysia, Singapura menawarkan suasana berbilang budaya yang kosmopolitan namun tidak asing yang memudahkan asimilasi budaya.

Rasa selamat serta peluang pendapatan yang lebih tinggi dan pertumbuhan kerjaya memberi sebab yang menarik untuk berpindah.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, apa yang bermula sebagai perpindahan kerjaya strategik ke sini boleh berubah menjadi peralihan tetap untuk membangunkan kehidupan mereka di sini.

Penghijrahan menarik minat rakyat Malaysia yang mencari mobiliti sosial.

Sedang Singapura menonjol, data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa negara popular lain termasuk Australia (15 peratus), Amerika (10 peratus) dan United Kingdom (5 peratus).

Banci Penduduk Australia pada 2016 menunjukkan bahawa sejumlah besar atau 56 peratus rakyat Malaysia di sana mempunyai pekerjaan yang menguntungkan dan 70 peratus mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.

Kebanyakan mereka bekerja dalam perkhidmatan, dengan penjagaan kesihatan dan bantuan sosial sebagai subsektor menonjol.

Di Amerika, hampir 80,000 rakyat Malaysia menetap di sana pada 2019.

Lebih 60 peratus mempunyai ijazah sarjana muda dan bekerja dalam bidang hospitaliti dan perkhidmatan – termasuk makanan dan minuman (F&B), institut pengajian tinggi dan sains komputer.

Tinjauan Masyarakat Amerika juga mendapati bahawa secara purata, pekerja Malaysia dengan pendidikan peringkat tinggi di sana memperoleh pendapatan tahunan AS$8,653 ($11,533) lebih banyak daripada pekerja biasa di Amerika.


Trend yang sama dilihat di Britain yang mempunyai sekitar 38,000 rakyat Malaysia, dengan lebih separuh memiliki ijazah pengajian tinggi, menurut Tinjauan Penduduk Tahunan UK 2019.

Kebanyakan mereka memegang peranan profesional dalam industri perkhidmatan dan hospitaliti – yang merangkumi kerja sosial, penginapan dan perkhidmatan makanan.

Destinasi menarik lain ialah Canada dan Brunei, dengan negara-negara ini menarik minat rakyat Malaysia dalam penjagaan kesihatan, kejuruteraan, teknologi maklumat dan akademia.

Cabaran: Mengekalkan
kemahiran untuk pertumbuhan

Dengan lebih ramai rakyat Malaysia mencari pekerjaan di luar negara dalam keadaan ringgit yang lemah, pemulihan negara itu mungkin berada dalam bahaya.

Malaysia akan kehilangan kemahiran yang diperlukan untuk inovasi dan pertumbuhan.

Sektor seperti minyak, gas dan tenaga, perkhidmatan kewangan, teknologi maklumat dan komunikasi, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan perniagaan, yang menuntut tahap pendidikan dan kepakaran yang tinggi, boleh hilang dari masa ke masa – ini adalah industri yang Malaysia tidak mampu hilang kawalan.

Pihak berkuasa Malaysia mengetahui perkara itu dan menubuhkan Program Kepulangan Pakar Kembali pada 2001, yang dipermudah sejak itu oleh Talent Corporation Malaysia Berhad, untuk membawa balik bakat berkemahiran tinggi merentasi sektor utama.

Hingga September 2022, hampir 4,200 telah kembali di bawah program tersebut, terdiri daripada pakar teknikal dan karyawan bernilai tinggi.

Tetapi membendung penghijrahan cendekiawan selanjutnya memerlukan strategi nasional yang teratur dan diselaraskan untuk menangani masalah struktur Malaysia dan meningkatkan pasaran pekerjaan tempatan, bagi menggalakkan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara melabur atau pulang ke tanah air selepas mendapat pengalaman berguna.

Matlamat keseluruhan mestilah untuk memulihkan keyakinan dalam ekonomi Malaysia.

Bagi mengekalkan bakat terbaik, Malaysia perlu memupuk persekitaran yang menyokong inovasi dan penyelidikan.

Namun lebih empat dalam 10 ketua pegawai eksekutif (CEO) yang berpangkalan di Malaysia berkata mereka tidak pasti tentang daya maju jangka panjang syarikat mereka, menurut tinjauan CEO Global Tahunan ke-27 PwC.

Sedang Bank Dunia meramalkan Malaysia dapat mencapai matlamat menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2028, satu laporan pada 2021 menekankan tentang bidang utama dengan ia berada di belakang negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) berpendapatan tinggi: Pampasan pekerja, kutipan cukai, perbelanjaan perlindungan sosial, pengurusan alam sekitar dan kawalan rasuah.

Bank Dunia selanjutnya menetapkan pembaharuan untuk menggiatkan semula pertumbuhan jangka panjang dengan melabur dalam modal insan, menambah baik penciptaan pekerjaan yang baik dan memodenkan ekosistem pelaburan.

Ringgit yang lemah adalah seruan bagi Malaysia menangani kelemahan ekonominya – walaupun tarikan bekerja di luar negara akan sentiasa ada bagi rakyat Malaysia yang lebih mudah berpindah yang mahu mencari peluang lebih baik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >