Pada April lalu, saya berpeluang menghadiri satu program khas, yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), yang menyentuh tentang peranan lelaki sebagai suami dan pemimpin rumah tangga.
Pengalaman itu benar-benar membuka mata saya terhadap potensi besar dalam menganjurkan program seumpama ini – khususnya memberi ruang selamat untuk kaum bapa belajar, berkongsi dan membina semula diri mereka dengan penuh rasa tanggungjawab dan empati.
Saya menyedari betapa jarangnya program untuk lelaki mendapat sambutan ramai.
Sama ada program itu bersifat ilmiah mahupun kekeluargaan, bilangan lelaki yang hadir kerap hanya segelintir – membentuk kumpulan minoriti.
Namun sesi yang saya hadiri ketika itu memecahkan norma tersebut.
Mereka hadir, mendengar, dan lebih penting lagi, bersedia membuka hati untuk berkongsi cabaran mereka sebagai suami, bapa, dan individu yang cuba memenuhi peranan mereka dalam keluarga dan masyarakat.
Salah satu perkara yang menonjol ialah sesi perbincangan kumpulan yang dipermudah.
Ia memberi ruang selamat kepada peserta untuk berkongsi secara jujur.
Pemudah cara bukan sahaja mahir dalam isi kandungan program secara ilmiah, bahkan sangat peka terhadap apa yang sedang dihadapi para peserta secara realiti.
Mereka mendengar dengan teliti, tidak cepat memberikan jawapan dan tindak balas serta menyarankan bantuan yang ada untuk dimanfaatkan.
Bagi saya, ini adalah pendekatan yang sangat segar dan penting dalam landskap dakwah kontemporari.
Saya menyaksikan sendiri bagaimana para peserta menyuarakan tekanan yang selama ini mereka pendam, dan akhirnya dapat rasai kelegaan apabila suara mereka didengari.
Saat paling menyentuh hati adalah ketika peserta saling memberi kata-kata penghargaan dan sokongan antara satu sama lain – satu detik yang mencetuskan kesedaran dan kekuatan baru dalam diri mereka.
Saya yakin pengalaman ini bukan sekadar satu program yang baik, bahkan satu model yang sangat wajar dibawa ke peringkat masjid.
Justeru, Masjid Al-Falah mengambil langkah proaktif untuk membangunkan dan memperkukuh daya usaha itu melalui, ‘Siri TBT: Tarbiyah Bukan Terbiar – A Good Husband Series’.
Program kedua untuk siri itu akan berlangsung pada Sabtu, 23 Ogos 2025, bermula 6.30 petang hingga 10 malam.
Siri itu adalah sokongan kepada gerakan Keluarga Untuk Seumur Hidup.
Program pertama berlangsung pada 26 Julai dan program ketiga akan diadakan pada Sabtu, 27 September.
Siri itu menampilkan barisan penceramah dan pemudah cara yang terdiri daripada asatizah, kaunselor, naib kadi, dan pakar bidang kekeluargaan.
Antara topik yang akan disentuh termasuk strategi mengharungi cabaran apabila usaha dalam perkahwinan dirasa tidak dihargai atau berat sebelah; kesedaran terhadap isu seperti manipulasi emosi, kurang penghargaan, dan hilang rasa hormat dalam rumah tangga.
Turut akan dibincang ialah aspek kefahaman mendalam terhadap konsep qawwamah (kepimpinan suami) berteraskan sifat rahmah dan empati; serta panduan dan kaedah memulihkan hubungan apabila kepercayaan dan kasih sayang telah terjejas.
Apa yang menjadikan pendekatan Masjid Al-Falah ini begitu penting dan unik ialah penekanan kepada realiti hidup yang dihadapi oleh kaum lelaki hari ini – tidak sekadar melalui ceramah, bahkan melalui sesi interaktif, memudahkan dan menyembuhkan.
Dalam suasana masyarakat yang menyaksikan lelaki kerap diminta agar ‘bertahan’ dan memendam perasaan, ruang seperti ini sangat diperlukan agar mereka boleh melepaskan tekanan dengan cara yang sihat dan membina.
Di samping itu, program itu turut menegaskan bahawa menjadi lelaki yang baik tidak bermakna menolak kelemahan, tetapi mengurus kelemahan dengan penuh hikmah.
Lelaki boleh berubah tanpa malu, mengakui kesilapan tanpa hilang maruah, dan menjadi pemimpin keluarga dengan sifat kasih, sabar dan bijaksana – sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah saw.
Sebagai seorang yang terlibat dalam pembangunan masyarakat, saya berasa amat yakin inisiatif seperti ini adalah satu keperluan zaman.
Masjid hari ini tidak boleh lagi hanya menjadi ruang ibadah semata-mata, tetapi perlu menjadi pusat sokongan emosi dan sosial, tempat untuk membina kembali kekuatan jiwa dan keluarga.
Masjid perlu menjadi tempat yang menarik dan menyantuni – tempat untuk seorang ayah muda yang sedang hilang arah; seorang suami yang ingin memperbaiki diri; atau lelaki bujang yang mahu membuat persediaanb untuk masa depan.
Siri TBT Masjid Al-Falah ini adalah jawapan kepada keperluan tersebut.
Ia bukan sahaja memberi bimbingan, malah mencipta ruang yang menyembuhkan.
Ia adalah pelaburan untuk membina keluarga sakinah, dan daripada keluarga yang damai, akan lahir masyarakat yang lebih kuat, lebih stabil, dan lebih dekat kepada Allah swt.
Akhirnya, saya ingin mengajak lebih ramai pihak agar menyokong dan menyebarkan daya usaha seperti ini.
Jika kita benar-benar mahu membina keluarga dan masyarakat yang sejahtera, kita perlu bermula dengan lelaki, kerana didikan dengan rahmah akan membina rumah tangga yang penuh dengan kebaikan.
Dan daripada rumah tangga yang damai, lahirlah generasi yang lebih kuat, lebih stabil, dan lebih dekat kepada Tuhan.
Penulis ialah Pengurus Pembangunan Masyarakat, Masjid Al-Falah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg