Rasanya baru sahaja lap meja, melekit balik.

Bilik permainan sudah saya susun rapi, lima minit kemudian... eh tunggang terbalik lagi?!

Lantai rumah sudah divakum, tiba-tiba biji mata ini ternampak keruping biskut bertaburan.

Kalau nak disenaraikan satu per satu senario, memang tiada penghujung.

Hakikatnya, kerja rumah memang tak akan pernah habis dan serabut otak jika nak difikirkan sentiasa.

Keinginan untuk melihat rumah saya berkilat, bersih, disusun rapi ini kebanyakan masa akhirnya membuat saya rasa nak menyinga atau rasa diri ini kurang sempurna dalam menguruskan hal rumah tangga.

Mungkin buat sementara waktu ia rasa teratur, tetapi keesokan hari... balik pada keadaan asal.

Saya pasti inilah realiti ramai wanita bekerja dan mempunyai anak kecil seperti saya... sentiasa terburu-buru apabila ingin selesaikan kerja rumah kerana waktu di rumah pada hari-hari biasa memang terhad.

Dan dalam pada itu, kita pun mahu meluangkan masa bersama si anak setelah sehari tidak dapat berkepit bersama.

Namun setelah setahun saya berpindah ke rumah sendiri dan menyesuaikan diri menjadi ‘ratu rumah’ yang menguruskan segala-galanya, saya belajar satu perkara: terimalah seadanya keadaan yang berselerak itu.

Siapa yang tidak mahu rumah kelihatan serba serbi sempurna?

Namun tidak berbaloi jika keinginan itu membuat kita rasa tertekan, bersikap negatif dengan orang di sekeliling dan membuat kita rasa bosan apabila sedang melaksanakan tugasan rumah.

Ibu saya selalu pesan, ‘apa pun, utamakan keperluan anak-anak dahulu’.

Kerja rumah tak akan lari daripada kita selama mana kita abaikannya.

Sebaliknya, hubungan bersama suami dan anak-anak pasti akan terjejas jika mereka rasa ‘jauh’ daripada kita dan asyik memandang raut wajah kita yang berkerut.

Pertama sekali, penting memanfaatkan masa sepenuhnya.

Saya mendapati waktu terbaik untuk selesaikan kerja rumah sedikit demi sedikit adalah waktu awal pagi sebelum anak-anak bangun atau malam setelah mereka tidur.

Jadi waktu mereka terjaga dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan melakukan kegiatan bersama.

Ketika membuat kerja rumah juga saya cuba hiburkan diri, contohnya saya akan tayangkan drama kegemaran di televisyen (maklumlah anak sudah tidur) sambil melipat baju di ruang tamu.

Kedua, bahagikan tugas bersama suami.

Pasangan yang memahami sangat penting buat ibu bekerja seperti saya.

Kadangkala, suami saya akan bantu menggosok baju, sambil saya lipat.

Beliau mop lantai setelah saya vakum.

Jika diserahkan sepenuhnya kepada ibu bekerja, memang tidak mudah dan sangat mencabar.

Seterusnya, anggap keadaan berselerak yang disebabkan anak kecil sebagai sesuatu yang positif.

Berdasarkan beberapa kajian yang dijalankan, permainan yang melibatkan keadaan menjadi tidak kemas atau ‘messy play’ sebenarnya baik untuk perkembangan anak-anak.

Ia membantu mereka menjadi kreatif, membangunkan kemahiran motor dan membantu mereka mengekspresi diri.

Jika kita nak serba serbi sempurna, boleh dikhuatiri anak-anak jadi ‘takut’ meluahkan kreativiti mereka.

Bagaimanapun, secara peribadi saya percaya bahawa perlu untuk menetapkan batas dan beritahu anak ruang mana di rumah yang diperuntukkan untuk ‘messy play’.

Dalam beberapa tahun nanti, saya pun akan mengajar mereka bantu saya merapikan bilik mereka sendiri (boleh ringankan tugas saya!).

Akhir sekali, cuba yakinkan diri dan pujuk hati untuk ‘cinta’ akan tugas rumah.

Sejujurnya, saya pun masih cuba pupuk kasih itu dan bersikap tenang melihat kerja rumah yang bertimbun... seringkali saya ingatkan diri saya untuk bersyukur saya masih ada tugas rumah untuk diselesaikan.

Seperti saya belajar di kuliah masjid, kain baju yang tak henti menggunung itu bentuk nikmat yang mengingatkan saya bahawa saya masih ada anggota keluarga di rumah yang mengelilingi dan menemani saya menjalani kehidupan harian.

Kelak apabila anak saya sudah dewasa, membina keluarga sendiri dan pindah keluar rumah saya, pasti saya akan ‘rindu’ kekecohan dan keadaan rumah yang tidak teratur.