Kebelakangan ini, anak saya yang baru berusia dua tahun sering meminta dimainkan lagu kebangsaan, Majulah Singapura, setiap kali kami memasuki kereta.
Sepanjang perjalanan, lagu kebangsaan akan diulang berkali-kali dan dia akan turut sama menyanyikan lagu itu dengan penuh semangat, meskipun hanya hafal rangkap pertama.
Dia juga tidak benarkan kami tukar lagu-lagu lain.
Keadaan ini masih berulang meskipun sambutan Hari Kebangsaan sudah pun diraikan pada Rabu lalu dengan gilang-gemilang bukan hanya di Padang, malah di banyak kawasan di Singapura.
Melihat telatah anak kami itu, saya berseloroh kepada isteri: “Sejak bila pula anak kita dah jadi patriotik ni?”
Tidak dinafikan bahawa Ogos merupakan masa rakyat Singapura meraikan kemerdekaan negara serta memperingati pencapaian negara dan sumbangan generasi pengasas kita.
Sepanjang Ogos, kita juga dapat melihat semangat patriotisme yang ditunjukkan setiap lapisan masyarakat.
Anak saya juga tidak terkecuali, walaupun dia belum benar-benar faham akan erti patriotisme.
Selain menggantung bendera negara dan dengan bangga menyanyikan lagu-lagu Hari Kebangsaan seperti ‘Home’ yang merupakan antara lagu kegemaran sepanjang masa, dalam konteks hari ini, apakah yang rakyat Singapura hari ini anggap sebagai patriotisme?
Patriotisme atau semangat setia negara ditakrifkan sebagai cinta kuat serta bakti terhadap tanah air.
Saya percaya bahawa semangat patriotisme ini tidak hanya perlu ditonjolkan setiap kali kita menyambut Hari Kebangsaan.
Kita sebenarnya juga dapat melihat semangat ini dalam kerja-kerja harian rakyat Singapura yang giat memperjuangkan usaha setempat untuk menjadikan negara ini sebuah tempat yang lebih baik untuk semua.
Dalam bidang kerja saya, saya telah bertemu dengan ramai orang hebat yang telah berkongsi cerita mereka tentang sebab mereka memilih untuk memperjuangkan apa yang mereka percayai.
Antara mereka adalah Encik Muhammad Nasry Abdul Nasir, seorang pelajar tahun kedua bidang sains alam sekitar di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Meskipun baru mencecah usia 24 tahun, ia bukan penghalang baginya mendalami bidang biodiversiti dan pelaksanaan dasarnya di sini.
Baru-baru ini, Encik Nasry diiktiraf sebagai antara 10 belia di bawah usia 35 tahun dengan anugerah ‘10 for Zero Awards’ oleh Conservation International Singapore atas sumbangan besar mereka kepada usaha pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar di negara ini.
Ini jelas menunjukkn bahawa anda tidak terlalu muda atau tua untuk menyumbang kepada Singapura dan melakukan sesuatu yang dapat mendatangkan impak positif dan memupuk semangat kewarganegaraan.
Baru-baru ini saya baca satu perbincangan forum dalam talian mengenai topik “Adakah rakyat Singapura patriotik?”.
Selepas seorang warganet berkongsi pandangan tentang patriotisme di Singapura dan bertanya sama ada rakyat Singapura merupakan golongan yang patriotik, ramai pengguna forum itu berkongsi pendapat mereka mengenai perkara itu.
Seorang warganet berkongsi bahawa beliau berasa rakyat Singapura merupakan golongan yang patriotik meskipun mereka enggan mengakuinya.
“Kita mungkin bercakap buruk tentang negara kita sendiri tetapi tidak akan membenarkan orang lain melakukan perkara yang sama. Terdapat juga rasa bangga yang dikaitkan dengan berasal dari negara kecil tetapi berjaya,” katanya.
Ramai berkongsi sentimen yang sama dan ada pula berkata bahawa walaupun jarang ditunjukkan, rakyat Singapura sebenarnya mengambil berat tentang perihal yang berlaku di negara kita.
“Saya rasa patriotisme wujud dalam diri kebanyakan orang tetapi tidak begitu ketara seperti di negara lain misalnya.
“Apabila kita mengharungi krisis, kita dapat melihat negara ini bersatu. Ia berlaku semasa Covid-19 dan ia akan berlaku jika ada krisis lain berlaku.
“Sudah menjadi fitrah manusia untuk mempertahankan tanah yang kita panggil rumah,” jelas seorang lagi warganet.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg